Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Saturday, June 28, 2008

Sejarah CD

Teknologi CD (Compact Disc) dibangunkan oleh Philips dan Sony pada tahun 1982 sebagai satu media baru untuk muzik. Walaupun ia tidak bertujuan untuk digunakan pada komputer tetapi ia tidak mengambil masa yang lama untuk menjadikannya sebahagian daripada komputer. Spesifikasi untuk CD-ROM dikeluarkan pada tahun 1984 dan sebuah storan baru untuk komputer dilahirkan.

Spesifikasi baru telah dibuat untuk teknologi CD dan ia telah disatukan ke dalam buku-buku bagi menjamin piawaian dan keserasian dalam keseluruhan industri. Buku-buku ini mengandungi maklumat terperinci bagaimana teknologi CD beroperasi.


Buku pertama iaitu untuk spesifikasi CD audio digelar buku Merah (Red Book). Buku ini menerangkan ciri-ciri fizikal CD dan pengenkodan digital. Setelah itu lahir pula buku Kuning (Yellow Book) yang mengandungi standard CD untuk komputer menerusi spesifikasi CD-ROM (1984) dan perpindahan pemain CD kepada komputer.

Buku Hijau (Green Book) pula dikeluarkan pada 1987 dan menerangkan spesifikasi dan fungsi media dan pemain CD-I (interaktif). Buku ini juga telah membawa video MPEG kepada CD. Buku seterusnya ialah buku Oren (Orange Book) yang menerangkan mengenai media optikal boleh rekod dan spesifikasi CD-MO (Magneto Optical), CD-R, dan CD-RW.

Sejurus lepas itu buku Putih (Whie Book) pula dikeluarkan yang menerangkan spesifikasi untuk CD Video pada tahun 1993 dan ia telah mengembangkan keupayaan video untuk CD. Buku ini telah dikemaskini beberapa kali.

Buku terakhir ialah buku Biru (Blue Book) yang menerangkan mengenai CD muzik tahap yang lebih tinggi. CD dalam kategori ini boleh dimainkan dalam pemain CD audio dan PC. Ia juga serasi dengan pemain CD terkini.

Tuesday, June 24, 2008

Teknologi storan kecil termaju

Saiz yang besar adalah satu kesalahan besar untuk rekabentuk sebuah peranti kecil. Jika anda ingin membeli kamera digital, PDA atau pemain MP3, anda pasti mahukan saiz yang kecil kerana ia lebih menarik dan mudah dibawa.

Bagi pengeluar saiz yang kecil pasti akan menarik pembeli tetapi ia pasti perlukan storan untuk menyimpan data bagi memberikan kemudahan kepada pengguna. Tidak mungkin ia menggunakan cakera keras atau CD-R, CD-RW, DVD atau DVD-RW kerana saiz storan-storan ini lebih besar daripada saiz peranti itu.

Ada di antara peranti kecil ini menggunakan storan dalaman yang tidak boleh dialih atau ditukar. Biasanya anda hendaklah menyambungkan peranti ini kepada komputer untuk memindahkan data. Ada di antara peranti boleh digunakan dengan storan luar seperti kad memori iaitu sejenis storan cip silikon. Ia tidak meruap dan boleh menyimpan data walaupun bekalan kuasa terputus. Kad memori mudahalih mudah digunakan kerana ia kecil dan ringan serta mudah menyimpan gambar dan fail.

Memori Flash

Kad memori menggunakan memori "flash", di mana ia akan menulis data dalam blok dan tidak dalam bentuk bait-bait kecil. Istilah "flash" adalah merujuk kepada keupayaan kad memori menerima dan membuang kandungannya dengan mudah.

Kad memori pantas dan mampu menulis setengah megabyte sesaat atau lebih dan membaca dengan kepantasan yang sama. Kad memori juga mempunyai rekabentuk yang keras dan tahan lama. Malangnya kad memori agak mahal dan kosnya per megabyte adalah tinggi berbanding dengan cakera magnetik, pita dan media optikal. Kebanyakan kad memori mempunyai ciri yang mengelakkan anda memasukkannya dengan cara yang salah seperti SmartMedia atau CompactFlash. Namun begitu ia boleh mengendalikan voltan yang berlainan iaitu 3, 3.3 atau 5 volt dan anda hendaklah pastikan kad yang anda beli serasi dengan perantinya.

SmartMedia

Kad memori ini mempunyai saiz 0.03 inci tebal, 1.46 inci lebar dan 1.77 inci panjang. Ia merupakan antara yang paling popular di dalam pasaran. Dalam tahun 1999 SmartMedia dipopularkan oleh kamera digital dan pemain MP3. Kad SmartMedia berharga di antara RM120 untuk 8MB, RM240 untuk 16MB, RM380 untuk 32MB, dan RM700 untuk 64MB. Ia merupakan di antara RM11.80 hingga RM14.25 per megabyte walaupun kapasiti kad memori tidak tepat.



CompactFlash

CompactFlash keluaran SanDisk adalah sepopular SmartMedia. Kos CompactFlash adalah di antara RM115 untuk 8MB hingga RM610 untuk 64MB (RM9.50 hingga RM14.25 perMB). Kad jenis ini mempunyai kapasiti yang besar seperti kad dari Simple Technology bersaiz 512MB (RM6,000).

Kad CompactFlash Type I berukuran 0.13 x 1.69 x 1.43 inci. Manakala kad Type II pula adalah lebih tebal iaitu 0.20 x 1.43 x 1.69 inci.(Soket Type II boleh menerima kad Type I). Type II mempunyai kapasiti di antara 16MB hingga 1200MB (bergantung kepada pengeluar). Produk dengan slot CompactFlash adalah seperti kamera digital Nikon CoolPix 990, PDA Compaq iPAQ H3630 dan pemain MP3 RCA Lyra RD2201.

Kelajuan menulis kad memori adalah penting jika anda mempunyai kamera digital dengan imej berkualiti multimegapiksel dan mahukan setiap imej disimpan dengan pantas. Terdapat juga kad CompactFlash yang boleh menulis dengan kadar 150KBps (kilobytes persaat).



Memory Stick

Kad memori keluaran Sony ini juga semakin ramai pengguna dengan penjualan kamera digital Sony semakin meningkat. Kad ini mempunyai saiz 0.11 x 0.85 x 1.97 inci. Kad memori ini mempunyai saiz di antara 8MB dan 192MB serta harganya adalah di antara RM9.00 hingga RM14.00 perMB. Memory Sticks yang lebih besar dan pantas sehingga 1GB masih di dalam pembikinan.



MultiMediaCard (MMC)

Kad jenis ini telah direka oleh SanDisk dan Infineon di mana ia mempunyai saiz 0.06 x 0.94 x 1.26 inci. MultiMediaCard adalah sesuai untuk peranti kecil. Harga kad ini adalah di antara RM150 untuk 8MB hingga RM600 untuk 64MB. Kad jenis ini terdapat pada kamera digital Panasonic PV-DC3000, pemain MP3 Compaq iPAQ Personal Audio Player PA-1 dan pemain stereo kereta Rockford Fosgate RFXMP3.8.



Secure Digital (SD)

Saiz Secure Digital (SD) adalah 0.08 x 0.95 x 1.26 inci dan ia adalah lebih tebal sedikit berbanding dengan MultiMediaCards. Ia mempunyai saiz dan teknologi yang sama tetapi kad SD tidak boleh digunakan pada slot MultiMediaCards. Perbezaan yang nyata pada SD ialah ia boleh mengawal salinan. Antara peranti yang menggunakan SD ialah stereo kereta Panasonic CQ-SRX7000 dan pemain audio Toshiba MEA-110. Palm juga merancang untuk menggunakan SD pada PDA keluaran mereka.



Kad PC (PCMCIA)

Kad PC ini mempunyai saiz sebuah kad kredit dan ia juga dikenali sebagai kad PCMCIA (Personal Computer Memory Card International Association). Kad PC bersaiz 2.14 x 3.37 inci. Slot kad PC terdapat pada kebanyakan komputer bimbit. Kad PC direkabentuk dengan kuat dan ia lebih kuat daripada cakera keras.

Pembinaan tapak Web komersial

Pembinaan sebuah tapak Web komersial yang tidak terancang secara teliti belum tentu akan berjaya menarik perhatian pengunjung apatah lagi untuk membuahkan hasil atau keuntungan yang diharapkan. Di sini tapak Web komersial adalah merujuk kepada tapak-tapak Web yang boleh memberikan pulangan kewangan misalnya tapak jualan barangan, pembekal perkhidmatan dan penyedia kandungan bermaklumat. Bagi memastikan tapak Web komersial itu berjaya, anda harus merancang pembinaannya di peringkat awal lagi di samping membuat penelitian, dan kajian mendalam terhadap beberapa aspek penting seperti mana yang tersenarai di bawah ini.

Jenis tapak Web : Sebelum membina tapak Web anda perlu menentukan bidang yang hendak diceburi. Anda mungkin mempunyai beberapa idea seperti tapak jualan produk, pembekal perkhidmatan atau penyedia kandungan bermaklumat. Selain itu anda juga perlu menjalankan kajian pemasaran dan potensi tapak Web tersebut untuk memastikannya boleh menghasilkan keuntungan atau sebaliknya. Dalam kajian itu anda perlu mengenalpasti keperluan orang ramai yang mungkin tidak disediakan pada tapak-tapak Web yang lain.

Kajian mendalam : Setelah idea tapak Web yang hendak dibangunkan telah dikenalpasti, seterusnya anda perlu mengkaji secara terperinci konsepnya dari setiap sudut. Umpamanya, tapak penerbitan kandungan bermaklumat mungkin merasakan tapak Web mereka boleh memenuhi keperluan pembaca di samping menjadi saluran berpotensi untuk pihak pengiklan barangan. Sementara tapak Web untuk perdagangan pula mungkin memikirkan tentang modal yang hendak dibelanjakan, saiz pasaran dan bahagian pasaran yang bakal dikuasai.

Berciri profesional : Sekiranya tapak Web diperagakan secara profesional, maka produk, perkhidmatan atau kandungan yang disediakan mungkin tidak diragui. Sebuah tapak Web komersial yang kelihatan mudah rekabentuknya mungkin lebih sesuai berbanding tapak Web yang kompleks dan tidak teratur. Malah, tapak Web komersial tidak semestinya menggabungkan semua unsur multimedia untuk menarik perhatian pengunjung. Oleh yang demikian, buatlah penilaian secara kritikal terhadap tapak Web yang hendak dibangunkan itu.

Mudah digunakan : Sebuah tapak Web yang bersifat mesra pengguna, bukan sahaja dapat dikendalikan dengan baik, malah pengunjung boleh mengakses dan mencari keperluan mereka dengan mudah. Selain itu sebuah tapak Web komersial harus menyediakan kemudahan yang dapat membantu para pengunjung seperti enjin carian, katalog barangan, ikon peluncuran dan sebagainya. Tidak terkecuali juga ialah kemudahan untuk pihak pembangun tapak Web tersebut bagi mengumpul pelbagai maklum balas daripada para pengunjungnya.

Perlu perubahan : Tapak Web komersial yang bersifat dinamik perlukan perubahan dari masa ke semasa seperti maklumat dan idea terkini. Para pelangan mungkin mendapati tapak Web anda menjemukan sekiranya ia masih menampilkan bahan yang sama setiap masa dan kunjungan mereka mungkin hanya sekali. Aspek ini penting terutamanya bagi tapak Web yang berasaskan kepada penyediaan kandungan seperti berita. Sementara tapak Web perniagaan boleh menampilkan pelbagai produk yang berbeza kategorinya dari masa ke semasa.

Berdaya saing : Walaupun tapak Web komersial anda berjaya dilancarkan, namun ia mungkin perlu dikaji semula dari segenap aspek. Kajian semula ini adalah untuk memastikan tapak Web tersebut sentiasa mampu bersaing sekaligus memastikannya sentiasa dikunjungi. Perlu diingat, pesaing anda mungkin sedang memerhatikan tapak Web milik anda untuk mengenalpasti kelebihan dan kekurangannya. Sehubungan itu anda perlu bertindak sedemikian rupa agar daya saing tapak Web anda sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Saturday, June 21, 2008

Asas VoIP

Walau bagaimana banyak teknologi internet terbaru, anda tidak perlu mahir untuk menggunakan VoIP (percakapan menerusi web). Namun begitu kejayaan anda menggunakan perantara baru ini adalah bergantung kepada pemilihan perkakasan yang betul, pengetahuan asas mengenai teknologi akan membantu dan kemampuan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

VoIP membawa maksud "suara menerusi IP" di mana IP bermaksud protokol Internet, iaitu sebuah piawai penyiaran yang mengawal bagaimana maklumat dihantar menerusi internet. Walaupun IP menjayakan internet, tetapi penyiaran suara adalah agak kompleks.

Piawai IP memberikan keupayaan kepada sebarang komputer untuk memecahkan maklumat kepada paket digital data dan menghantar paket data kepada komputer lain yang juga menggunakan IP. Piawai lain iaitu TCP (Transmission Control Protocol) akan memeriksa paket-paket ini jika terdapat sebarang kerosakan dan memberitahu pengguna bahawa ia tidak boleh dihantar. Dengan itu kedua-dua piawai ini dirujuk sebagai TCP/IP.

Paket data terdapat dalam pelbagai saiz dan dihantar dalam cara padanan yang tersusun untuk sambungan rangkaian dan tidak berkaitan dengan kandungannya. Isyarat telefon menggunakan litar suis yang menyediakan laluan aliran maklumat secara berterusan dan tidak menurut paket data yang berasingan.

Siaran berasaskan paket tidak memberi masalah kepada fail data termasuklah rakaman yang dikendalikan untuk ditulis kepada CD-ROM. Segala bunyi akan dipecahkan kepada bit maklumat yang diagihkan menerusi beberapa paket dan dibentuk semula setelah diterima oleh penerima dan dibentuk kepada aliran bunyi. Jika rangkaian mengalami kesesakan maka siaran suara tersebut akan tertangguh dan ia akan terputus jika terlalu lama terhenti.

Jika fail bunyi tersebut besar maka ia akan mengambil ruang yang besar dalam talian internet dan mengakibatkan talian sesak. Dengan itu adalah lebih baik fail bunyi dihantar menerusi saluran 56Kbps dan mampatkan fail tersbeut sebelum menghantarnya.

Apabila hendak berhubungan dengan masa nyata (real-time) maka ia hendaklah mempunyai ciri yang hampir sama dengan penggilan telefon biasa. Dengan itu dua komputer yang bersambung hendaklah bersambung secara terus dan mampu menukar paket-paket data dengan pantas dan cekap.

Untuk menghasilkan kepantasan dan kecekapan yang dikehendaki, sebuah teknologi kecekapan rangkaian telah dibangunkan iaitu Asynchronous Transport Mode (ATM). Teknologi ini menyokong pelbagai kaedah perkhidmatan dan ia akan memberikan keutamaan kepada aliran bunyi atau suara berbanding dengan data apabila berlakunya kesesakan. ATM juga menggunakan paket yang kecil dan tetap berbanding dengan paket lain yang berubah-ubah.

Walaupun ATM mahal dan tidak selalu digunakan tetapi ia merupakan keadah yang baik untuk VoIP. Malah penggunaan ATM akan memudahkan dan meningkatkan penggunaan VoIP secara menyeluruh. Satu lagi pilihan untuk meningkatkan VoIP ialah penggunaan talian telefon biasa dalam sesetengah penghantaran menerusi rangkaian.

Friday, June 20, 2008

Apa yang Anda Perlu Tahu Mengenai Asas Internet?

Secara mudah, Internet merupakan kumpulan rangkaian yang disambungkan bersama-sama. Internet dibangunkan di atas sekumpulan jaringan yang merangkumi seluruh dunia dan jaringan yang terbentuk tersebut mengandungi banyak jenis komputer yang berbeza. Oleh itu, sesuatu mesti ada yang membolehkan jaringan-jaringan itu dapat dirangkaikan bersama-sama. Inilah yang dinamakan TCP/IP. Aktiviti komunikasi dilakukan dengan menggunakan satu protokol utama yang dinamakan protokol kawalan transmisi/protokol Internet atau TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol), dan komunikasi wujud dalam dua hala.

Sesetengah orang pula menerangkan bahawa Internet adalah satu koleksi longgar rangkaian, tapi saling bersambungan antara satu sama lain. Kedua-dua makna Internet tersebut adalah benar, namun begitu ia tidak memadai untuk menerangkan sepenuhnya mengenai Internet. Ini terjadi kerana memang agak susah untuk benar-benar mencari makna di sebalik Internet. Internet membawa makna yang berbeza bagi kumpulan pengguna yang berlainan.

Kalau bertanya kepada para remaja, mereka akan mengatakan bahawa Internet adalah satu medium baru untuk berkomunikasi, melalui penggunaan e-mel dan bilik borak. Kalau bertanya kepada para peniaga, khususnya peneraju dunia perniagaan, pasti mereka menjawab bahawa Internet merupakan peralatan terkini dalam melaksanakan urusan perdagangan. Kalau kita merujuk kepada para pelajar, guru, pensyarah dan penyelidik, mereka akan berkata Internet adalah tempat yang banyak mengandungi maklumat dalam pelbagai bidang kehidupan dan teknologi.

Perhatikan bahawa di sebalik semua makna Internet yang diberikan, terdapat dua tema utama, iaitu Internet dan komuniti yang terlibat. Dapat disimpulkan bahawa kedua-dua elemen alat (Internet) dan komuniti (manusia) dapat mewakilkan makna Internet tersebut. Pada pandangan pengguna Internet umum, Internet dibentuk dari rangkaian komputer yang membawa maklumat. Kecanggihan dan keajaiban Internet sebenarnya banyak bergantung kepada kandungan maklumat yang boleh dibawa bersamanya. Walaupun teknologi pembawa maklumat atau rangkaian adalah elemen asas yang membentuk Internet, namun sebahagian besar pengguna Internet tidak menghiraukan apa yang ada di sebalik tabir. Apa yang penting ialah medium ini mengandungi berjuta-juta laman web dan sumber kandungan untuk kita terokai dan jelajahi.

Akhirnya Internet bukanlah sekadar rangkaian komputer dan perkhidmatan maklumat yang diberikan sahaja. Ia juga adalah bukti bahawa manusia boleh berkomunikasi secara bebas dengan kos yang amat berpatutan, tanpa mengira latar belakang sosial dan sejarah kehidupan terdahulu. Setiap orang boleh memasukinya. Anda tidak akan ditempelak kerana memakai pakaian warna lain, menganuti agama berlainan, warna kulit yang tidak serupa dan datangnya dari bahagian dunia yang berlainan. Internet secara keseluruhan merupakan satu 'dunia baru', yang mengandungi pelbagai watak kehidupan manusia. Dari satu segi Internet seolah-olah satu dunia 'pelarian' atau dunia alternatif kepada dunia nyata yang kita diami sekarang.

Wednesday, June 18, 2008

Cara meningkatkan trafik ke laman web @ blog

Menjana trafik supaya lebih ramai orang mengunjungi laman web atau blog kita adalah satu perkara yang amat mencabar, lebih-lebih kepada pengguna biasa.

Berikut adalah tip yang mungkin saudara boleh contohi:

- Kenal pasti golongan sasaran dan tumpukan kepada penulisan yang ditumpukan kepada mereka saja.

- Sentiasa dikemaskini. Jangan biarkan laman web atau blog anda itu terbiar dengan artikel yang lapuk.

- Sekiranya anda memiliki sumber kewangan yang cukup, iklankan laman web itu dalam laman web yang sering dikunjungi oleh golongan sasaran anda.

- Tetapkan satu butang ‘berkongsi’ atau ‘hantar’ kepada rakan untuk membolehkan pembaca memanjangkannya kepada orang lain.

Apabila anda sudah memiliki pembaca atau pengikut setia, maka sesuatu perkara itu menjadi mudah apabila setiap pengunjung akan bercerita serta menguar-uarkannya menerusi Internet.

Tuesday, June 17, 2008

Animasi dan pendidikan

Multimedia dewasa ini tidak menjadi teknologi yang semata-mata didampingi oleh kelompok masyarakat yang tertentu sahaja tetapi apa yang jelas ialah ia sudah jauh meresap ke dalam kehidupan masyarakat semasa. Jika diperhatikan dalam dekad terakhir ini, kederasan pertumbuhannya sekaligus penerimannya di kalangan masyarakat amat ketara sekali.

Di pentas tempatan, ia tidak jauh berbeza malah apa yang dapat kita lihat ialah kepekaan pihak kerajaan terhadap kehadiran teknologi serta kemampuannya sebagai sumber ekonomi serta enjin ekonomi yang berupaya memacu ekonomi negara. Koridor Raya Multimedia (MSC) ternyata menjadi petanda jelas akan keyakinan kita terhadap potensi teknologi tersebut.

Di dalam teknologi multimedia, animasi serta teknologi yang berkait rapat dengannya merupakan antara unsur terpenting. Sifat multimedia sebahagian besarnya diberikan oleh teknologi animasi, antaranya termasuklah ciri yang dinamik serta interaktif. Berbeza dengan media yang statik serta kaku, animasi menawarkan kemampuan untuk penampilan sesuatu objek yakni warnanya, jenis permukaan yang ingin ditampilkan serta kemampuan pergerakannya.

Kemampuan ini turut bergantung kepada sejauh mana keupayaan serta kecanggihan perisian pembangun animasi tersebut. Jika ianya adalah perisian pembangun animasi yang ringkas seperti perisian pembangun animasi GIF, maka keupayaannya mungkin setakat berupaya mengalihkan grafik yang terhimpun di dalam fail tersebut dengan selang masa yang ditetapkan. Tetapi jika ianya adalah sebuah perisian pembangun animasi yang lengkap serta canggih seperti yang digunakan dalam menghasilkan filem-filem berasaskan animasi di Hollywood seperti Toy Story serta Species, hasilnya ternyata amat menakjubkan. Anda sendiri tentu dapat menyaksikan betapa hidupnya adengan tersebut. Ada waktunya kita sukar untuk membezakan samada ia adalah benar ataupun dihasilkn dengan kesan animasi.

Kehadiran multimedia turut menyaksikan penerimaannya secara meluas di dalam segmen pendidikan. Di dalam aplikasi perdana MSC, penggunaan multimedia merupakan antara usur penting di dalam penyediaan serta pembangunan kandungan persekolahan bestari. Kelangsungannya ia turut membabitkan penggunaan animasi secara meluas serta aktif. Dengan cirinya yang dinamik serta berwarna, kandungan berasaskan animasi bukan sahaja nampak lebih hidup serta ceria tetapi turut mampu merangsang kecenderungan serta minat para pelajar.

Dunia pendidikan sejak dahulu lagi telah mempergunakan pelbagai kaedah serta teknologi dalam usaha memperalihkan pengetahuan serta ilmu di antara tenaga pengajar dengan para pelajar. Bermulalah dengan kaedah lisan, tulisan, lukisan dan kemudiannya menggunakan teknologi yang lahir kemudiannya seperti teknologi penyiaran yang membawakan penggunaan radio, telivisyen dan layar perak. Namun, sehingga kini kita masih melihat bagaimana sukarnya seseorang guru memperalihkan pengetahuan serta pelajaran secara efektif. Malah, ada waktunya kita turut pernah melihat guru kita berhempas pulas melukis di papan hitam serta mengulang sesuatu pelajaran itu untuk beberapa kali semata-semata untuk memahamkan kita.

Pelbagai pengalaman manusia yang lepas serta kepayahannya dalam memperalihkan ilmu kini cuba diatasi serta diperbaiki dengan penggunaan animasi di dalam multimedia. Lakaran visual ditunjukkan secara jelas serta dapat dimainkan secara berulangan oleh para pengguna untuk memastikan mereka benar-benar memhaminya. Animasi sebenarnya mempergunakan serta memanfaatkan sepenuhnya keupayaan pancaindera manusia

Kebelakangan ini kita turut menyaksikan kemampuan animasi yang mampu menyerupai persekitaran yang nyata serta realiti. Istilah yang lebih popular digunakan untuk menjelaskan kenyataan di atas ialah realiti maya. Inilah yang sebenarnya akan merintis jalan kepada proses pembelajaran yang tidak terpernah kita terfikir serta diimiginasi dahulu. Bayangkanlah jika anda mempelajari pelajaran geografi mengenai negara Australia, teknologi animasi dan multimedia dengan penggunaan perkakasan yang betul akan membolehkan anda seolah-olah berada di bumi Australia. Untuk sekarang ini, ia mungkin dianggap sebagai khayalan tetapi jangan terperanjat jika ia menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat ini. Teknologi animasi memungkinkannya dan proses pembelajarannya pastinya akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

Monday, June 16, 2008

Peranan Active Directory

Segmen penting dalam pentadbiran rangkaian ialah pengurusan pengguna, komputer, dan kumpulan. Sebuah sistem operasi yang baik dapat memastikan hanya pengguna dan komputer yang dikenalpasti sahaja boleh memasuki sistem rangkaian dan setiap sumbernya pula tersedia untuk pengguna yang diizinkan sahaja. Di dalam Windows 2000, khidmat Active Directory memainkan beberapa peranan utama dalam menyediakan keselamatan. Antara peranannya ialah pengurusan yang berkesan untuk mendaftar kemasukan dan keizinan pengguna di dalam rangkaian tersebut.

Dengan memberikan nama untuk pengguna atau sumber, khidmat direktori boleh menyediakan keperluan maklumat untuk mengakses kepada pengguna dan sumber tersebut. Salah satu cabaran di dalam persekitaran komputer teragih berskala besar ialah pengenalpastian dan penempatan sumber-sumber seperti pengguna, kumpulan, pencetak dan dokumen. Apabila sebuah khidmat direktori menjadi sebahagian daripada persekitaran perkomputeran berpusat, maka satu cara untuk menempatkan dan mengenalpasti pengguna dan sumber-sumber di dalamnya boleh disediakan.

Umumnya, sebuah khidmat direktori melibatkan pengurusan peralatan dan pengguna di dalam sesebuah organisasi. Kita sedia maklum, bilangan objek di dalam sebuah rangkaian akan membesar dan menyebabkan khidmat direktori yang menjadi 'hub' di dalam sebuah sistem rangkaian semakin besar dan penting. Untuk memenuhi keperluan ini, Active Directory diperkenalkan menerusi Windows 2000 Server. Ia merupakan set bersepadu khidmat direktori untuk meningkatkan pengurusan, keselamatan, dan kebolehan interoperasi bagi sistem operasi rangkaian Windows.

Dari sudut teknikal pula, Active Directory merupakan satu bahagian penting dan tidak berasingan di dalam senibina rangkaian Windows 2000. Pengguna juga difahamkan bahawa Windows 2000 yang dilancarkan baru-baru ini adalah pengganti kepada sistem operasi Windows NT 4.0 sebelum ini dan matlamatnya untuk menyediakan sebuah khidmat direktori bagi persekitaran rangkaian teragih. Sehubungan itu Active Directory membolehkan sesebuah organisasi berkongsi dan mengurus maklumat mengenai sumber-sumber dalam rangkaian dan penggunanya dengan efisyen.

Selain mengutamakan aspek-aspek keselamatan rangkaian, Active Directory juga membolehkan sistem operasi ini mengesahkan identiti pengguna dan mengawal akses mereka kepada sumber-sumber dalam rangkaian. Tidak kurang pentingnya ialah peranan Active Directory sebagai satu titik bersepadu yang berperanan menghimpunkan sistem dan menggabungkan tugas-tugas pengurusan. Dengan keupayaan kombinasi seperti ini, organisasi boleh menggunakan peraturan yang standard untuk mengagihkan aplikasi dan sumber-sumber rangkaian yang ada dengan berkesan.

Salah satu kelebihan Active Directory ialah kebolehannya membantu organisasi dalam mengintegrasikan sistem-sistem yang bukan berasaskan Windows dengan aplikasi yang berasaskan Windows begitu juga dengan peranti-peranti yang serasi Windows. Kebolehan seperti ini sebenarnya meningkatkan nilai pelaburan organisasi terhadap persekitaraan rangkaian yang sedia ada. Secara tidak langsung kebolehan integrasi sistem juga dapat mengurangkan kos keseluruhan perkomputeran organisasi kerana persekitaran rangkaian mereka menjadi lebih mudah diurus.

Active Directory : Intipati Windows 2000

Sistem operasi yang menggunakan teknologi NT ini dilengkapi khidmat aplikasi Web dan keselamatan Internet yang standard. Manakala prestasinya yang telah terbukti pada kos yang rendah hingga menjadikannya pilihan terbaik untuk menjalankan perniagaan dengan kemudahan Internet. Windows 2000 juga sedia berskala dengan sekurang-kurangnya sebuah pelayan untuk berdozen-dozen klien hinggalah mencapai beratus pelayan dengan beribu klien. Keupayaan ini amat penting khususnya untuk organisasi yang melibatkan pengurusan sumber di dalam rangkaian.

Kita juga sedia maklum rangkaian komputer menjadi semakin penting dalam perniagaan untuk mengekalkan daya saing dan sebuah sistem operasi perlu mengurus identiti dan perhubungan sumber di dalamnya. Ini sebenarnya dapat direalisasikan menerusi khidmat sebuah direktori yang menyediakan lokasi untuk menyimpan maklumat mengenai entiti rangkaian seperti aplikasi, fail, pencetak, dan pengguna. Malah ia juga boleh menyediakan kaedah konsisten untuk menama, menerang, menempat, mengakses, mengurus, dan menyimpan maklumat setiap sumber tersebut.

Sebagai sebuah autoriti berpusat, khidmat direktori juga berperanan sebagai pengurus identiti, penghubung sumber-sumber dan membolehkan kerjasama dilaksanakan. Oleh kerana khidmat direktori menyediakan fungsi asas sistem operasi rangkaian, maka ia mestilah berkait rapat dengan mekanisma pengurusan dan keselamatan sistem operasi itu bagi memastikan integriti dan 'privacy' rangkaian. Ia juga membolehkan organisasi mendefinisi dan menyelenggara infrastruktur rangkaian, melaksanakan pentadbiran sistem, dan mengawal semua pengguna dalam sistem maklumat.

Keperluan terhadap khidmat direktori bersepadu yang lebih berkuasa, bersifat telus, dan ketat didorong oleh ledakan dan pertumbuhan dalam perkomputeran rangkaian. Berikutan berkembangnya rangkaian kawasan setempat (LAN) dan rangkaian kawasan luas (WAN) sehingga menjadi semakin besar dan lebih kompleks, maka rangkaian kini perlu dihubungkan kepada Internet, dan aplikasi memerlukan lebih daripada sebuah rangkaian seperti dihubungkan kepada sistem lain menerusi intranet korporat. Oleh itu, banyak khidmat yang diperlukan daripada sebuah direktori.

Sunday, June 15, 2008

Menukar nama Recycle Bin untuk Windows 95/98

Anda boleh menukarkan nama My Computer dan Network Neighbourhood, tetapi nama Recycle Bin tidak boleh diubah? Anda boleh menggantikan nama Recycle Bin dengan menyunting Registry. Mula-mula, klik Start > Run, kemudian taipkan regedit lalu tekan Enter. Sebuah tetingkap Registry Editor akan muncul. Anda pergilah ke bahagian HKEY_CLASSES_ROOT, seterusnya turun ke bawah dan cari bahagian CLSID. Anda klik dua kali pada bahagian CLSID itu dan kemudian pergi ke segmen yang bernombor seperti berikut {645FF040-5081-101B-9F08-00AA002F954E}dan seterusnya pergi ke bahagian ShellFolder.

Di sini anda akan melihat nilai Attributes yang dipaparkan dengan nilai binari 40 01 00 20. Klik dua kali pada Attributes yang terletak panel sebelah kanan dan sebuah tetingkap Edit Binary Value akan muncul. Kemudian tukarkan nilai 40 itu kepada 50 dan pilih OK. Nilai binari akan menjadi 50 01 00 20.

Kemudian tutup Regedit dan kembali ke desktop anda. Kemudian, klik kanan pada Recycle Bin dan anda akan dapat lihat perintah Rename pada senarai perintah itu. Anda juga boleh mengklik pada Recycle Bin dan menekan kekunci fungsi F2 untuk mengganti namanya dengan nama yang anda inginkan.

Perdagangan elektronik - saluran perniagaan baru

Perdagangan Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC @ E-Commerce) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaiitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi. Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya laman web untuk mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.

Dengan E-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra syarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan anda mengkases Internet. Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon. Penggunaan E-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT di kalangan masyarakat, walau bagaimanapun di antara yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas di kalangan khalayak ramai ialah persepsi bahawa e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan.

Integrasi perniagaan

E-dagang semakin meluas digunakan di kalangan masyarakat Internet terutama di negara-negara barat mulai pada pertengahan tahun 1990an. Malah e-dagang sekarang ini diakui oleh syarikat-syarikat antarabangsa dan pakar-pakar pemasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan lagi dan menjadi satu alternatif wajib untuk apa jua jenis perniagaan yang ingin pergi ke peringkat antarabangsa.

Salah satu kebaikan dan keuntungan daripada menggunakan kaedah e-dagang ini ialah perangkaian dan integrasi di antara semua syarikat-syarikat yang berhubung baik sebagai pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan yang berkenaan. Dengan cara ini pertukaran maklumat dan transaksi perniagaan dapat dijalankan daam sekelip mata yang dahulunya mungkin dibelenggu oleh karenah mengisian borang-borang kertas dan birokrasi.

Secara idealnya semua ini dapat dijalankan dengan efisyen oleh semua pihak yang terlibat dalam rangkaian e-dagang itu dan tidak dibelenggu oleh isu-isu ketidakserasian (incompatibility) atau piawaian (standard) teknologi dan telekomunikasi yang tidak serupa. Ini telah ditawarkan oleh teknologi Internet yang menggunakan protokol telekomunikasinya yang dipanggil TCP/IP yang telah diterima pakai sebagai satu piawaian yang membolehkan sebarang pelantar (platform) komputer dapat saling berhubung dan bertukar maklumat dengan mudah. Pengguna Web juga dapat berinteraksi dengan dunia Web dengan mudah dengan hanya menggunakan sebuah perisian pelayar Web (Web browser) seperti Netscape Navigator, Internet Explorer dan lain-lain lagi.

Penggunaan e-dagang oleh sesebuah syarikat itu juga dapat membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat tersebut dengan sesebuah transaksi perniagaan itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan. Sebagai contohnya apabila pelanggan membuat tempahan pembelian menerusi e-dagang, tempahan tersebut boleh dengan serta merta dihantar kepada beberapa bahagian dalaman yang berkenaan seperti bahagian penjualan, bahagian logistik dan bahagian pembuatan. Dengan ini pengkoordinasian dalaman untuk memenuhi pesanan tersebut akan menjadi lebih efisyen.

E-dagang sebenarnya terdiri daripada beberapa komponen yang mempunyai ciri-ciri dan fungsinya yang tersendiri sebagai contohnya Pertukaran Data Elektronik atau Electronic Data Interchange (EDI), Internet, pensijilan digital, tandatangan digital, wang digital, Electronic Funds Transfer , Electronic Catalogs, Intranets, Kod Bar dan lain-lain lagi.

Jenis-jenis E-dagang

E-dagang dapat dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan dan yang keduanya di antara perniagaan dan pengguna. Jenis e-dagang yang pertama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih perniagaan atau syarikat di mana seringkali satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain. Sebagai contohnya pengeluar kicap akan berinteraksi dengan sebuah pasaraya dalam proses memesan, menghantar dan membayar pesanan botol-botol kicap.

Jenis e-dagang yang kedua pula iaitu di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual akhir sesuatu produk itu misalnya sebuah pasaraya yang menjual produk-produk kepada pengguna terakhir ialah orang ramai yang memesan satu atau dua botol kicap melalui e-dagang.

Dari segi jumlah transaksi yang dilakukan melalui e-dagang, jenis pertama iaitu transaksi di antara perniagaan dengan perniagaan sebenarnya paling banyak memberi kemanfaatan kepada sesebuah syarikat itu kerana jumlah pesanan di antara perniagaan seringkali besar dan kerap berbanding dengan di antara perniagaan dengan pengguna akhir. Walau bagaimanapun perkara ini mungkin berubah apabila lebih ramai pengguna akhir menggunakan e-dagang untuk membeli barangan seharian seperti kicap, bunga, beras, baju, kereta dan lain-lain keperluan konsumer sesebuah mesyarakat itu.

Jaminan pengguna

Para pengguna kad kredit seperti VISA dan Mastercard tidak akan menghadapi sebarang masalah apabila mereka menggunakan kad kredit mereka untuk membeli-belah menerusi Internet. Dengan kehadiran teknologi enkripsi data seperti Secure Sockets Layer (SSL) dan Secure Electronic Transaction (SET) maka pengguna akan lebih terlindung untuk melakukan pembelian menerusi Internet. Satu alternatif lain pula ialah dengan mengunakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti Net.Trader, Cybercash dan DigiCash yang membolehkan menghantaran wang menerusi talian tanpa menggunakan sebarang nombor kad kredit.

Lain-lain teknologi yang mennyokong dan menambahkan keselamatan transaksi e-dagang termasuklah sistem kriptografi PKI atau Public Key Infrastructure dan sijil digital. PKI dan sijil digital bertindak seperti kad pengenalan yang akan mengesahkan identiti sebenar pengguna dan penjual dalam setiap transaksi e-dagang dan ini meningkatkan kebolehpercayaan transaksi tersebut.

Beza Quick Format dengan Full Format

Apabila kita membuat Full Format, semua data akan dibuang dan imbasan akan dilakukan ke atas sektor yang rosak.

Ia akan memastikan data tidak akan ditulis di atas sektor yang rosak. Bagaimanapun, imbasan sektor rosak itu akan mengambil masa.

Quick Format akan membuang data, tetapi tidak mengimbas sektor yang rosak. Sebab itulah ia dilakukan dengan pantas.

Sekiranya anda seorang yang kurang sabar, lakukan Quick Format tapi apabila selesai, lancarkan ‘scandisk’ untuk mengimbas sektor rosak.

Perbezaan antara Linux dan RedHat

Linux terdiri daripada satu kernel dan beberapa aplikasi GNU. Terdapat banyak pengedaran atau Distros yang mengedarkannya dengan kernel berbeza, urusan pakej berlainan dan aplikasi.

Sementara Red Hat ialah satu daripada distro popular Linux. Antara yang lain termasuk Ubuntu (http://www.ubuntu.com), CentOS (http://www.centos.org), Fedora (http://www.fedoraproject.org), Debian (http://www.debian.org) dan SuSe(http://www.SuSe.com).

Oleh itu Linux dan Red Hat adalah sesuatu yang berbeza, yang Linux adalah generalisasi daripada kernel Linux dan aplikasi GNU, sementara Red Hat pula salah satu daripada Distro Linux seperti yang dijelaskan di atas.

Anda boleh memindah turun ISO dari laman web distro seperti disenaraikan di atas.

Saturday, June 14, 2008

Beza di antara bit dan bait

Komputer menggunakan format binari atau berasaskan dua nombor. Semuanya menggunakan digit binari sama ada 0 atau 1.

Satu bait mengandungi 1024 bit. Biasanya bait digunakan untuk mengukur kapasiti storan, misalnya cakera keras (hard disk) atau saiz memori.

Bit pula biasa digunakan untuk mengukur kadar pemindahan, misalnya kelajuan bagi talian ADSL – 1 megabit per saat (1mbps)