Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Monday, May 31, 2010

Cetak dokumen terus dari BlackBerry

Pengguna BlackBerry kini dimudahkan dengan perkhidmatan percetakan terus daripada peranti mereka melalui perkhidmatan ditawarkan oleh Hewlett Packard (HP) yang diperkenalkan baru-baru ini.

Perkhidmatan yang disasarkan kepada perniagaan itu membolehkan pengguna mencetak dokumen terus ke pencetak HP menerusi aplikasi disediakan dalam menu BlackBerry.

Naib Presiden Kanan, Kumpulan Pengimejan dan Percetakan HP Asia Pasifik & Jepun, John Solomon, berkata ia ditawarkan selepas HP itu didekati pengeluar Research In Motion (RIM) untuk menghasilkan perkhidmatan sedemikian.

"Perkhidmatan berasaskan perkomputeran 'cloud' itu membolehkan peranti BlackBerry mengesan mana-mana pencetak HP terpilih," katanya.

Solomon berkata, perkhidmatan itu disediakan berikutan pertambahan pekerja mudah alih yang memerlukan mereka bergerak untuk tujuan perniagaan namun pada masa memerlukan cetakan dokumen ketika keluar pejabat.

"Kami memahami pengguna akan memindah turun dokumen daripada e-mel tapi tidak dapat mencetak dalam bentuk fizikal kerana tiada kemudahan terbabit ditawarkan setakat ini," katanya.

Perkhidmatan yang disasarkan kepada perniagaan itu membolehkan pengguna mencetak dokumen terus ke pencetak HP menerusi aplikasi disediakan dalam menu BlackBerry.

Naib Presiden Kanan, Kumpulan Pengimejan dan Percetakan HP Asia Pasifik & Jepun, John Solomon, berkata ia ditawarkan selepas HP itu didekati pengeluar Research In Motion (RIM) untuk menghasilkan perkhidmatan sedemikian.

"Perkhidmatan berasaskan perkomputeran 'cloud' itu membolehkan peranti BlackBerry mengesan mana-mana pencetak HP terpilih," katanya.

Solomon berkata, perkhidmatan itu disediakan berikutan pertambahan pekerja mudah alih yang memerlukan mereka bergerak untuk tujuan perniagaan namun pada masa memerlukan cetakan dokumen ketika keluar pejabat.

"Kami memahami pengguna akan memindah turun dokumen daripada e-mel tapi tidak dapat mencetak dalam bentuk fizikal kerana tiada kemudahan terbabit ditawarkan setakat ini," katanya.

Perkhidmatan ini yang diwujudkan mendapat kerjasama kedua-dua entiti perniagaan dalam pembangunan aplikasi CouldPrint yang mempunyai ciri perkhidmatan berasaskan web.

Walau bagaimanapun, atas alasan keselamatan, cetakan dokumen dibuat melalui BlackBerry hanya boleh dilakukan pada satu rangkaian saja bermakna pengguna perlu disambungkan melalui Rangkaian Maya Persendiran (VPN) milik syarikat ketika di tempat umum.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelesaian Pengurusan Enterpris Kumpulan Pengimejan dan Percetakan HP Asia Pasifik & Jepun, Pierre Mirlesse berkata kerjasama strategik dengan RIM membolehkan butang khas cetakan ditetapkan dalam peranti terbabit.

"Pengguna yang ingin mencetak hanya perlu tiga langkah mudah iaitu mencari aplikasi cetak, mengesan pencetak dan klik butang untuk mencetak dokumen terus dari Blackberry," katanya.

HP turut mengumumkan kerjasama dengan rangkaian hotel terkemuka, Hilton yang menyediakan pencetak HP di pusat perniagaan mereka.

"Kami mengetahui kebanyakan pengguna yang melakukan kerja luar akan tinggal di hotel dan sebelum bermesyuarat perlu mencetak dokumen penting," kata Mirlesse.

Thursday, May 27, 2010

Apple rampas takhta Microsoft peneraju syarikat teknologi AS

NEW YORK: Pembangun produk komputer Macintosh, Apple, merampas takhta syarikat teknologi terbesar Amerika Syarikat (AS) dari segi nilai pasarannya daripada gergasi pembangun perisian, Microsoft.

Saham Microsoft merosot 4.07 peratus hari ini, ditutup pada AS$25.01 sehingga menyebabkan penurunan permodalan pasarannya; iaitu jumlah saham tidak berbayar didarabkan dengan harga saham, kepada AS$219.18 bilion.

Saham Apple jatuh 0.45 peratus, ditutup AS$244.05, memberikan nilai pasaran kepada AS$222.07 bilion.

Satu-satunya syarikat yang memiliki modal pasaran lebih besar berbanding Apple adalah Exxonmobil iaitu pada AS$278.64 bilion.

Saham Apple meningkat dengan stabil beberapa tahun ini, dan sebagai ketua eksekutifnya, Steve Jobs, yang kembali ke Apple pada 1997, menjadi perintis kepada kemunculan produk yang digemari ramai, bermula dengan kemunculan iPod pada 2001, diikuti iPhone pada 2007 dan iPad tahun ini. - AFP

Tuesday, May 25, 2010

Jet ski elektrik

Mendengar namanya sahaja tentu anda akan terpegun, itu belum lagi apabila mengetahui bahawa 'Green Samba' adalah kenderaan air pertama peribadi (PWC) di dunia yang menggunakan kuasa elektrik. Menarik sekali! Ini kerana apa yang kita ketahui industri automobil dunia sememangnya berlumba-lumba memperkenalkan kereta hibrid atau elektrik, tetapi tidak pula diketahui bahawa PWC atau kita panggil jet ski juga akan dijana oleh kuasa bateri.

Green Samba yang dikategorikan sebagai PWC mempunyai kuasa kuda 260 bhp dengan kelajuan 105 kilometer sejam (km/j), yang menandingi jet ski biasa di pasaran. Kenderaan itu juga menggunakan dua enjin dengan pod pendorongan jet berkuasa elektrik yang tidak menghasilkan sebarang hidrokarbon yang mencemarkan udara atau air.

Seperti kebanyakan kenderaan elektrik di darat, sudah tentu jet ski ini juga sangat senyap dan tidak akan menganggu mereka yang berada di sekitarnya seperti jet ski biasa. Kenderaan ini direka oleh syarikat Silveira Group, syarikat berpangkalan di Ohio, Amerika Syarikat yang diasaskan oleh Rodrigo dan Kristen Silveira.
Mereka mempunyai kepakaran dalam reka bentuk komponen karbon fiber untuk digunakan dalam aplikasi berprestasi tinggi seperti komponen kereta lumba sehingga aplikasi pengguna seperti beg pakaian. Sebuah prototaip lengkap jet ski ini sedang dibina dan dijangka dapat diuji sepenuhnya sebelum September ini. Silveira Group mengambil masa lima tahun untuk membangunkan jet ski berbentuk ikan pari ini dan ia boleh dibawa seperti membawa motosikal.

Jet ski hibrid

Seperti juga perkembangan dalam teknologi kereta, Silveira juga merancang untuk membolehkan jet ski turut digunakan bersama minyak gasolin atau diesel untuk mereka yang inginkan lebih kuasa tinggi, sekaligus menjadikannya sebuah jet ski hibrid. Sehingga April tahun lepas, Green Samba telah mempunyai empat prototaip dan kini sedang dipertingkatkan kuasanya untuk menyamai kemampuan jet ski di pasaran.

Silveira juga merancang untuk menggantikan enjin dwi-silinder 800 cc yang digunakannya sebelum ini dan syarikat itu hampir putus asa dalam proses pembangunan enjin elektrik baru tersebut. "Saya boleh beritahu anda yang membuat kenderaan air yang mesra alam bukannya mudah kerana orang ramai tidak mahu 'menggadaikan' kelajuan," kata Silveira. Beliau berkata, kapasiti teknologi bateri setakat ini masih tidak mampu menampung keperluan tenaga untuk menghasilkan tenaga berkuasa tinggi. "Untuk mengerakkan jet ski dengan kelajuan biasa, kita memerlukan bateri yang beratnya boleh mencapai 68 kilogram (kg) dan sudah tentu ia akan menganggu pengendalian pula," katanya.

Dengan peruntukan kewangan yang semakin terhad, Silveira pada awalnya menghadapi cabaran untuk membangunkan enjin jet ski itu tetapi akhirnya mampu mengatasi masalah itu apabila menjumpai teknologi pendorongan yang dibangunkan untuk aplikasi ketenteraan tetapi tidak digunakan. Dengan teknologi itu, kini jet ski berkuasa elektrik boleh dimajukan dengan mempunyai kelajuan seperti jet ski biasa 105 km/j, kelajuan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Dengan menggunakan enjin ini, teknologi itu boleh mencapai tolakan antara 15.8 dan 16.5 kg bagi setiap kuasa kuda, berbanding 12.7 kg tolakan bagi enjin yang menggunakan gasolin. "Pod yang digunakan untuk enjin elektrik ini juga berada dalam satu enjin tanpa perlu dihubungkan kepada mana-mana komponen lain, kecuali sumber tenaga elektrik dan alat kawalan," kata Silveira.

Penggabungan segala komponen dalam satu enjin itu memudahkan pereka jet ski meletakkan enjin itu di mana-mana sahaja. Untuk Green Samba, syarikat akan meletakkan pod mengepam air di bahagian lebih bawah berbanding rekaan tradisional yang seterusnya mampu memberikan prestasi lebih baik ketika beroperasi. Bagi setiap kali caj, adalah dianggarkan kenderaan ini boleh digunakan sehingga tiga jam seperti kebanyakan PWC biasa di pasaran.

Apabila memasuki pasaran komersial, Green Samba dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan terutama di Eropah yang mana banyak tasik dan perairannya mengharamkan penggunaan jet ski dengan minyak diesel.Matlamat Silveira Group ialah untuk membangunkan PWC untuk pengguna biasa dan juga diubahsuai bagi kegunaan tertentu seperti penyelidikan marin, alam sekitar dan lain-lain seperti tentera yang inginkan kenderaan air yang laju dan senyap.

Thursday, May 20, 2010

Jam tangan hologram?

Teknologi skrin sesentuh boleh dianggap antara satu revolusi terbesar yang pernah berlaku dalam kehidupan moden manusia. Ini kerana dengan adanya teknologi ini manusia dilihat semakin cenderung untuk melibatkan diri dalam sebarang kegiatan membabitkan teknologi berbanding sebelumnya.

Kita lihat sahaja penggunaan telefon bimbit. Jika sebelum ini sudah memadai jika mempunyai telefon bimbit yang mempunyai papan pemuka biasa bagi mendail nombor atau menghantar mesej, namun dengan adanya teknologi skrin sesentuh masyarakat semakin galak untuk mempunyai telefon bimbit yang mempunyai kemudahan tersebut.

Dengan ini ia sedikit sebanyak mendorong manusia untuk lebih melibatkan diri dalam penggunaan teknologi moden. Sebagai contoh sebelum ini golongan yang agak berumur lebih mudah menggunakan telefon biasa hanya sekadar untuk berkomunikasi.

Namun sekarang adalah pemandangan biasa untuk kita melihat mereka lebih obses dengan telefon bimbit yang menyediakan teknologi skrin sesentuh. Pastinya dengan perubahan ini mereka dengan sendirinya akan turut mengikut perubahan zaman yang semakin mendambakan penggunaan laman sosial seperti facebook dan Twitter dalam komunikasi seharian.

Maka kecanggihan teknologi telah menggalakkan penglibatan pengguna untuk beralih arah kepada skrin sesentuh berbanding sebelumnya. Namun bagi para pengkaji teknologi teknologi skrin sesentuh hanyalah permulaan kepada kecanggihan yang lebih menarik untuk masa akan datang.

Hologram

Mereka kini sudah pun berusaha membangunkan teknologi jam tangan yang akan melayarkan hologram yang akan berfungsi dengan hanya menyentuh pada skrin yang dipancarkan. Teknologi ini yang diberi nama HOLO 2.0 merupakan satu konsep rekaan terbaru yang mampu menggantikan fungsi komputer bimbit sekarang. HOLO 2.0 menggunakan tenaga bateri kinetik dan sumbernya terhasil dari pergerakan kinetik dari tangan kita. Jam tangan ini mampu untuk memaparkan paparan hologram yang berfungsi sebagai sebuah komputer bimbit.

Namun pada masa yang sama ia juga boleh diubah suai sebagai pengganti komputer meja. Ini kerana alat ini akan turut disertakan dengan peralatan yang berupaya membesarkan paparan hologram sama seperti yang biasa didapati melalui komputer meja. Paparannya dikatakan boleh memanjang sehingga 140 mm dan lebar 20 mm.

Mereka yang terlibat dalam mereka bentuk HOLO 2.0 adalah Elodie Delassus, Pradeep Kamath, Rucha Shinde, Taha Poonawala dan Asher Kandelar dan ia dibangun oleh sebuah syarikat dari India. Pihak berkenaan bercadang untuk mula memasuki pasaran dunia pada 2015. Pastinya ketika itu teknologi skrin sesentuh sudah mampu dimiliki oleh semua dan agak ketinggalan. Maka sebagai sebahagian dari penggantian teknologi, projek HOLO 2.0 ini dilihat mampu mengisi kekosongan yang ada. Secara umumnya HOLO 2.0 ini berfungsi dengan hanya dililitkan di pergelangan tangan dan dengan hanya beberapa sentuhan di permukaannya maka hologram akan terpancar. Melalui hologram ini ia akan memainkan peranan seperti sebuah komputer yang mana kebanyakan fungsinya akan dilakukan dengan hanya menyentuh skrin yang dipaparkan.

Pastinya teknologi ini adalah sesuatu yang mampu menarik perhatian semua kerana ia menyediakan alternatif terbaru kepada pengguna sebagai komputer mudah alih pada masa depan. Teknologi yang dibangunkan ini nampak semakin mudah dibawa kemana sahaja malah turut boleh digayakan seperti fesyen terkini untuk mereka yang gemar bergaya.

Sehingga kini amat sedikit maklumat yang diperoleh dan masih belum terdapat spesifikasi yang jelas tentang teknologi yang bakal diterapkan. Seperti yang kita sedia maklum masih belum jelas terdapat sebarang peralatan yang mampu mengeluarkan teknik hologram. Yang terdapat kini hanyalah teknik paparan imej yang dikeluarkan melalui projektor.

Teknologi sebegini yang telah mula dipaparkan sejak filem Star Wars masih belum dapat dibangunkan secara jelas. Mungkin ia sudah dibangunkan untuk kegunaan ketenteraan namun sama ada ia mampu dipasarkan atas tujuan membuat keuntungan, itu masih lagi menjadi satu persoalan besar. Namun apa yang pasti teknologi akan sentiasa berubah sebagai alat untuk memacu pembaharuan yang diperlukan manusia dalam memudahkan kehidupan.

Adalah tidak mustahil teknologi hologram ini mampu menjadi seperti mana yang dilalui oleh skrin sesentuh sekarang. Dan ketika itu teknologi sepertinya adalah satu lagi keperluan bagi manusia yang sentiasa dahagakan perubahan.

Wednesday, May 12, 2010

Kereta peronda polis dipasang kamera

Berdasarkan beberapa kes membabitkan polis ada di antaranya mewujudkan pelbagai tanggapan negatif pada pandangan masyarakat mengenai keupayaan pasukan itu menangani situasi tertentu ketika bertugas.

Ia termasuk kes seorang remaja mati ditembak kerana disyaki penjenayah dan sehinggalah kes itu selesai disiasat kelak, seharusnya tidak ada sesiapa yang perlu dipersalahkan sebaliknya dijadikan pengajaran pada masa depan.

Isu seperti itu sebenarnya mudah diatasi dengan perkembangan teknologi masa kini kerana ia dikatakan mampu menjustifikasikan situasi sebenar ketika berlaku sesuatu insiden.

Pada penghujung 90-an, wujud kes di Amerika Syarikat berkaitan tuntutan saman yang difailkan terhadap seluruh institusi polis peronda apabila dikaitkan penangkapan berasaskan warna kulit di negara berkenaan.

Berasaskan beberapa fakta, mahkamah memutuskan terdapat bukti berkaitan profil perkauman berlaku ketika kejadian membabitkan penahanan warga berkulit hitam yang sering menimbulkan kontroversi.

Penemuan mahkamah terbabit memberi persepsi awam yang negatif dan melemahkan kepercayaan kepada polis.

Jika ia terus berlaku dan dibualkan penduduk negara itu, ia mencemarkan institusi kepolisan yang membuka mata pihak atasan bagi mencari langkah proaktif menghentikan salah guna kuasa polis dan mengembalikan kepercayaan masyarakat.

Bermula daripada keadaan tidak tenteram itu, timbul idea untuk mengerahkan jabatan polis memasang kamera video bagi merakam aktiviti penguasa dan pertemuan lain dengan masyarakat.

Atas dasar membina kepercayaan awam, rakaman video kenderaan peronda ditempatkan dalam usaha menyediakan bukti yang jelas dan boleh ditonton masyarakat bagi membendung penyalahgunaan kuasa.
Dalam usaha untuk membantu institusi kepolisan negara itu bagi menghadapi tuduhan isu perkauman dan aduan lain, Jabatan Pejabat Kehakiman Pejabat Perkhidmatan Polisi Berorientasikan Masyarakat (COPS) mencipta Program Insentif Kamera Dalam Kenderaan.

Program itu diwujudkan untuk membantu dari aspek kewangan kepada institusi polis yang digunakan untuk membeli dan memasang sistem kamera dalam kenderaan.

Pada akhir 2003, 47 negeri dan daerah di Columbia menerima peruntukkan RM71.4 juta untuk pembelian kamera dalam kenderaan polis. Setakat ini, 72 peratus kenderaan polis dan peronda jalan raya di Columbia yang digunakan untuk rondaan dilengkapi dengan sistem kamera video dan jumlah ini terus meningkat.

Pada 2002, Persatuan Ketua Polis Antarabangsa (IACP) ditugaskan oleh Pejabat COPS untuk mengkaji keberkesanan sistem terbabit kamera.

Sementara itu, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengambil langkah menambah 300 kamera lagi dalam kereta peronda yang membabitkan kos bernilai kira-kira RM15 juta pada 2007. Keputusan terbabit bakal menyaksikan 1600 kenderaan polis memiliki kemampuan merakam video. Dalam laporan agensi, keputusan memasang kamera video digital terbabit dilakukan selepas pelbagai insiden salah tembak dan kelakuan lain berlaku dalam tempoh beberapa tahun.

Selepas menguji empat sistem yang menghantar tender mereka, Ketua Polisnya, William J Bratton mencadangkan kontrak pemasangan teknologi terbabit kepada IBM Corporation.

Fasa pertama pemasangan di bandaraya itu membolehkan 1,600 kereta peronda dilengkapi sistem menyeluruh yang bukan memerhatikan kelakuan pegawai malah melindungi mereka daripada lemparan tuduhan.

Naib Presiden Suruhanjaya Polis, Alan Skobin, berkata kontrak kira-kira RM15 juta itu adalah langkah maju penting bagi masyarakat dan polis yang perlu dilaksanakan demi kebaikan semua.

"Terdapat masyarakat yang tidak mempercayai kelakuan pegawai kami namun dengan wujudnya sistem ini, ia sekali gus mengelak tanggapan negatif," katanya.

Namun Skobin memberi amaran bahawa kamera tidak boleh merakam insiden secara keseluruhan kerana ia terbatas dari aspek sudut dan ruang di luar kawasan kamera yang tidak memberikan gambaran lengkap.
"Pemasangan kamera disokong kesatuan yang mewakili pegawai berdasarkan peraturan yang membolehkan mereka meninjau bukti video jika dituduh," katanya.

Presiden Liga Perlindungan Polis Los Angeles, Bob Baker, berkata langkah pemasangan sistem kamera secara tidak langsung mengelak tuduhan melulu atau palsu yang dilemparkan masyarakat.

"Kebanyakan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas yang disokong bukti video.

"Semestinya, ia langkah wajar terutama jika anda bertugas di bandar besar yang mempunyai sejuta ragam manusia," katanya.

Bukan sekadar perlindungan kepada pegawai bertugas, kamera dipasang berupaya membantu Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) menyemak peraturan menerusi Internet yang dihubungkan ke balai polis.

Rakaman audio dan video yang dirakam akan diawasi penyelia dan akan memberi panduan jika pegawai di kawasan kejadian mahu memastikan prosedur penahanan dan sebagainya mengikut peraturan ditetapkan.

Malah petugas turut dilengkapi mikrofon tanpa wayar yang merakam suara mereka jika berada di luar lingkungan visual kamera seperti adegan kejar mengejar selepas suspek keluar dari kenderaan.
LAPD memutuskan untuk mencuba kamera dalam kenderaan selepas insiden polis memukul seorang penduduk, Rodney King pada 1991 yang berjaya dirakam jurugambar amatur menerusi kamera videonya.

Peranti pertama dipasang pegawai, John Smith yang mengeluarkan duit poket sendiri untuk menampung kos kamera yang berjaya merakam beberapa insiden jenayah termasuk kes rogol beramai-ramai.

Rakaman terbabit kemudiannya digunakan sebagai bahan bukti untuk mengenalpasti dan mendakwa lima penjenayah yang disabitkan atas tuduhan merogol di mahkamah.

Walaupun sering mengalami masalah kewangan untuk menambah kamera, Datuk Bandar, Antonio Villaraigosa, bersetuju membiayai kosnya dengan peruntukkan RM15 juta yang dimulakan secara berperingkat selama empat tahun.

Sebenarnya, kos pemasangan sistem keseluruhan kamera termasuk penyediaan khidmat storan boleh mencecah RM60 juta namun laporan LAPD menyebut ia boleh menyelamatkan jabatan secara jangka panjang.

Jabatan itu menganggarkan, LAPD mampu menjimatkan RM15 juta setahun untuk kos menyiasat aduan berbanding kos yang dicatatkan di atas kertas.

Kontraknya yang ditawarkan kepada IBM dibuat selepas syarikat itu berjaya dalam demonstrasi pemasangan kamera di empat kereta peronda seterusnya menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Kamera dipasang berdekatan cermin tengah kenderaan dan boleh digerakkan 360 darjah untuk merakam bahagian sisi dan belakang kenderaan.

Pada mulanya, sistem IBM sudah digunakan di dua jabatan polis di Beverly Hills dan Santa Barbara.
Mike Foxen dari Jabatan Polis Beverly Hills, berkata kamera yang dipasang mempunyai beberapa fungsi tidak hanya tertumpu kepada mengesan kelakuan pegawai tapi boleh membantu membuktikan kes jenayah.

"Anda boleh mengambil rakaman pemandu melanggar lampu merah atau merakam perbualan suspek di tempat duduk belakang selepas mereka ditahan," katanya.

Jika dibandingkan di negara Asia pula, Dubai mengambil langkah sama memasang kamera dalam kenderaan polis yang dilakukan baru-baru ini.

Senario di Dubai pula menyaksikan polis mampu bertindak pantas selepas mengesan kemalangan melalui video secara langsung daripada 260 kereta peronda menggunakan sistem yang dipasang.
Kamera dipasang di menggunakan teknologi tanpa wayar yang disambungkan ke bilik operasi membolehkan pegawai melihat insiden berlaku.

Ketua Polis Dubai, Lt Jen Dahi Khalfan Tamim, berkata, ia berupaya memberi mereka maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan bagi menentukan kaedah terbaik menangani situasi tertentu.
"Sistem baru ini mempercepatkan proses membuat keputusan kerana pegawai polis akan dapat menilai situasi di tempat kejadian sebelum mengambil langkah yang perlu," katanya.

Hampir 15 peratus kereta polis akan dilengkapi kamera menjelang akhir tahun ini.

Sistem kamera akan mula beroperasi sebaik enjin kenderaan dihidupkan dan dipantau pegawai bertugas di bilik operasi.
Setiap rakaman akan direkodkan untuk tujuan penyelidikan selepas teknologi ini diperkenalkan buat pertama kali sebagai projek perintis pada Oktober 2008 dan diperluaskan Jun tahun lalu. Sementara itu di Oveido, kerajaan tempatan membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk 30 kamera manakala hampir RM60,000 lagi diperuntukkan untuk pemasangan sistem pelayan.

Ketua Polis Oviedo, Jeffrey Chudnow, pemasangan kamera lebih tertumpu kepada proses dokumentasi dan pengumpulan bukti dalam kes tertentu.

"Terdapat situasi perlu ditempuh pegawai ketika menahan suspek yang mana mereka akan berhadapan dengan individu mengeluarkan kata kesat tanpa boleh dibuktikan.

"Berbanding, menggunakan kamera, kami boleh merakam perincian perbualan antara pegawai dan suspek yang menguatkan kes jika ia dibawa ke mahkamah," katanya.

Selain kereta polis, Oveido merancang untuk memasang kamera pada motosikal jabatan polis serta pegawai yang meronda secara berjalan kaki untuk memastikan kualiti layanan dan keupayaan berkomunikasi.

Chudnow berkata, pihaknya kini menunggu teknologi kamera berkembang dengan pembangunan aplikasi yang membenarkan kamera merakam nombor plat kenderaan secara automatik.
"Nombor plat yang dirakam akan dikesan ke pusat data sebelum maklumat mengenainya akan disalurkan semula ke kereta peronda menentukan sama ada ia kenderaan curi atau sebagainya," katanya.

Sesungguhnya pemasangan kamera dalam kenderaan polis memerlukan kos besar namun jika difikirkan manfaatnya pada masa depan dengan situasi melanda negara ini sejak kebelakangan ini, ia langkah yang perlu diuji keberkesanannya.

Monday, May 03, 2010

Kenderaan 'tiga alam'

Semua daripada kita tahu yang hoverkraf merupakan kenderaan yang dicipta untuk 'dua alam' kerana kebolehannya untuk meluncur laju di atas air dan juga bergerak di atas jalan atau tanah. Bagaimanapun, kita mungkin termenung sejenak apabila mengetahui terdapat kenderaan itu yang boleh beroperasi dalam 'tiga alam' pula kerana ia bukan sahaja mampu beroperasi di atas air dan tanah, tetapi juga terbang di udara!

Hoverkraf yang pertama sebenarnya dicipta oleh Sir Christopher Cockerell pada 1956 dan ia merupakan kenderaan yang bergerak menggunakan tekanan udara dan tidak bergantung kepada tayar seperti lain-lain kenderaan darat atau kipas untuk kenderaan laut. Cara hoverkraf beroperasi adalah menggunakan tekanan angin ke bawah bertujuan menaikkan kenderaan itu beberapa inci dari permukaan air atau tanah dan tekanan angin ke belakang pula akan mengerakkannya ke hadapan.

Terdapat pelbagai jenis hoverkraf di pasaran sama ada yang digunakan sebagai bot kecil atau feri yang mengangkut penumpang di pelabuhan. Bagaimanapun perkembangan hoverkraf tidak berhenti setakat itu kerana terdapat beberapa usaha untuk meningkatkan kemampuan kenderaan itu termasuk terbang di udara setinggi beberapa meter.

Rudy Heeman dari Nelson, New Zealand misalnya merupakan seorang daripada beberapa pencipta di seluruh dunia yang berminat untuk menerbangkan hoverkraf. Dalam ciptaannya, Heeman mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk membangunkan hoverkraf terbangnya yang dilakukan secara sambilan. Secara asasnya, mesin ini beroperasi sebagai sebuah bot asalkan ia tidak mencapai kelajuan 70 kilometer sejam (km/j) kerana selepas kelajuan itu, ia akan terbang ke udara. Kelajuan maksimumnya ialah 100 km/j.
Mesin yang menggunakan enjin 1.8 Subaru itu juga boleh bergerak sejauh 225 km dan sayapnya boleh dibuka daripada badan kenderaan.

Apabila terbang, mesin ini hanya boleh dinaiki oleh dua orang dengan jumlah berat 160 kilogram tetapi ia boleh membawa tiga orang apabila beroperasi sebagai hoverkraf.

Terbang tiga meter
Hoverkraf ini boleh terbang setinggi tiga meter dan pengendalinya tidak memerlukan lesen penerbangan kerana mesin ini hanyalah sebuah bot. Heeman berkata, beliau menghabiskan masa lebih 800 jam dan beribu dollar untuk membangunkan mesin yang kini ditawarkan untuk jualan di Internet. "Mesin ini sangat sesuai untuk petani kerana anda boleh terus masuk ke dalam ladang tanpa perlu membuka pintu pagarnya," kata Heeman.

Sebelum Heeman, sebenarnya terdapat juga syarikat dari Rockford, Illinois, Amerika Syarikat yang telah membangunkan hoverkraf boleh terbang untuk pasaran komersial. Syarikat Universal Hovercraft telah memperkenalkan hoverkraf dikenali sebagai 19XRW Hoverwing yang boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, perindustrian, komersial dan ketenteraan.

Hoverkraf ini boleh terbang hingga 1.8 meter apabila mencapai kelajuan 120 km/j. Bagaimanapun, jika perlu melalui halangan lebih tinggi, ia mampu 'melonjak' sehingga enam meter. Seperti juga hoverkraf Heeman, sayap bagi Hoverwing boleh dibuka dan ia boleh dilakukan dalam masa 10 minit sahaja.Sebaik sayap dibuka, Hoverwing akan berada dalam mod Sport yang mana ia menjadi hoverkraf berkuasa dan mampu membawa sehingga enam penumpang untuk memasuki kawasan-kawasan yang sukar diakses oleh bot atau kereta.

Kelebihan Hoverwing juga ialah ia boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan penumpang untuk beroperasi di kawasan berair, berpasir, berlumpur, paya atau salji. Setakat ini, Universal Hovercraft hanya menjual kenderaan ini untuk tujuan komersial, perindustrian, menyelamat dan ketenteraan sahaja dengan harga kira-kira RM270,000.