Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Tuesday, May 25, 2010

Jet ski elektrik

Mendengar namanya sahaja tentu anda akan terpegun, itu belum lagi apabila mengetahui bahawa 'Green Samba' adalah kenderaan air pertama peribadi (PWC) di dunia yang menggunakan kuasa elektrik. Menarik sekali! Ini kerana apa yang kita ketahui industri automobil dunia sememangnya berlumba-lumba memperkenalkan kereta hibrid atau elektrik, tetapi tidak pula diketahui bahawa PWC atau kita panggil jet ski juga akan dijana oleh kuasa bateri.

Green Samba yang dikategorikan sebagai PWC mempunyai kuasa kuda 260 bhp dengan kelajuan 105 kilometer sejam (km/j), yang menandingi jet ski biasa di pasaran. Kenderaan itu juga menggunakan dua enjin dengan pod pendorongan jet berkuasa elektrik yang tidak menghasilkan sebarang hidrokarbon yang mencemarkan udara atau air.

Seperti kebanyakan kenderaan elektrik di darat, sudah tentu jet ski ini juga sangat senyap dan tidak akan menganggu mereka yang berada di sekitarnya seperti jet ski biasa. Kenderaan ini direka oleh syarikat Silveira Group, syarikat berpangkalan di Ohio, Amerika Syarikat yang diasaskan oleh Rodrigo dan Kristen Silveira.
Mereka mempunyai kepakaran dalam reka bentuk komponen karbon fiber untuk digunakan dalam aplikasi berprestasi tinggi seperti komponen kereta lumba sehingga aplikasi pengguna seperti beg pakaian. Sebuah prototaip lengkap jet ski ini sedang dibina dan dijangka dapat diuji sepenuhnya sebelum September ini. Silveira Group mengambil masa lima tahun untuk membangunkan jet ski berbentuk ikan pari ini dan ia boleh dibawa seperti membawa motosikal.

Jet ski hibrid

Seperti juga perkembangan dalam teknologi kereta, Silveira juga merancang untuk membolehkan jet ski turut digunakan bersama minyak gasolin atau diesel untuk mereka yang inginkan lebih kuasa tinggi, sekaligus menjadikannya sebuah jet ski hibrid. Sehingga April tahun lepas, Green Samba telah mempunyai empat prototaip dan kini sedang dipertingkatkan kuasanya untuk menyamai kemampuan jet ski di pasaran.

Silveira juga merancang untuk menggantikan enjin dwi-silinder 800 cc yang digunakannya sebelum ini dan syarikat itu hampir putus asa dalam proses pembangunan enjin elektrik baru tersebut. "Saya boleh beritahu anda yang membuat kenderaan air yang mesra alam bukannya mudah kerana orang ramai tidak mahu 'menggadaikan' kelajuan," kata Silveira. Beliau berkata, kapasiti teknologi bateri setakat ini masih tidak mampu menampung keperluan tenaga untuk menghasilkan tenaga berkuasa tinggi. "Untuk mengerakkan jet ski dengan kelajuan biasa, kita memerlukan bateri yang beratnya boleh mencapai 68 kilogram (kg) dan sudah tentu ia akan menganggu pengendalian pula," katanya.

Dengan peruntukan kewangan yang semakin terhad, Silveira pada awalnya menghadapi cabaran untuk membangunkan enjin jet ski itu tetapi akhirnya mampu mengatasi masalah itu apabila menjumpai teknologi pendorongan yang dibangunkan untuk aplikasi ketenteraan tetapi tidak digunakan. Dengan teknologi itu, kini jet ski berkuasa elektrik boleh dimajukan dengan mempunyai kelajuan seperti jet ski biasa 105 km/j, kelajuan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.

Dengan menggunakan enjin ini, teknologi itu boleh mencapai tolakan antara 15.8 dan 16.5 kg bagi setiap kuasa kuda, berbanding 12.7 kg tolakan bagi enjin yang menggunakan gasolin. "Pod yang digunakan untuk enjin elektrik ini juga berada dalam satu enjin tanpa perlu dihubungkan kepada mana-mana komponen lain, kecuali sumber tenaga elektrik dan alat kawalan," kata Silveira.

Penggabungan segala komponen dalam satu enjin itu memudahkan pereka jet ski meletakkan enjin itu di mana-mana sahaja. Untuk Green Samba, syarikat akan meletakkan pod mengepam air di bahagian lebih bawah berbanding rekaan tradisional yang seterusnya mampu memberikan prestasi lebih baik ketika beroperasi. Bagi setiap kali caj, adalah dianggarkan kenderaan ini boleh digunakan sehingga tiga jam seperti kebanyakan PWC biasa di pasaran.

Apabila memasuki pasaran komersial, Green Samba dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan terutama di Eropah yang mana banyak tasik dan perairannya mengharamkan penggunaan jet ski dengan minyak diesel.Matlamat Silveira Group ialah untuk membangunkan PWC untuk pengguna biasa dan juga diubahsuai bagi kegunaan tertentu seperti penyelidikan marin, alam sekitar dan lain-lain seperti tentera yang inginkan kenderaan air yang laju dan senyap.

No comments: