Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Friday, June 11, 2010

Blackberry : Tambah warna, tembusi pasaran muda

Telefon bimbit pintar yang dikenali sebagai Blackberry yang dibangunkan syarikat bertapak di Kanada, Research In Motion (RIM) kian popular sejak tiga tahun kebelakangan hingga baru-baru ini ia berjaya meletakkan diri di kalangan lima jenama terkemuka dunia.

Walaupun ada yang mengatakan jenama terbabit popular kerana penggunaannya diterajui Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama, ia tetap peranti pintar dengan keupayaan aplikasi seperti buku alamat, kalendar dan sebagainya sama seperti peranti pintar lain.

Paling dikenali kerana kebolehannya menghantar dan menerima e-mel di mana saja menggunakan rangkaian tanpa wayar dengan penetapan mudah sehingga kini menguasai 20.8 peratus telefon pintar di dunia yang menjadikannya peranti kedua paling popular selepas Nokia.

Produk pertama BlackBerry dihasilkan pada 1999 berasaskan konsep 'pager' namun pada 2002, peranti pintar yang pertama dicipta dengan menyokong keupayaan e-mel tolakan, faks Internet, melayari laman web dan perkhidmatan maklumat tanpa wayar lain.

Kalau diteliti, kebanyakan model BlackBerry menggunakan papan kekunci QWERTY yang mengoptimumkan ibu jari anda ketika menaip dengan fungsi 'trackball' untuk menggerakkan kursor ke menu sehingga pengenalan 'trackpad' pula sejak kebelakangan ini.

Model BlackBerry disepadukan dengan pemprosesan ARM 7 atau 9 manakala model terdahulu, BlackBerry 950 dan 957 mendapat bantuan Intel 80386.

RIM membekalkan sistem operasi pelbagai tugasan untuk BlackBerry yang menyokong Java MIDP 1.0 dan WAP 1.2 malah membenarkan pembangun mencipta kod perisian bagi aplikasinya.

Data yang diekstrak daripada peranti BlackBerry akan disimpan dalam format khas iaitu IPD dengan fail akan dienkripsikan ke sistem kerangka utama BlackBerry.

Pelayan Enterpris BlackBerry (BES) menjadi tulang belakang kejayaan syarikat itu menawarkan sistem e-mel mudah kepada pengguna yang membolehkan mereka membuka Microsoft Exchange, Lotus Domino dan Novell Group Wise.

BES menyimpan akaun e-mel secara bersepadu dengan mengemaskini kotak e-mel anda sebaik mesej masuk diterima yang dihantar melalui Pusat Operasi Rangkaian RIM (NOC) dinamakan e-mel tolakan (push e-mel).

Secara teknikalnya, ia membekalkan sambungan TCP/IP menerusi komponen Perkhidmatan Data Mudah Alih - Servis Sambungan (MDS-CS) yang memungkinkan pembangunan aplikasi ke peranti BlackBerry berasaskan platform Sun Microsystems Java ME.

Mengulas mengenai perkembangan BlackBerry terutama di Asia Tenggara, Pengarah Urusan RIM Asia Tenggara, Gregory Wade, berkata syarikatnya kini mensasarkan golongan muda yang mula menerima BlackBerry sebagai telefon pintar utama mereka.

"Kami menyedari golongan mudah turut berjinak dengan dunia telefon pintar dan RIM bukan mengeluarkan produk untuk enterpris semata-mata yang menjurus fokus perniagaan kami ditumpukan kepada mereka," katanya.

Wade berkata, golongan muda terutama belasan tahun yang kini banyak dipengaruhi rangkaian laman sosial seperti Facebook menggalakkan kepada pengeluaran telefon pintar.

"Terima kasih kepada laman sosial kerana meningkatkan pengaruh telefon pintar yang secara tidak langsung memberi kesan positif kepada kami," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai kemungkinan syarikatnya untuk menghasilkan produk yang dikhususkan kepada golongan muda selepas pengenalan model Curve 8520nya.

"Ya, model Curve 8520 kami berjaya menambat hati golongan muda dan sasaran kami turut memasukkan demografik itu untuk mengeluarkan peranti khas kepada golongan ini dengan harga berpatutan," katanya.

Beliau menambah, pengenalan produk untuk golongan muda yang ditawarkan dengan pilihan warna bagi kerangka BlackBerry tidak mustahil bagi dilaksanakan.

"Kita mengetahui warna peranti BlackBerry dikuasai warna hitam namun segalanya tidak mustahil pada suatu hari nanti ia dikeluarkan dengan pelbagai warna lain," jelasnya.

Beliau berkata, Malaysia turut tersenarai sebagai salah satu negara yang mempunyai kadar penembusan telefon pintar tinggi di kalangan negara Asia lain.

"Malaysia sebagai salah satu negara yang celik teknologi maklumat (IT) mempunyai kadar penggunaan telefon pintar sebanyak 50 peratus pastinya membuka potensi kepada segmen itu," katanya.

Untuk itu, RIM akan memfokuskan pembangunan aplikasi bagi perkakasannya selepas syarikat itu sudah mencatatkan pengeluaran 10 juta unit telefon pintar pada suku pertama tahun ini manakala lebih 20 juta mendaftar untuk perkhidmatan BlackBerry Messenger.

Namun, Wade menolak kemungkinan untuk menubuhkan pusat servis produk BlackBerry di negara ini seperti yang dilihat di Indonesia.

"Kami bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi di negara ini dan mereka berupaya untuk memberikan perkhidmatan berkaitan produk BlackBerry," katanya.

Laman web sosial yang muncul seperti `cendawan tumbuh selepas hujan' kini menjadi antara gaya hidup `wajib' dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Tanpa disedari, kebanyakan pengguna laman seperti ini turut menghabiskan tempoh waktu yang agak lama bagi mereka melayari dan menggunakan semua kemudahan yang disediakan untuk berkomunikasi dengan rakan masing-masing.

Di Malaysia, antara rangkaian sosial yang paling popular adalah laman sosial Facebook dengan catatan kira-kira lapan juta pengunjung.

Tidak cukup dengan akses melalui komputer, kini pengguna laman web sosial boleh mengakses, mengemas kini maklumat dan memindah turun gambar melalui aplikasi telefon pintar seperti penggunaan Blackberry.

Organisasi penyelidik, IDC, memaklumkan pasaran telefon bimbit meningkat 21.7 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap telefon pintar.

Menurut kajian 'Worldwide Mobile Phone Tracker'nya, hampir 294.9 juta vendor sudah memasarkan unit telefon pada suku pertama tahun ini berbanding 242.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Secara tidak langsung, ia melonjakkan jenama RIM tersenarai di kalangan lima vendor teratas menggantikan Motorola sebelum ini.

Juruanalisis Kanan IDC, Kevin Restivo, berkata kemasukan RIM membuktikan peningkatan memberangsangkan terhadap permintaan telefon pintar di kalangan pengguna.

Kemudahan telefon pintar mudah alih mendorong kepada kepopularan peranti seperti BlackBerry sebagai perkakasan pilihan dan wajib untuk pengguna pada masa depan.

Malah, kajian agensi pengiklanan BBDO milik syarikat Omnicom, menekankan ketidaktentuan yang dihadapi pengiklan dalam mengembangkan pasaran ketika ia berubah dari kebergantungan tradisi kepada televisyen.

Ketua Eksekutifnya, Andrew Robertson, meramalkan pengguna kini lebih bersedia untuk hidup tanpa televisyen berbanding tanpa telefon bimbit atau komputer peribadi.

"Kami meminta hampir 3,000 pengguna di 15 negara untuk memilih perkakasan komunikasi yang paling mereka suka," katanya.

Empat puluh lima peratus memilih komputer peribadi (PC), 31 peratus telefon bimbit dan 12 peratus untuk televisyen. Di China, 61 peratus memilih telefon bimbit berbanding 30 peratus komputer dan empat peratus untuk televisyen.

No comments: