Pembinaan sebuah tapak Web komersial yang tidak terancang secara teliti belum tentu akan berjaya menarik perhatian pengunjung apatah lagi untuk membuahkan hasil atau keuntungan yang diharapkan. Di sini tapak Web komersial adalah merujuk kepada tapak-tapak Web yang boleh memberikan pulangan kewangan misalnya tapak jualan barangan, pembekal perkhidmatan dan penyedia kandungan bermaklumat. Bagi memastikan tapak Web komersial itu berjaya, anda harus merancang pembinaannya di peringkat awal lagi di samping membuat penelitian, dan kajian mendalam terhadap beberapa aspek penting seperti mana yang tersenarai di bawah ini.
Jenis tapak Web : Sebelum membina tapak Web anda perlu menentukan bidang yang hendak diceburi. Anda mungkin mempunyai beberapa idea seperti tapak jualan produk, pembekal perkhidmatan atau penyedia kandungan bermaklumat. Selain itu anda juga perlu menjalankan kajian pemasaran dan potensi tapak Web tersebut untuk memastikannya boleh menghasilkan keuntungan atau sebaliknya. Dalam kajian itu anda perlu mengenalpasti keperluan orang ramai yang mungkin tidak disediakan pada tapak-tapak Web yang lain.
Kajian mendalam : Setelah idea tapak Web yang hendak dibangunkan telah dikenalpasti, seterusnya anda perlu mengkaji secara terperinci konsepnya dari setiap sudut. Umpamanya, tapak penerbitan kandungan bermaklumat mungkin merasakan tapak Web mereka boleh memenuhi keperluan pembaca di samping menjadi saluran berpotensi untuk pihak pengiklan barangan. Sementara tapak Web untuk perdagangan pula mungkin memikirkan tentang modal yang hendak dibelanjakan, saiz pasaran dan bahagian pasaran yang bakal dikuasai.
Berciri profesional : Sekiranya tapak Web diperagakan secara profesional, maka produk, perkhidmatan atau kandungan yang disediakan mungkin tidak diragui. Sebuah tapak Web komersial yang kelihatan mudah rekabentuknya mungkin lebih sesuai berbanding tapak Web yang kompleks dan tidak teratur. Malah, tapak Web komersial tidak semestinya menggabungkan semua unsur multimedia untuk menarik perhatian pengunjung. Oleh yang demikian, buatlah penilaian secara kritikal terhadap tapak Web yang hendak dibangunkan itu.
Mudah digunakan : Sebuah tapak Web yang bersifat mesra pengguna, bukan sahaja dapat dikendalikan dengan baik, malah pengunjung boleh mengakses dan mencari keperluan mereka dengan mudah. Selain itu sebuah tapak Web komersial harus menyediakan kemudahan yang dapat membantu para pengunjung seperti enjin carian, katalog barangan, ikon peluncuran dan sebagainya. Tidak terkecuali juga ialah kemudahan untuk pihak pembangun tapak Web tersebut bagi mengumpul pelbagai maklum balas daripada para pengunjungnya.
Perlu perubahan : Tapak Web komersial yang bersifat dinamik perlukan perubahan dari masa ke semasa seperti maklumat dan idea terkini. Para pelangan mungkin mendapati tapak Web anda menjemukan sekiranya ia masih menampilkan bahan yang sama setiap masa dan kunjungan mereka mungkin hanya sekali. Aspek ini penting terutamanya bagi tapak Web yang berasaskan kepada penyediaan kandungan seperti berita. Sementara tapak Web perniagaan boleh menampilkan pelbagai produk yang berbeza kategorinya dari masa ke semasa.
Berdaya saing : Walaupun tapak Web komersial anda berjaya dilancarkan, namun ia mungkin perlu dikaji semula dari segenap aspek. Kajian semula ini adalah untuk memastikan tapak Web tersebut sentiasa mampu bersaing sekaligus memastikannya sentiasa dikunjungi. Perlu diingat, pesaing anda mungkin sedang memerhatikan tapak Web milik anda untuk mengenalpasti kelebihan dan kekurangannya. Sehubungan itu anda perlu bertindak sedemikian rupa agar daya saing tapak Web anda sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment