Segmen penting dalam pentadbiran rangkaian ialah pengurusan pengguna, komputer, dan kumpulan. Sebuah sistem operasi yang baik dapat memastikan hanya pengguna dan komputer yang dikenalpasti sahaja boleh memasuki sistem rangkaian dan setiap sumbernya pula tersedia untuk pengguna yang diizinkan sahaja. Di dalam Windows 2000, khidmat Active Directory memainkan beberapa peranan utama dalam menyediakan keselamatan. Antara peranannya ialah pengurusan yang berkesan untuk mendaftar kemasukan dan keizinan pengguna di dalam rangkaian tersebut.
Dengan memberikan nama untuk pengguna atau sumber, khidmat direktori boleh menyediakan keperluan maklumat untuk mengakses kepada pengguna dan sumber tersebut. Salah satu cabaran di dalam persekitaran komputer teragih berskala besar ialah pengenalpastian dan penempatan sumber-sumber seperti pengguna, kumpulan, pencetak dan dokumen. Apabila sebuah khidmat direktori menjadi sebahagian daripada persekitaran perkomputeran berpusat, maka satu cara untuk menempatkan dan mengenalpasti pengguna dan sumber-sumber di dalamnya boleh disediakan.
Umumnya, sebuah khidmat direktori melibatkan pengurusan peralatan dan pengguna di dalam sesebuah organisasi. Kita sedia maklum, bilangan objek di dalam sebuah rangkaian akan membesar dan menyebabkan khidmat direktori yang menjadi 'hub' di dalam sebuah sistem rangkaian semakin besar dan penting. Untuk memenuhi keperluan ini, Active Directory diperkenalkan menerusi Windows 2000 Server. Ia merupakan set bersepadu khidmat direktori untuk meningkatkan pengurusan, keselamatan, dan kebolehan interoperasi bagi sistem operasi rangkaian Windows.
Dari sudut teknikal pula, Active Directory merupakan satu bahagian penting dan tidak berasingan di dalam senibina rangkaian Windows 2000. Pengguna juga difahamkan bahawa Windows 2000 yang dilancarkan baru-baru ini adalah pengganti kepada sistem operasi Windows NT 4.0 sebelum ini dan matlamatnya untuk menyediakan sebuah khidmat direktori bagi persekitaran rangkaian teragih. Sehubungan itu Active Directory membolehkan sesebuah organisasi berkongsi dan mengurus maklumat mengenai sumber-sumber dalam rangkaian dan penggunanya dengan efisyen.
Selain mengutamakan aspek-aspek keselamatan rangkaian, Active Directory juga membolehkan sistem operasi ini mengesahkan identiti pengguna dan mengawal akses mereka kepada sumber-sumber dalam rangkaian. Tidak kurang pentingnya ialah peranan Active Directory sebagai satu titik bersepadu yang berperanan menghimpunkan sistem dan menggabungkan tugas-tugas pengurusan. Dengan keupayaan kombinasi seperti ini, organisasi boleh menggunakan peraturan yang standard untuk mengagihkan aplikasi dan sumber-sumber rangkaian yang ada dengan berkesan.
Salah satu kelebihan Active Directory ialah kebolehannya membantu organisasi dalam mengintegrasikan sistem-sistem yang bukan berasaskan Windows dengan aplikasi yang berasaskan Windows begitu juga dengan peranti-peranti yang serasi Windows. Kebolehan seperti ini sebenarnya meningkatkan nilai pelaburan organisasi terhadap persekitaraan rangkaian yang sedia ada. Secara tidak langsung kebolehan integrasi sistem juga dapat mengurangkan kos keseluruhan perkomputeran organisasi kerana persekitaran rangkaian mereka menjadi lebih mudah diurus.
Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!
Monday, June 16, 2008
Peranan Active Directory
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment