Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Monday, August 31, 2009

Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook

Ia sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka. Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook. Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa 'perang suci' Kristian-Islam semakin ketara.

Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu. Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya. Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka. Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim. Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya? Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.


Sumber : Berita Harian

Sunday, August 09, 2009

Gerbang terbaik Windows 7



Selepas beberapa kontroversi dan kritikan yang dilontarkan mengenai prestasi Windows Vista yang dikeluarkan syarikat gergasi sistem operasi (OS) iaitu Microsoft, mereka terus beralih kepada produk seterusnya, Windows 7.

Ada yang menyatakan Microsoft mula panik dengan kegagalan Windows Vista menyebabkan mereka mahu memperkenalkan Windows 7 walaupun Vista baru setahun jagung berada di pasaran.

Windows 7 dijangka menemui pengguna awal tahun depan pada asalnya dikenali dengan kod Blackcomb dan Vienna yang dikeluarkan menerusi dua versi iaitu kepada pengguna dan pelayan.

Kali ini, Microsoft menjanjikan kelainan untuk OS Windows 7 dengan mengatakan ia jauh terhandal serta penuh inovasi.


Mungkin Microsoft terpaksa mengakui pengguna seluruh dunia lebih sayangkan Windows XP namun berdasarkan maklum balas orang ramai, Microsoft menjadikannya jauh lebih baik termasuk keupayaan penukaran program sehingga merekod televisyen.

Ia dikatakan memudahkan pelayaran komputer peribadi (PC) serta keupayaannya berhubung dengan dunia lain.

Microsoft bersedia memperkenalkan kemuncak generasi perisian akan datang yang direka bagi mengatasi rungutan mengenai perisian OS Vista keluarannya yang memberikan persaingan kepada pesaing utamanya, Google.



Versi Windows 7 yang sedang dibangunkan itu dipertontonkan di California pada satu Persidangan Pembangun Profesional mengandungi beberapa sesi yang mana pakar perisian boleh mendapatkan gambaran mengenai sistem operasi Microsoft yang akan datang.

Ketua Arkitek Perisian Microsoft, Ray Ozzie, berkata syarikatnya melabur besar untuk platform Windows 7 dan berbangga dengan sasarannya selepas ini.

"Antara ciri kelebihan Windows 7 termasuk membolehkan orang ramai menjadikan komputer lebih menuruti kehendaknya dan menyediakan rangkaian yang boleh dihubungkan dengan telefon mudah alih, pencetak, gambar digital, komputer dan perkakasan pintar lain," katanya.

Menurut penganalisis dari Redmond, sebuah syarikat perisian berpangkalan di Washington, Matt Rosoff berkata beliau menjangkakan Microsoft menghasilkan Windows 7 seawal tahun depan.

Windows 7 direka bentuk untuk menjadikan semua tugasan harian membabitkan komputer lebih pantas dan menampilkan ciri baru sambil memfokus terhadap aplikasi dan kepelbagaian kesesuaian penggunaan perkakasan itu.

Rungutan mengenai Vista termasuk konfliknya dengan program lama.

"Kami membawakan yang terbaik mengenai Web kepada Windows dan yang

terbaik mengenai Windows kepada Web.

"Daripada PC kepada Web seterusnya telefon dan dari pelayan kepada semua sistem lain, kami memfokus pengalaman penciptaan generasi seterusnya yang mengubah cara kita hidup, bekerja dan bermain," kata Ozzie.

Windows 7 mempunyai ciri yang memudahkan tugasan harian antaranya:

# Taskbar diperbaharui dengan previu skrin penuh

Taskbar yang terletak di bahagian bawah skrin digunakan untuk melancarkan program dan menukarnya apabila ia dibuka. Ini bermakna anda akan dapat melihat visual ikon dipilih sebelum membukanya.


# Pembaharuan desktop

Ia memberi peluang kepada anda menyusun ikon di permukaan skrin termasuk membukanya, menutup, mengubah saiz dan mengemaskininya.


# Carian Windows

Windows 7 memudahkan carian subjek dalam PC dengan membahagikannya mengikut segmen tertentu seperti dokumen dan muzik dengan satu klik saja.


# Internet Explorer 8

Semestinya ia diperbaharui bagi memudahkan pelayaran 'online' pantas seperti alamat bar, carian, 'tabs' dan bar 'Favorites.'


# Pengurusan perkakasan lebih baik.

Kalau dulu, sebarang ikon di My Computer agak 'kosong' tanpa grafik namun dengan keupayaan Windows 7 baru, ia mampu mengecam perkakasan yang disambungkan ke PC.



Microsoft juga berusaha mengenal pasti keupayaan prestasinya yang dipertingkat menerusi Windows 7 agar ia tidak berkompromi dengan kehendak pengguna.

Melalui sistem baru di bawah Windows 7, PC akan dibuka, ditutup, bersedia dan memberi respons dengan pantas yang mendapat maklum balas daripada pengguna sebelum ini.

Selain itu, ia jauh berbeza dengan Windows XP apabila Microsoft memajukan jangka hayat bateri dengan menambah sistem penjimatan tenaga untuk kecerahan paparan dan penggunaan tenaga minimum untuk memainkan pemain DVD.

Kali ini, Microsoft juga mahu mengurangkan sistem amaran membabitkan 'pop-up' memberi ingatan kepada pengguna walaupun ia tidak serius berbanding pop-up yang sering terpampang.

Bagai bulan jatuh ke riba apabila mendengar ciri hiburan menggunakan Windows 7 yang bersedia untuk menampilkan fungsi ajaibnya terutama membabitkan televisyen menggunakan PC, filem dan video.

Ia membabitkan penukaran besar-besaran antaramuka hiburan yang memberi impak kepada emosi pengguna ketika berhibur.

Tidak dilupakan, Windows 7 dijangka akan menitikberatkan fungsi skrin sesentuh yang kian didapati dalam mana-mana perkakasan di dunia ini menjadikannya lebih mesra pengguna.

Kehadiran Windows 7 bertepatan dengan aplikasi sentuhan seperti hasil kajian menyentuh hubungan antara pengguna dan mesin yang dijelaskan secara disiplin ilmu dalam Interaksi manusia-komputer (Human-Computer Interaction-HCI).

Ia mengkaji komunikasi atau interaksi antara pengguna dengan sistem termasuk berkaitan UI serta skrin sesentuh.

Model interaksi antara pengguna dengan sistem membabitkan tiga komponen iaitu pengguna, interaksi dan sistem itu sendiri.

Interaksi terbabit mewujudkan sistem yang mudah digunakan, memberi keselesaan kepada pengguna, mudah dipelajari dan sebagainya.



Satu kajian terpenting dalam bidang HCI adalah UI yang menjadi sebahagian sistem yang akan dikendalikan oleh pengguna untuk mencapai dan melaksanakan fungsi sesuatu sistem.

Tidak dinafikan juga ia dianggap sebagai jumlah keseluruhan keputusan reka bentuk.

Sistem UI yang membabitkan skrin sesentuh menggabungkan elemen komunikasi apabila pengguna boleh berinteraksi dengan produk terbabit melaluinya seperti ditonjolkan Windiws 7 kelak.

Menurut nama yang tidak asing dalam bidang komputer iaitu Bill Gates ketika mengulas mengenainya berkata Windows 7 bermaksud jika anda beralih dari satu PC ke PC yang lain, anda perlu memasang aplikasi satu demi satu serta mengemaskini setiap satunya.

"Memindahkan maklumat sangat leceh namun ia boleh diselesaikan menggunakan Perkhidmatan Live untuk mengetahui kemahuan anda.

"Jadi, walaupun anda menggunakan kios atau menumpang PC seseorang, kami boleh membawa laman web anda, fail anda, jenis tulisan anda, kegemaran anda dan apa saja. Jadi itulah bentuk perkara berpusatkan pengguna yang Perkhidmatan Live boleh lakukan," katanya.

Jangan terkejut dengan kemunculan Windows 7 nanti yang pastinya lebih berinovasi dan penjadi pelopor kemajuan manusia.

Sejauh manakah kita mampu menerimanya?

Tuesday, August 04, 2009

IPhone 3GS tercanggih



Selepas pelancaran iPhone 3G oleh Maxis Communications Berhad (Maxis) Mac lalu, kini pelanggan boleh mendapatkan iPhone 3GS yang lebih canggih.

Naib Presiden dan Ketua Pemasaran Pelanggan Maxis, Tan Lay Han berkata, iPhone 3GS yang dilancarkan bakal memikat pelanggan kerana pelan harga yang menarik, pakej iValue dan tawaran peningkatan.

Maxis menawarkan iPhone 3GS 16GB pada harga RM1, 290 dan iPhone 3g 8GB pada RM7,90 dengan iValue 2 Plan dengan komitmen bulanan RM155 dan kontrak selama 24 bulan.

Dengan Skim Bayaran Mudah Maxis, iPhone 3G 8GB boleh dibeli pada harga serendah RM60 sebulan.

"iPhone 3GS merupakan iPhone paling berkuasa dengan ciri-ciri terkini dan canggih termasuk kelajuan dan keupayaan sehingga dua kali ganda berbanding iPhone 3G.

"Jangka hayat bateri lebih lama, kamera autofokus tiga megapiksel berkualiti tinggi, rakaman video mudah digunakan dan kawalan suara bebas tangan," katanya semasa majlis pelancaran iPhone 3GS di Kuala Lumpur baru-baru ini.

iPhone 3GS dijana oleh iPhone OS 3.0 yang merupakan sistem operasi mudah alih terkini dengan lebih 100 ciri terbaru seperti Cut, Copy and Paste, MMS, Spotlight Search dan papan kekunci landskap.

Pengguna iPhone 3GS akan memperoleh akses kepada lebih 50,000 aplikasi daripada revolusi Apple di kedai aplikasi terbesar dunia App Store.

Lay Han berkata, Maxis berbangga menjadi salah satu operator yang pertama di Asia Tenggara menawarkan telefon revolusi.

"Kami gembira dapat menunaikan janji menjadi yang pertama menawarkan pengalaman paling inovatif di kalangan pelanggan," katanya.

Beliau menambah sejak dilancarkan pertama kali Mac lalu, iPhone 3G telah menawarkan lebih 50,000 aplikasi yang telah mengubah cara komunikasi masyarakat semasa bekerja dan bermain.

Pengguna iPhone boleh terus berhubung dan berhibur dengan melayari antara muka yang menarik dan mudah serta meningkatkan penggunaan data mudah alih.

"Pengguna mempunyai aplikasi kegemaran masing-masing seperti Bloomberg, Wall Street Journal, Forbes Intelligent Investing dan Currency.

"Manakala pengguna lain menggunakan aplikasi gaya hidup rangkaian sosial seperti Facebook, MySpace dan aplikasi hiburan seperti Now Playing bagi pawagam, buUuk bagi makanan dan restoran," katanya.

Bagi memberikan lebih nilai iPhone 3G, harganya mampu dimiliki berbanding telefon pintar lain di pasaran.

Maxis juga menjadikan iPhone 3GS lebih mudah dimiliki dengan skim pembayaran mudah Maxis.

Pengguna boleh mendapatkan iPhone 3GS dengan bebas faedah selama 12 atau 24 bulan.

Dengan skim bayaran mudah selama 24 bulan, pelanggan boleh memiliki iPhone 3G 8GN serendah RM60 sebulan, iPhone 3GS 16GB pada RM80 sebulan dan iPhone 3GS 32GB pada RM100 sebulan.

Tawaran berkenaan terbuka kepada semua pemegang akaun Visa dan Mastercard bagi Maybank, HSBC, Citibank dan Public Bank.

Bagi pengguna yang telah membeli iPhone sebelum ini, Maxis mempunyai berita baik.

Pelanggan iValue dan iData yang berminat untuk beralih kepada iPhone 3GS berhak menikmati rebat sebanyak RM500.

Mereka yang berminat mendapatkan iPhone 3GS boleh mengunjungi dan membuat pesanan pada wakil jualan 201 Maxis dan Hotlink, Apple Premium Resellers.

Bagi memberikan pelanggan mengetahui lebih lanjut mengenai iPhone 3GS, terdapat pameran jalanan di Dataran Gardens, Midvalley bermula 30 Julai lalu hingga 9 Ogos ini.

Pengunjung boleh mencuba telefon baru ini selain melibatkan diri dengan aktiviti menarik iPhone seperti permainan iPhone, video dan muzik selain mendapatkan hadiah menarik.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai iPhone 3GS boleh melayari laman sesawang www.maxis.com.my/iphone3gs