Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Thursday, April 15, 2010

Carian tertinggi bulan Mac - Google Malaysia

Senarai 10 carian maklumat tertinggi yang dicatatkan oleh enjin pencari Google (www.google.com.my) sepanjang Mac 2010:
1) Yanie Mentor – meninggal akibat ketumbuhan pada paru-paru.
2) Jack Neo – penggiat filem terkemuka Singapura digosipkan dengan model/pelakon 22 tahun.
3) Earth Hour – maklumat acara global mengenai pemuliharaan alam sekitar.
4) MCA – Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilantik semula sebagai presiden MCA.
5) All England – Datuk Lee Chong Wei juara edisi ke-100
6) Alice in Wonderland – maklumat filem fantasi terbaru di panggung tempatan.
7) DIGI iPhone – DiGi mula tawarkan iPhone kepada pelanggan.
8) Akademi Fantasia 8 – siri realiti popular di Astro
9) e-filing – pengisian dan pengembalian borang cukai pendapatan 2009.
10) Biasiswa JPA – pelajar mencari maklumat dan memohon biasiswa

Monday, April 12, 2010

Bangunkan teknologi GIS

GIS (Geographic Information System) atau Sistem Maklumat Geografi merupakan suatu teknologi terpenting bagi sesebuah negara terutamanya bagi negara membangun seperti Malaysia.Jika dahulu, teknologi ini hanya digunakan oleh pasukan tentera bagi mengkaji kedudukan serta merancang strategi menghapuskan musuh berdasarkan keadaan muka bumi. Namun, teknologi tersebut kini sudah boleh diakses oleh orang awam demi kepentingan pembangunan sesebuah negara.

GIS merupakan teknologi yang bergantung kepada kecanggihan satelit untuk mengambil mana-mana imej bumi daripada angkasa untuk keperluan tertentu sesebuah negara.Kemudian imej tersebut akan dikaji dan diteliti bagi mendapatkan maklumat tertentu seperti keluasan 'kawasan, bilangan pokok bagi kawasan hutan dan pertanian, keadaan jalan dan kawasan berisiko di landa bencana alam.

Bidang pengimejan serta teknologi GIS ini sebenarnya sangat luas dan mempunyai pelbagai kegunaan. Menurut Pengarah Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MacGDI), Fuziah Abu Hanifah, data geospatial dan teknologi GIS merupakan alatan yang begitu banyak kegunaan sama ada kepada kerajaan dan pihak swasta.

''Boleh dikatakan hampir seluruh jabatan kerajaan boleh menggunakan teknologi ini untuk kegunaan mereka.
"Contohnya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Jabatan Perhutanan dan pelbagai lagi yang berkaitan pengurusan berasaskan keluasan tanah, " katanya. Malah, salah satu teknologi GIS seperti remote sensing boleh digunakan bagi menganggar keluasan tanah serta mengesan kawasan bencana seperti banjir dan tanah runtuh.Seterusnya untuk kegunaan arkeologi, penilaian kesan alam sekitar, perancangan bandar, jenayah, sejarah geografi, pemasaran, logistik, pertanian ketenteraan dan pelbagai bidang lagi untuk menjana kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan, Dr. Alias Mohd. Sood menjelaskan teknologi ini juga boleh digunakan dalam operasi menyelamat nahas pesawat. "Melalui teknologi GIS kita mampu mengesan kawasan ia terhempas, jejak mahupun komponen pesawat yang telah jatuh melalui teknik pengimejan daripada satelit."Selain itu, teknologi GIS juga banyak digunakan bagi menentukan anggaran jenis spesies pokok dan jumlahnya di dalam sesuatu kawasan hutan secara terperinci," katanya.

Justeru, bagi mendedahkan bertapa pentingnya teknologi ini kepada masyarakat negara ini Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah FakultiKejuruteraan telah menganjurkan sambutan Hari GIS baru-baru ini. Dianjurkan bersama Malaysia Remote Sensing & GIS Society Student Chapter (MRSGISSC), UPM dan Persatuan Remote Sensing Malaysia (MRSS) ia merupakan acara tahunan bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai, agensi kerajaan dan swasta perihal kelebihan serta kemudahan yang ditawarkan oleh teknologi GIS.

Ia lebih kepada memberi kesedaran terhadap aplikasi GIS sebagai kaedah yang dapat membantu dalam membuat keputusan dan arah tuju bidang penyelidikan GIS untuk kepentingan pada masa depan. Tema pada tahun ini adalah 'GIS Untuk Kehidupan Yang Lebih Baik' dengan harapan agar teknologi GIS dapat dibangunkan oleh seluruh masyarakat dunia dalam penyelidikan saintifik, pengurusan sumber dan pengurusan aset.

Sumber :  Utusan Malaysia

Friday, April 02, 2010

USM cipta pengesan daging babi

PULAU PINANG 1 April - Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui kaedah mudah, murah dan cepat bagi membezakan antara daging ayam dengan daging babi.
Menggunakan alat 'spectrophometer' dan sejenis campuran gula dinamakan 'ribose', daging kedua-dua haiwan itu akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut.
Profesor Azhar Mat Easa yang mengetuai kumpulan penyelidik itu berkata, proses ujian tersebut amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatan yang mencukupi.

Menurut beliau, seseorang hanya perlu mengambil secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan untuk diuji. "Campuran ini kemudian dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya.
"Menggunakan alat 'spectrophometer', julat warna yang dihasilkan akan menentukan sama ada ia daging ayam atau daging babi" katanya pada sidang akhbar di USM di sini hari ini.

Azhar memberitahu, melalui ujian yang memakan masa tidak sampai dua jam itu, warna daging ayam akan bertukar gelap sedikit berbanding daging babi.Katanya, sebenarnya terdapat peralatan sofistikated lain di pasaran yang boleh membuat uji kaji yang sama tetapi harganya tinggi hingga mencecah RM300,000.
"Harga tinggi mungkin membebankan pengusaha industri kecil dan sederhana khususnya yang terlibat dengan pemprosesan daging halal."Berbeza dengan produk kami, kos gula ribose ini adalah RM15 bagi empat gram manakala spectrophometer berharga serendah RM10,000," ujarnya.
Katanya, hasil penyelidikan tersebut dibiayai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memperuntukkan geran berjumlah RM190,000.

"Produk ini memenangi pingat perak pada Ekspo Teknologi Malaysia baru-baru ini," jelasnya.
Jelas Azhar, idea untuk menghasilkan rekaan tersebut tercetus berdasarkan satu kes pada 2007 apabila produk daging babi dari Australia yang dilabel halal didapati dijual di pasaran.
"Satu lagi kes yang serupa pernah berlaku di Singapura tidak lama dulu," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia