Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Friday, September 25, 2009

Penjejak bukti

Elak bahan bukti tercemar. Kawal tempat kejadian jenayah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang dibawa ke mahkamah tidak dipersoalkan

Jika CSI Las Vegas berbangga dengan ketelitian Gil Grissom, CSI: Miami boleh mengharapkan kepakaran Horatio Caine dan Mac Taylor menjadi tonggak kekuatan CSI: NY, Malaysia tidak ketinggalan berada dalam kelas tersendiri dengan wujudnya CSI Bukit Aman atau dikenali secara rasmi sebagai Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001.

Lebih menarik apabila kakitangan di Makmal Forensik itu tidak perlu menghafal skrip atau mencipta persekitaran jenayah untuk membolehkan unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) bergegas mengumpul bukti kerana saban hari mereka dihidangkan dengan kejadian sebenar yang mencabar kemampuan dan kesungguhan anggota pasukan CSI.



Ia sama sekali berbeza dengan ketiga-tiga siri penyiasatan suka ramai itu yang perlu tampil setiap minggu dengan rekaan kes jenayah menarik serta memasukkan fiksyen bagi menyedapkan cerita demi mencatatkan kadar penonton tertinggi.

Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik PDRM, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, berkata Makmal Forensik itu diwujudkan, pertamanya bagi membantu pegawai penyiasat (IO) menyiasat kejadian jenayah secara saintifik dan lebih bersistematik.

"Sebelum unit ini ditubuhkan, IO yang perlu mengutip bukti dan melakukan siasatan. Dengan ada CSI, mereka boleh memberi tumpuan kepada membuat siasatan ke atas saksi kes, seterusnya mengesan dan menangkap suspek.

"Kedua, ia berfungsi untuk mengumpulkan bahan bukti yang ada kaitan dengan kes dan memastikan bukti itu elok serta tidak tercemar. Tidak guna mengutip banyak benda yang ada di tempat kejadian jenayah tetapi apabila diperiksa ia tidak membawa apa-apa nilai kepada siasatan.

"Oleh itu, anggota CSI tidak boleh terburu-buru terus mengumpulkan bukti. Sebaliknya, mereka perlu merenung dan membayangkan jenayah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kemungkinan ia berlaku. Kemudian barulah mula mengumpul bukti yang dirasakan berkaitan. "Selain meneliti keadaan mayat secara luaran, pemeriksaan persekitaran tempat kejadian untuk mendapatkan bahan bukti yang berkualiti, seterusnya membuat rekonstruksi (gambaran semula) kejadian adalah tugasan utama kami," katanya yang sudah berkhidmat di Makmal Forensik itu sejak Mac 2002.

Dalam kes bunuh diri sebagai contoh, beliau berkata, unit CSI akan dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan jika dalam penelitian mereka mendapati kes itu atau persekitarannya mencurigakan, siasatan akan dibuat sama ada ia kes bunuh diri atau dibunuh.

Beliau berkata, petugas CSI mestilah seorang anggota polis tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sains seperti kimia, biologi, fizik dan sains forensik.

"Ia bertujuan menyediakan pegawai yang mempunyai asas dalam bidang sains untuk menjalankan siasatan secara saintifik. PDRM menyediakan kursus untuk anggota dan pegawai CSI dari semasa ke semasa di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kecekapan mereka.

"Ketika Makmal Forensik ini mula ditubuhkan, pegawai dihantar menjalani kursus di Australia selama tiga bulan dalam bidang forensik," katanya.

Ketika cara persembahannya berlainan, peralatan yang digunakan di luar dan di dalam skrin televisyen masih sama, malah cara mengumpul dan menjaga bahan bukti juga tidak berbeza.

Zuraimi berkata, bagi unit CSI, menjaga tempat kejadian jenayah adalah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang ada tidak tercemar dan tidak dipersoalkan apabila kes dibawa ke mahkamah.

"Sebaik unit CSI sampai, polis biasa pun tidak akan dibenarkan berada dalam kawasan kejadian. Ia menjadi tempat kami. Penting untuk memastikan tempat kejadian tidak tercemar atau bahan bukti tidak berkaitan ada di situ.

"Sebagai contoh, orang lain yang tiada kena mengena dengan kes, menghisap rokok dan membuang puntung di tempat kejadian. Kami mungkin akan mengutipnya sebagai bahan bukti. Setelah analisis dibuat, akhirnya didapati ia tidak berkaitan dan akan menjejaskan kes," katanya.

Namun bagi unit CSI, kemungkinan untuk bukti atau tempat kejadian jenayah tercemar adalah tipis sekiranya pengawalan dilakukan dengan baik.


Cecair kimia yang digunakan untuk kesan cap jari dan darah. Gambar kecil, kesan air mani dalam kes rogol dikesan dengan menggunakan Crime Light dan google warna jingga.


"Sebagai peringatan kepada orang ramai, saya meminta mereka supaya tidak menjadi `pencemar' di tempat kejadian, dengan berkumpul dan menyaksikan apa yang berlaku seperti melihat suatu pertunjukan," katanya.

Tegas Zuraimi, contoh pencemaran paling mudah ialah apabila jenayah berlaku dalam rumah dan individu yang paling awal sampai tidak begitu peka dengan kepentingan bukti, mungkin menjejaskan bukti sedia ada.

"Contohnya, penemuan lebih daripada satu kesan tapak kasut di tempat kejadian boleh menjejaskan penilaian yang dibuat oleh unit CSI, sedangkan pada hakikatnya kesan itu adalah hasil kecuaian individu yang sampai awal yang tidak peka dengan pengawalan tempat kejadian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika mangsa masih hidup apabila polis sampai, tanggungjawab utama ialah menyelamatkan mangsa dengan meminimumkan pencemaran di tempat kejadian.

"Sebagai contoh, mangsa yang ditikam atau ditembak mengalami pendarahan teruk. Anggota polis yang paling awal tiba dikehendaki menyelamatkan mangsa walaupun pada masa sama terpaksa memijak darah atau mengalih mangsa atau dengan menghubungi ambulans. Malah dalam sesetengah kes, ambulans dan pasukan paramedik lebih dulu sampai daripada unit CSI.

"Bagaimanapun, pada masa ini, banyak kursus berkaitan fungsi Pegawai Pertama Tempat Kejadian dianjurkan oleh pihak Makmal Forensik PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negeri bagi menambahkan pengetahuan berkaitan pentingnya pengawalan di tempat kejadian.

Menyentuh masa yang diambil untuk memproses tempat kejadian, Zuraimi berkata, ia terpulang kepada bentuk jenayah itu sendiri. Kadangkala siasatan mengambil masa seawal 1 hingga 2 jam dan ada kalanya mengambil masa berhari-hari. Kadangkala tempat kejadian perlu dilawati semula sekiranya IO mendapat petunjuk baru dalam menjalankan sesuatu siasatan.

Dalam satu pasukan CSI, ada lima anggota iaitu ketua pasukan, pelukis rajah kasar, jurufoto, pencatat dan pengumpul barang kes. Sekiranya ada kes yang memerlukan kehadiran pakar, pakar patologi dan Bomb Tech (pakar letupan) akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengenai kadar penyelesaian kes jenayah, Zuraimi berkata, ia sukar diukur kerana kebanyakan kes masih dibicarakan. Namun baginya, kemampuan anggota CSI menunjukkan sesuatu bukti dengan positif adalah satu kejayaan.

"Sukar mencatatkan kadar kejayaan kes kerana ia masih dibicarakan tetapi apabila dapat mengaitkan suspek berada di tempat kejadian dengan bukti yang ditemui, bagi saya itu satu kejayaan. Berjaya atau tidak memenangi kes itu pula bergantung kepada faktor lain seperti keterangan saksi dan perkara lain.

"Kadang-kadang kesilapan teknik boleh menggugat kes dan disebabkan itu, anggota CSI amat berhati-hati supaya cara pengumpulan dan pemeriksaan bukti tidak boleh dipertikai," katanya.

Selain kes bunuh, unit CSI turut bertanggungjawab membawa penjenayah kejadian rompakan, samun, pecah rumah dan rogol ke muka pengadilan melalui bukti yang ditinggalkan di tempat kejadian.


Sumber : Berita Harian

Friday, September 18, 2009

Strategi elak data bertindih

Symantec Corp melancarkan strategi 'deduplication' sebagai langkah terbaru mengurangkan data bertindih dalam storan bagi membantu organisasi mengurangkan data, pengurusan yang kompleks dan prasarana.

Pengurus Penasihat Teknikal Pra Jualan Malaysia, Symantec Corp, Ong Kah Wooi, memaklumkan strategi yang dirancang itu membantu mereka menghentikan pembelian storan secara membuta tuli.

"Selain itu ia mampu memulih maklumat dengan pantas dan memperbaharui pulangan balik untuk kos pembelian sistem maya," katanya.

Ong menjelaskan, langkah meletakkan storan data dalam keadaan 'diet' akan menambah produktiviti kerja dan menolak data bertindih yang menghantui sistem organisasi.

Sementara itu, Penasihat Teknikal Kanan Pra Jualan Malaysia, Koh Ee Laine menawarkan sistem 'deduplication' aplikasi dengan arkib, sokongan dalam pusat data dan kawalan pejabat.

"Berdasarkan langkah itu, ia berupaya menjimatkan 50 peratus sumber arkib fail utama, melancarkan 90 peratus lebar jalur untuk teknologi deduplication dan mengawal sistem maya pelayan," katanya.

Sistem ditawarkan Symantec Corp itu membantu sistem arkib dalam bahagian teknologi maklumat (IT) syarikat sesuai untuk pelbagai industri di negara ini.


Sumber : Harian Metro

Thursday, September 10, 2009

Risiko internet

Aktiviti dalam talian tanpa sempadan, kawalan dedah remaja dengan pelbagai risiko

Ketika ibu bapa mula menutup lampu bilik untuk tidur, sedarkan mereka bahawa anak remaja mereka masih berjaga, lampu bilik masih menyala dan komputer masih terpasang. Apa yang mereka lakukan di dalam bilik ialah melayari dunia siber tanpa sempadan bersendirian.

Jika diacukan kepada ibu bapa soalan 'Adakah anda tahu di mana anak anda di dalam talian - jawapannya ialah tidak tahu'.

Itulah kelemahan dan kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai kepelbagaian aktiviti dalam talian dilayari remaja hari ini yang sebenarnya datang bersama dengan pelbagai risiko.



Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report (NOLR) di Malaysia' mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, pasti ibu bapa terkejut kerana remaja di negara ini sebenarnya menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet.

Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia juga empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka.

Hakikatnya, itulah yang tidak disedari ibu bapa yang menyangkakan anak mereka cuma melayari internet pada masa tertentu saja, sedangkan kajian mendapati mereka sebenarnya menghabiskan masa dua kali lebih banyak daripada apa yang difikirkan mereka.

Walaupun di rumah dan sekolah, remaja hanya dibenarkan memasuki akses internet popular iaitu yang dibenarkan saja. Keadaan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin ghairah mencari persekitaran alternatif yang jauh dari pandangan ibu bapa, terutama keluarga yang sentiasa sibuk.

Disebabkan itulah, 31 peratus daripada mereka melayari internet di kafe siber yang boleh didapati di mana-mana, manakala bagi remaja yang mempunyai rakan atau komputer riba persendirian, kajian mendapati 26 peratus daripada mereka gemar melepak di rumah rakan melayari internet.

Isu yang menarik dibincangkan ialah apa sebenarnya yang dilakukan remaja di dalam talian, adakah mereka memanfaatkan kemudahan itu untuk sesuatu yang berfaedah atau sekadar mencari keseronokan yang akhirnya memakan diri serta menjadi faktor penyumbang gejala sosial.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, berkata bagi ibu bapa yang cetek pengetahuan dan pengalaman mengenai internet berbanding anak mereka, isu itu boleh menjadi punca kebimbangan utama mereka seperti ditemui melalui hasil kajian NOLR.

"Internet ialah satu sumber yang bagus, pelbagai, peluang mencari sesuatu maklumat yang agak mustahil untuk didapati serta mempunyai sejuta peluang mencari kawan baru dan mengenai pelbagai jenis manusia di dalam talian. Namun bagaimana penggunaannya, itu yang menjadi persoalan," katanya.

Walaupun 72 peratus ibu bapa mendakwa mengetahui aktiviti anak mereka ketika melayari internet, bukti kajian menunjukkan daripada senarai aktiviti yang dipilih, dipersetujui bersama ia sebenarnya berlawanan, berbeza daripada tanggapan serta realiti apa yang dilakukan anak mereka.

Dengan kata mudah, lain yang dibenarkan, lain pula yang dicari. Itu yang ditegah, itulah yang akan diselongkar dan dibongkar kerana melakukan sesuatu yang terlarang itu memang godaan kuat.

Jika ibu bapa bersikap sambil lewa dan tidak begitu menghiraukan aktiviti internet anak mereka, sudah pasti mereka terkejut dengan hasil laporan NOLR kerana 60 peratus daripada mereka cuma menghabiskan masa melayari laman sembang dan berbual di dalam talian dengan individu tidak dikenali.

Effendy berkata, ia berlaku lebih daripada sekali dalam tempoh seminggu dan 51 peratus daripada mereka berdepan risiko tanpa disedari kerana mendedahkan maklumat peribadi di dalam talian.

"Empat daripada lima remaja didapati mengakses bahan haram atau tidak berlesen. Ibu bapa percaya sebahagian besar aktiviti di dalam talian yang dilayari anak cuma terbatas kepada elemen hiburan dan aktiviti perjudian komputer (games) tetapi elemen itu bukan keutamaan remaja.

"Hakikatnya, mereka melayari sesuatu di luar batasan dan kawalan kerana internet boleh dilayari tanpa sempadan. Mereka melayari aktiviti yang dikategorikan berfrekuensi tinggi iaitu video (91 peratus), rangkaian sosial (89 peratus) dan muat turun pelbagai fail (91 peratus)," katanya.

'Ibu bapa perlu ambil tahu ketika anak dalam talian'

BIARPUN dilanda kesibukan bekerja tanpa banyak masa dihabiskan memantau aktiviti anak di rumah atau sekolah, ramai ibu bapa di Malaysia mengakui mereka sanggup dan sudah melakukan sesuatu yang lebih baik untuk melindungi anak mereka ketika melayari internet.

Sebanyak 58 peratus daripada responden percaya kawalan ibu bapa adalah kaedah berkesan mencapai sasaran mengurangkan penularan gejala negatif melalui internet.

Kajian mendapati 45 peratus ibu bapa menegur anak mereka melakukan sesuatu yang salah atau tidak sesuai dalam talian dan 39 peratus daripada mereka mengintip penggunaan internet anak.

Menyedari keadaan yang tidak begitu sihat kerana mudah terdedah kepada pelbagai ancaman dan risiko, 77 peratus ibu bapa sudah menasihati anak mereka supaya mengamalkan tabiat baik dan memilih talian selamat, manakala 60 peratus daripada mereka menyediakan set kawalan internet yang dikawal ibu bapa.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, menjelaskan walaupun beberapa langkah positif sudah diambil, hakikatnya internet sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan hingga menyebabkan wujudnya batas sempadan antara ibu bapa dan anak kanak.

"Isu mengenai kanak-kanak bertemu dalam talian dan bagaimana kita boleh melindungi mereka dengan pengetahuan yang cetek, sedangkan semua risiko itu tidak pernah berkurangan.

"Hasil kajian ini boleh dijadikan peringatan kepada keluarga kerana ibu bapa mengambil masa untuk memahami tabiat dan hala tuju anak sama ada di dalam talian atau aktiviti luar. Pendekatan sesuai ialah membenarkan mereka melayari internet tetapi dengan pengawasan dan perlindungan mencukupi," katanya.

Selain remaja, orang dewasa juga sebenarnya berisiko ketika berurusan dan melayari internet kerana 45 peratus daripada mereka tidak yakin maklumat peribadi mereka di talian tidak selamat.

Namun, sebahagian besar percaya penipuan dalam talian hanya berlaku kepada individu cuai terhadap maklumat peribadi dan mereka cukup yakin boleh melayari laman web rasmi tanpa sebarang keraguan.

Hakikatnya, semua itu bukannya satu hak eksklusif kerana sebarang pencerobohan, memanipulasi dan penipuan boleh dilakukan oleh mereka yang berniat jahat. Laman web sah dan rasmi juga berisiko dan boleh menjadi ancaman kepada pelawat tanpa mereka sedari.

Hakikatnya, orang dewasa dan remaja Malaysia sebenarnya berdepan dengan sesuatu yang sangat berisiko berdasarkan fakta kajian berikut iaitu:

# Seorang daripada setiap lima dewasa menyimpan kata laluan mereka dengan menulis pada sekeping nota yang diletakkan berhampiran komputer mereka.

# 24 peratus orang dewasa menggunakan kata laluan sama untuk semua urusan.

# 48 peratus orang dewasa terlalu bergantung kepada perisian bebas AV dengan hanya 16 peratus menganggap tahap kemahiran komputer mereka cemerlang.

# Lebih satu perempat orang dewasa itu memeriksa 'lari imbas' AV setiap bulan atau kurang.

# Hanya 34 peratus remaja mempunyai fail sokongan dalam komputer.

INFO: Kajian NLOR di Malaysia
# Dikendalikan Saffron Hill bagi pihak Symantec antara 14 April 2009 hingga 4 Mei 2009 Responden
# 397 orang dewasa berusia 20 tahun ke atas, termasuk 93 keluarga yang mempunyai anak berusia 8 hingga 17 tahun)
# 35 remaja berusia 15 hingga 19 tahun.

Kajian NLOR global:
# Responden: 9,000 dewasa dan remaja
# 12 negara: Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Sweden China, Jepun, India, Australia, Brazil.
# 7 daripada 10 dewasa berpendapat internet membantu mereka menjadikan hubungan lebih baik.

Hasil kajian global:
# 92 peratus menggunakan pangkalan e-mel untuk komunikasi dengan kawan dan keluarga.
# 42 peratus menggunakan web cam, dengan China mencatatkan penggunaan paling tinggi (74 peratus), India (68 peratus), Brazil (66 peratus) dan Perancis (53 peratus).
# Separuh daripada orang dewasa menggunakan jaringan sosial.
# 7 daripada 10 mengakses foto secara on-line dan guna IM
# 24 peratus layari laman sosial Twitter.


Sumber : Berita Harian