Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Monday, January 05, 2009

Aksesori baru peranti komunikasi

MOBILE World Congress 2009 adalah pameran dan persidangan antarabangsa yang menumpukan bidang teknologi telekomunikasi mudah alih berlangsung setiap tahun di Barcelona, Sepanyol.

Pelbagai teknologi, aplikasi, perkakasan dan konsep produk dipamerkan di sini dan kebanyakannya diperkenalkan dalam bentuk prototaip, malah ada yang sedia untuk dipasarkan.


Setiap tahun, media terpilih akan diberi peluang pada malam sebelum hari pameran untuk menyaksikan produk daripada syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran itu.

Sesi pratonton ini dinamakan ShowStopper 2009.

1. Vuzix (www.vuzix.com)

Vuzix adalah kacamata yang membolehkan paparan dibuat dari sebarang peralatan dengan kemudahan 'video out' seperti iPod, telefon bimbit dan alat pemain game komputer.

Imej yang dipaparkan kacamata ini menyamai skrin bersaiz dua meter tinggi dan enam meter lebar untuk paparan lebih menarik tanpa kekangan saiz fizikal peralatan.

Ia boleh juga disambungkan ke komputer untuk pengguna melihat paparan bersendirian sama ada dalam bentuk 2D dan 3D.

Peralatan ini boleh diperoleh di pasaran dengan harga anggaran RM665.

2. Zeemote (www.zemote.com)

Zeemote adalah alat kawalan permainan telefon bimbit menggunakan standard sambungan Bluetooth.

Ia membolehkan pengguna mengawal permainan dalam telefon bimbit mereka dengan lebih mudah dan berkesan.

Pengguna tidak lagi terbatas dengan penggunaan butang kekunci untuk mengawal interaksi dalam setiap permainan yang dimainkan.

Peralatan ini mempunyai satu tombol kawalan pergerakan yang boleh digerakkan menggunakan ibu jari dan satu butang kawalan aksi seperti menembak atau melompat yang boleh dilakukan dengan menekan jari telunjuk.

Zeemote boleh dibeli di pasaran dengan harga anggaran RM137.

3. Boltbrowser (www.boltbrowser.com)

Ia adalah perisian yang diperlukan untuk melayari Internet menggunakan telefon bimbit kerana pilihan pengguna selama ini amat terbatas kepada perisian pelunsur yang dibekalkan syarikat pengeluar saja.

Boltbrower menjanjikan proses pindah turun laman web lebih laju dan menyediakan kemudahan main semula video di laman web YouTube yang tidak boleh dilakukan kebanyakan telefon bimbit sebelum ini.

Boltbrowser boleh diperoleh secara percuma di laman web www.boltbrowser.com

4. Novatel MiFi (www.novatelwireless.com)

Novatel MiFi adalah alat yang membolehkan sambungan Internet 3G dikongsi melalui kemudahan WiFi.

Jika dulu modem 3G hanya boleh disambungkan kepada sebuah komputer saja, dengan Novatel MiFi, ia boleh dikongsi secara terus melalui sambungan WiFi.

MiFi memiliki slot kad SIM 3G dan slot kad memori MicroSD. Ia beroperasi di atas sistem operasi Linux berserta kemudahan Web Server.

Proses mendail bagi mendapatkan sambungan Internet boleh dilakukan melalui perisian pelunsur Web secara keseluruhan.

Kemudahan ini juga membolehkan peralatan yang mempunyai kemudahan WiFi membentuk jaringan di antara satu sama lain. Tiada lagi router atau modem jalur lebar diperlukan.

Peralatan seperti pencetak yang mempunyai kemudahan WiFi kini juga boleh dikongsi dengan mudah tanpa perlu membeli WiFi AP tambahan.

Peralatan ini yang akan berada di pasaran pada pertengahan tahun ini belum ditetapkan harga lagi.