Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Saturday, June 19, 2010

Kaspersky bina pusat panggilan di Cyberjaya

Kaspersky Lab, penyedia penyelesaian keselamatan Teknologi Maklumat (IT) terkemuka global memutuskan untuk membina pusat perkhidmatan panggilan bagi rantau Asia Tenggaranya di Cyberjaya sebagai sokongan kepada operasi pusat panggilannya di China.

Susulan itu, syarikat berpangkalan di Russia itu akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Malaysia bulan depan bagi membincangkan rancangan itu.

Susulan itu, syarikat berpangkalan di Russia itu akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Malaysia bulan depan bagi membincangkan rancangan itu.

Pengarah Urusan Kaspersky Lab Asia Pasifik, Harry Cheung berkata, pihaknya sudah bersedia membuat pelaburan yang besar bagi membuka pusat panggilan kedua itu kerana pusat panggilan di China sudah tidak mampu lagi menyokong pertambahan operasi syarikat itu di rantau ini.

Katanya, pusat panggilan yang akan di bina itu bakal memfokuskan operasi perkhidmatan Kaspersky di tujuh negara Asia Tenggara sebagai usaha syarikat mengukuhkan kehadirannya di rantau ini.

“Kami serius mahu membangunkan projek ini selepas keputusan dicapai baru-baru ini, yang mana kami menilai keperluan kami pada masa ini sama ada untuk membangunkan pusat panggilan bagi menyokong operasi di China atau pusat penyelidikan.

“Justeru, kami akan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Malaysia dengan segera bagi menyatakan komitmen kami melabur di Malaysia,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Cheung berkata, pada pertemuan itu nanti pihaknya akan membincangkan dengan lebih lanjut berhubung tawaran daripada kerajaan khususnya mengenai keluasan tapak di Cyberjaya yang bakal dibangunkan sebagai pusat panggilan itu dan insentif tenaga kerja.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung jumlah pelaburan dan kos pembangunan pusat panggilan itu berkata, saiz pelaburan akan bergantung kepada keluasan kawasan bakal ditawarkan kepada pihaknya.

“Kami bersedia memperuntukkan pelaburan yang besar di sini. Ia bergantung kepada hasil perbincangan itu nanti, kerana apa yang penting pelaburan ini akan mewujudkan beratus peluang pekerjaan di Malaysia.

“Malaysia menepati semua keperluan operasi kami, dari segi kepakaran teknologi IT, kos operasi rendah dan penguasaan bahasa yang mana kami mudah menemui pekerja yang mahir bahasa utama Asia Tenggara termasuk bahasa Inggeris, Melayu, China dan India,” katanya.

Friday, June 18, 2010

Sanyo hasil produk mesra alam

Pelbagai barangan terkini keluaran Sanyo Electric Co. Ltd (Sanyo) dipamerkan semasa Persidangan Produk Asia Pasifik yang diadakan di Sentosa, Singapura baru-baru ini.Persidangan berkenaan mempamerkan hampir semua produk dan sistem Sanyo yang kebanyakannya telah menerima anugerah antarabangsa kerana reka bentuk dan persembahan.

Ini termasuk sistem tenaga pintar (SES), kelengkapan rumah dan penyelesaian digital mewakili Sanyo dalam tiga domain utama iaitu tenaga, ekologi dan elektronik.Ketua Pegawai Serantau Asia Pasifik Sanyo, Yoshinori Nakatani berkata, Sanyo memulakan dengan bisnes penyelesaian tenaga pada 2009 dan telah membawa kepada peningkatan dalam kesedaran jenama dan jualan.

Sanyo telah bekerjasama dengan kedai serbaguna di Thailand menggunakan kamera litar tertutup, alat hawa dingin dan pameran."Sanyo kemudian melangkah maju menjadi peneraju dalam aplikasi penjimatan tenaga, alam sekitar dan gaya hidup, Sanyo akan terus mengembangkan bisnes penyelesaian tenaga bagi mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2)," katanya.

Selain itu Sanyo juga akan mengaplikasikan kemudahannya itu dalam pelbagai bangunan seperti kilang, sekolah, kedai dan rumah di rantau Asia.Pembangunan ekonomi di rantau berkenaan menyebabkan peningkatan bilangan kedai, pasar raya, pejabat dan kilang.Beliau menambah, kesedaran dalam isu alam sekitar Sanyo akan memberikan penekanan kepada perniagaan berkaitan tenaga dalam alam sekitar.
"Sebagai satu inisiatif bagi mendapatkan masyarakat dengan tenaga bersih, Sanyo akan meluaskan bisnes solar di Singapura dan rantau Asia Pasifik," katanya.

Januari lalu, sistem fotovoltaik terbesar di Singapura menggunakan modul solar heterojunction with intrinsic thin layer (HIT) telah digunakan di Universal Studio, Singapura.Ia telah diiktiraf sebagai hub bagi perkongsian maklumat dan dilihat sebagai barisan depan dalam eko teknologi dan inisiatif. Ini telah memberikan peluang kepada Sanyo untuk mempamerkan projek berkenaan sebagai yang pertama di rantau Asia Pasifik.

Pada April lalu, Sanyo telah mula memasarkan panel HIT ke Malaysia, Thailand dan India manakala lampu solar LED pada Julai depan.Sanyo juga akan menggunakan teknologi canggih dan mencipta produk khusus bagi keperluan penduduk di Asia Pasifik, memberikan penekanan bagi memastikan produknya akan mendapat permintaan menggalakkan.

"Rantau Asia Pasifik merupakan antara yang pasaran penting bagi Sanyo dan kami akan berterusan menghasilkan produk tenaga dan alam sekitar bagi memenuhi kehendak pasaran," katanya.

Friday, June 11, 2010

Blackberry : Tambah warna, tembusi pasaran muda

Telefon bimbit pintar yang dikenali sebagai Blackberry yang dibangunkan syarikat bertapak di Kanada, Research In Motion (RIM) kian popular sejak tiga tahun kebelakangan hingga baru-baru ini ia berjaya meletakkan diri di kalangan lima jenama terkemuka dunia.

Walaupun ada yang mengatakan jenama terbabit popular kerana penggunaannya diterajui Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, ia tetap peranti pintar dengan keupayaan aplikasi seperti buku alamat, kalendar dan sebagainya sama seperti peranti pintar lain.

Paling dikenali kerana kebolehannya menghantar dan menerima e-mel di mana saja menggunakan rangkaian tanpa wayar dengan penetapan mudah sehingga kini menguasai 20.8 peratus telefon pintar di dunia yang menjadikannya peranti kedua paling popular selepas Nokia.

Produk pertama BlackBerry dihasilkan pada 1999 berasaskan konsep 'pager' namun pada 2002, peranti pintar yang pertama dicipta dengan menyokong keupayaan e-mel tolakan, faks Internet, melayari laman web dan perkhidmatan maklumat tanpa wayar lain.

Kalau diteliti, kebanyakan model BlackBerry menggunakan papan kekunci QWERTY yang mengoptimumkan ibu jari anda ketika menaip dengan fungsi 'trackball' untuk menggerakkan kursor ke menu sehingga pengenalan 'trackpad' pula sejak kebelakangan ini.

Model BlackBerry disepadukan dengan pemprosesan ARM 7 atau 9 manakala model terdahulu, BlackBerry 950 dan 957 mendapat bantuan Intel 80386.

RIM membekalkan sistem operasi pelbagai tugasan untuk BlackBerry yang menyokong Java MIDP 1.0 dan WAP 1.2 malah membenarkan pembangun mencipta kod perisian bagi aplikasinya.

Data yang diekstrak daripada peranti BlackBerry akan disimpan dalam format khas iaitu IPD dengan fail akan dienkripsikan ke sistem kerangka utama BlackBerry.

Pelayan Enterpris BlackBerry (BES) menjadi tulang belakang kejayaan syarikat itu menawarkan sistem e-mel mudah kepada pengguna yang membolehkan mereka membuka Microsoft Exchange, Lotus Domino dan Novell Group Wise.

BES menyimpan akaun e-mel secara bersepadu dengan mengemaskini kotak e-mel anda sebaik mesej masuk diterima yang dihantar melalui Pusat Operasi Rangkaian RIM (NOC) dinamakan e-mel tolakan (push e-mel).

Secara teknikalnya, ia membekalkan sambungan TCP/IP menerusi komponen Perkhidmatan Data Mudah Alih - Servis Sambungan (MDS-CS) yang memungkinkan pembangunan aplikasi ke peranti BlackBerry berasaskan platform Sun Microsystems Java ME.

Mengulas mengenai perkembangan BlackBerry terutama di Asia Tenggara, Pengarah Urusan RIM Asia Tenggara, Gregory Wade, berkata syarikatnya kini mensasarkan golongan muda yang mula menerima BlackBerry sebagai telefon pintar utama mereka.

"Kami menyedari golongan mudah turut berjinak dengan dunia telefon pintar dan RIM bukan mengeluarkan produk untuk enterpris semata-mata yang menjurus fokus perniagaan kami ditumpukan kepada mereka," katanya.

Wade berkata, golongan muda terutama belasan tahun yang kini banyak dipengaruhi rangkaian laman sosial seperti Facebook menggalakkan kepada pengeluaran telefon pintar.

"Terima kasih kepada laman sosial kerana meningkatkan pengaruh telefon pintar yang secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kami," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai kemungkinan syarikatnya untuk menghasilkan produk yang dikhususkan kepada golongan muda selepas pengenalan model Curve 8520nya.

"Ya, model Curve 8520 kami berjaya menambat hati golongan muda dan sasaran kami turut memasukkan demografik itu untuk mengeluarkan peranti khas kepada golongan ini dengan harga berpatutan," katanya.

Beliau menambah, pengenalan produk untuk golongan muda yang ditawarkan dengan pilihan warna bagi kerangka BlackBerry tidak mustahil bagi dilaksanakan.

"Kita mengetahui warna peranti BlackBerry dikuasai warna hitam namun segalanya tidak mustahil pada suatu hari nanti ia dikeluarkan dengan pelbagai warna lain," jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia turut tersenarai sebagai salah satu negara yang mempunyai kadar penembusan telefon pintar tinggi di kalangan negara Asia lain.

"Malaysia sebagai salah satu negara yang celik teknologi maklumat (IT) mempunyai kadar penggunaan telefon pintar sebanyak 50 peratus pastinya membuka potensi kepada segmen itu," katanya.

Untuk itu, RIM akan memfokuskan pembangunan aplikasi bagi perkakasannya selepas syarikat itu sudah mencatatkan pengeluaran 10 juta unit telefon pintar pada suku pertama tahun ini manakala lebih 20 juta mendaftar untuk perkhidmatan BlackBerry Messenger.

Namun, Wade menolak kemungkinan untuk menubuhkan pusat servis produk BlackBerry di negara ini seperti yang dilihat di Indonesia.

"Kami bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi di negara ini dan mereka berupaya untuk memberikan perkhidmatan berkaitan produk BlackBerry," katanya.

Laman web sosial yang muncul seperti `cendawan tumbuh selepas hujan' kini menjadi antara gaya hidup `wajib' dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Tanpa disedari, kebanyakan pengguna laman seperti ini turut menghabiskan tempoh waktu yang agak lama bagi mereka melayari dan menggunakan semua kemudahan yang disediakan untuk berkomunikasi dengan rakan masing-masing.

Di Malaysia, antara rangkaian sosial yang paling popular adalah laman sosial Facebook dengan catatan kira-kira lapan juta pengunjung.

Tidak cukup dengan akses melalui komputer, kini pengguna laman web sosial boleh mengakses, mengemas kini maklumat dan memindah turun gambar melalui aplikasi telefon pintar seperti penggunaan Blackberry.

Organisasi penyelidik, IDC, memaklumkan pasaran telefon bimbit meningkat 21.7 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap telefon pintar.

Menurut kajian 'Worldwide Mobile Phone Tracker'nya, hampir 294.9 juta vendor sudah memasarkan unit telefon pada suku pertama tahun ini berbanding 242.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Secara tidak langsung, ia melonjakkan jenama RIM tersenarai di kalangan lima vendor teratas menggantikan Motorola sebelum ini.

Juruanalisis Kanan IDC, Kevin Restivo, berkata kemasukan RIM membuktikan peningkatan memberangsangkan terhadap permintaan telefon pintar di kalangan pengguna.

Kemudahan telefon pintar mudah alih mendorong kepada kepopularan peranti seperti BlackBerry sebagai perkakasan pilihan dan wajib untuk pengguna pada masa depan.

Malah, kajian agensi pengiklanan BBDO milik syarikat Omnicom, menekankan ketidaktentuan yang dihadapi pengiklan dalam mengembangkan pasaran ketika ia berubah dari kebergantungan tradisi kepada televisyen.

Ketua Eksekutifnya, Andrew Robertson, meramalkan pengguna kini lebih bersedia untuk hidup tanpa televisyen berbanding tanpa telefon bimbit atau komputer peribadi.

"Kami meminta hampir 3,000 pengguna di 15 negara untuk memilih perkakasan komunikasi yang paling mereka suka," katanya.

Empat puluh lima peratus memilih komputer peribadi (PC), 31 peratus telefon bimbit dan 12 peratus untuk televisyen. Di China, 61 peratus memilih telefon bimbit berbanding 30 peratus komputer dan empat peratus untuk televisyen.

Sunday, June 06, 2010

Bayar bil guna PayPal

Maxis Berhad (Maxis) dan PayPal menjalin kerjasama strategik dalam usaha meningkatkan keupayaan masyarakat berdagang secara 'online' dengan mudah dan selamat.
Justeru, pengguna Maxis kini mampu menggunakan platform PayPal untuk membayar bil telefon atau jalur lebar mereka dengan tiga kaedah mudah.

Naib Presiden dan Ketua Data serta Perniagaan Baru Maxis, T Kugan, berkata sehingga kini lebih 16 juta rakyat negara ini menggunakan khidmat online untuk berjual-beli namun hanya 30 peratus yang melakukan transaksi secara online.

"Kita memahami faktor penipuan dan sebagainya yang membataskan kepercayaan masyarakat terhadap transaksi online namun kerjasama dengan PayPal menolak andaian terbabit kerana platform mereka selamat dan terjamin," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Jean-Pascal Van Overbeke, berkata kerjasama pertama di dunia membabitkan pengendali telefon mudah alih dan penyedia pembayaran secara online itu memperkasakan ekosistem e-dagang.

Beliau berkata, pelanggan akan menikmati pembayaran pantas dengan menggunakan platform PayPal.

Dalam pada itu, Naib Presiden PayPal Asia Pasifik, Farhad Irani, menjamin proses transaksi selamat dan bebas daripada perbuatan pemalsuan.

"Pelanggan menikmati tahap kerahsiaan tinggi dengan butiran kewangan masing-masing seperti nombor kad kredit dan tarikh tamat tempoh disimpan sebagai maklumat sulit dari pedagang ketika membuat bayaran," katanya.

Beliau turut mengumumkan kesediaan syarikat terbabit untuk memperkenalkan sistem prabayar untuk khidmat PayPal yang kini dalam proses perbincangan.

"Kami masih mengkaji penggunaan sistem prabayar di pasaran Malaysia yang berupaya menambah pengguna di negara ini kerana khidmat terbabit mudah dan popular di kalangan masyarakat," katanya. PayPal kini memiliki 100,000 akaun yang aktif di Malaysia dengan peningkatan transaksi bertambah ke 52 peratus pada akhir 2009 berbanding tahun sebelumnya.

Wednesday, June 02, 2010

P1 Wiggy kini serasi dengan Mac

Peneraju perkhidmatan jalur lebar WiMAX, Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1) membawa kemajuan kepada pengguna Mac di Malaysia apabila P1 Wiggy kini boleh disesuaikan dengan sistem pemproses komputer Mac Leopard serta Snow Leopard versi 10.5 dan 10.6.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Lai, P1 bertekad mencari peluang bagi meluaskan perkhidmatan ini kepada pengguna Mac.

"Usaha yang berterusan ini memberi manfaat kepada pengguna Mac yang komited dengan penggunaan Internet walau di mana saja berada," katanya.

Menurut Lai, WiFi turut memberi perkhidmatan jalur lebar kepada pengguna tetapi mempunyai lingkungan yang terhad di kawasan 'hotspot' saja berbanding WiMAX yang boleh dicapai di mana saja di samping merasai perkhidmatan yang terbaik.

P1 turut mengumumkan mengenai perkhidmatan P1 WIGGY yang menyokong semua sistem pemproses Windows iaitu XP, Vista dan Windows 7 bagi 32 dan 64 bit.

Pakej harga P1 WIGGY terbaru yang menawarkan pakej pasca bayar tanpa kontrak yang didatangkan dengan modem percuma bermula dari WIGGY 59 bayaran bulanan berharga RM59 berkelajuan 600kbps (8GB), pakej WIGGY 89 berharga RM89 dengan kepantasan 1.5Mbps (15GB) manakala WIGGY 129 yang berharga RM129 mempunyai kelajuan tinggi dari 1.5Mbps (15GB) sehingga 3Mbps (untuk 20GB).