Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Wednesday, November 18, 2009

Capaian internet 3G DiGi di telefon bimbit



DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) memperkukuhkan kedudukan dalam arena capaian Internet mudah alih apabila memperkenalkan Turbo 3G, perkhidmatan capaian Internet 3G yang boleh dicapai menggunakan telefon bimbit bagi kawasan Lembah Klang.

Beberapa minggu sebelum ini, ia diperkenalkan Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind, berkata 59 peratus kawasan Lembah Klang kini diliputi oleh rangkaian 3G DiGi iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 44 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kawasan liputan 3G DiGi kini meliputi 20 peratus di seluruh negara dan ia akan ditingkatkan sehingga 50 peratus menjelang akhir tahun depan. Dengan liputan signifikan di tiga kawasan utama ini, DiGi merancang untuk terus melebarkan sayap ke beberapa bandar utama lagi termasuk Ipoh, Johor Bahru dan Kuching mulai tahun depan," katanya.

"Sejajar dengan perluasan kawasan liputan itu, DiGi kini mampu menawarkan pelbagai kaedah mencapai Internet dan tidak terhad kepada pengguna notebook menerusi modem jalur lebar saja, malah ia kini mampu dicapai menggunakan telefon bimbit dan telefon pintar," katanya lagi.

Menurut Dennelind, DiGi yakin telah berjaya menempatkan diri pada kedudukan terbaik dalam segmen jalur lebar yang diterima baik oleh pelanggan.

"Dengan perkhidmatan baru yang boleh dicapai oleh pelbagai peranti lain ini, kami bertambah yakin bahawa DiGi berjaya membawa pengalaman Internet terbaik kepada mereka," katanya lagi.

Pada masa sama, DiGi memperkenalkan pelan DG BerrySmart untuk pelan pasca bayar Blackberry dengan yuran bulanan RM58 sebulan. Apabila digabungkan dengan pelan BlackBerry Unlimited, ia akan direbat 100 peratus selepas jumlah kegunaan suara, SMS dan MMS mencapai RM200 sebulan.

Antara perkhidmatan baru lain, ia termasuk Internet Unlimited Max 5 untuk pelanggan prabayar dengan capaian tanpa had menggunakan telefon bimbit pada kadar RM5 sehari.

Disediakan juga pelan Internet Unlimited Monthly 58 for DiGi Postpaid dan diberi belian berdiskaun sehingga 50 peratus untuk telefon HTC Dual atau percuma Nokia 2730.

DiGi Broadband Discover pada harga promosi RM48 sebulan dan BlackBerry Unlimited Plan dengan caj RM58 sebulan.


Sumber : Harian Metro

Tuesday, November 10, 2009

Windows 7 - Lebih bertenaga, lebih berpotensi

Apa yang ditunggu akhirnya tiba.

Selepas beberapa kontroversi dan kritikan yang dilontarkan mengenai prestasi Windows Vista daripada gergasi perisian, Microsoft, mereka terus beralih kepada perisian seterusnya, Windows 7.



Ada pihak mendakwa Microsoft panik dengan kegagalan Windows Vista menyebabkan mereka mahu memperkenalkan Windows 7 walaupun Vista baru setahun jagung di pasaran.

Walau apa sekali andaian masyarakat, syarikat di bawah kuasa Bill Gates itu menyedari Windows 7 sebagai aura baru dalam dunia perkomputeran yang menyimpan teknologi jauh berbeza jika dibandingkan dengan Vista.

Pengurus Besar, Kumpulan Pelanggan Windows, Microsoft Asia Pasifik, Richard Francis, menjelaskan syarikatnya menjanjikan kelainan untuk OS Windows 7 dengan mengatakan ia jauh lebih handal serta inovatif.

"Berdasarkan maklum balas, kami yakin Windows 7 jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Vista," katanya.

Tambahnya, kajian Microsoft turut menjelaskan majoriti pengguna akan mengesyorkan Windows 7 kepada rakan mereka selepas berpuas hati dengan prestasi yang mengagumkan.

"Berdasarkan maklum balas orang ramai, Microsoft menjadikannya jauh lebih baik termasuk keupayaan penukaran program sehingga merakam televisyen.

Menurut Francis, Microsoft menerapkan teknologi sama dalam Vista yang dimasukkan ke Windows 7 tapi ia menutup segala kelemahan yang dirasai menerusi Vista.

Ia dikatakan memudahkan pelayaran komputer peribadi (PC) serta keupayaannya berhubung dengan dunia lain.

Microsoft bersedia memperkenalkan kemuncak generasi perisian akan datang yang direka bagi mengatasi rungutan mengenai perisian OS Vista keluarannya yang memberikan persaingan kepada pesaing utamanya, Google.

Versi Windows 7 yang dibangunkan itu dipertontonkan di Singapura baru-baru ini pada satu sesi pengenalannya di Asia Tenggara yang menyaksikan pelbagai kelebihan kepada pengguna pada masa akan datang.

Antara ciri kelebihan Windows 7 termasuk membolehkan orang ramai menjadikan komputer lebih menuruti kehendaknya dan menyediakan rangkaian yang boleh dihubungkan dengan telefon mudah alih, pencetak, gambar digital, komputer dan perkakasan pintar lain.

Windows 7 direka bentuk untuk menjadikan semua tugasan harian membabitkan komputer lebih pantas dan menampilkan ciri baru sambil memfokus terhadap aplikasi dan kepelbagaian kesesuaian penggunaan perkakasan itu.

Paling mengagumkan, Windows 7 mampu disesuaikan untuk peranti netbook yang sebelum ini banyak bergantung kepada XP sekiranya mahu beroperasi dengan lebih pantas.

Kebiasaannya netbook di pasaran mempunyai kapasiti memori satu gigabait ekoran saiznya yang kecil.

Kalau dilihat di kedai jualan netbook, pengguna akan mendapati ia jarang dipadankan dengan Windows Vista atas beberapa sebab termasuk ketidakupayaan menampung kapasiti memorinya yang besar.

Namun, Windows 7 menjadi perisian menarik menggantikan XP memandangkan sistem operasi terbabit menggunakan memori jauh lebih rendah berbanding Vista.

Kita perlu menyedari pasaran netbook semakin meluas dan ia dijangka antara peranti teknologi utama yang dibeli pengguna pada masa akan datang berikutan saiz kecilnya mudah dibawa ke mana saja.

Bagi penggemar permainan video pula, Windows 7 mempunyai sistem operasi paling cocok memandangkan perisian itu membenarkan kawalan grafik berkuasa tinggi ditambah keupayaan definisi tinggi (HD).

Jika sebelum ini pengguna kurang berpuas hati dengan pergerakan lembap karektor dalam permainan, Windows 7 membantu mengurangkannya dengan capaian inovasi yang diperbaharui dalam perisian terbabit.

Bagi dunia perniagaan pula, Windows 7 adalah jawapan kepada pelbagai masalah yang dihadapi mengakibatkan banyak organisasi masih mengekalkan XP sebagai sistem operasi utama.

Ketua Pegawai Pemasaran Microsoft Asia Pasifik, Andrew Pickup berkata Windows 7 mampu membuatkan organisasi bertukar sistemnya walaupun sebelum ini mereka menolak untuk menggunakan Vista.

"Kebanyakan syarikat tidak bertukar kepada Vista kerana tidak yakin dengan kestabilannya namun apabila mencuba Windows 7, mereka akan menukarnya dari XP sedia ada," katanya.

Beliau berkata, ia berikutan Windows 7 menawarkan tahap kecekapan yang jauh lebih tinggi berbanding Windows Vista.

"Kajian dilakukan ScriptLogic menunjukkan 41 syarikat di rantau Asia akan menukar ke Windows 7 dalam tempoh setahun melebihi kadar penembusan XP ketika ia dilancarkan," katanya.

Menurut Pickup, Microsoft optimis mengenai masa depan Windows 7 yang mampu disesuaikan dalam suasana perniagaan.

Salah satu syarikat yang mencuba Windows 7 dalam suasana perniagaan mereka termasuk organisasi berteraskan minyak dan gas dari Indonesia iaitu Medco E&P Langsa Ltd yang berpuas hati dengan prestasi sistem itu.

"Syarikat kami yang mempunyai 2,000 tenaga kerja menggunakan Windows 7 dan kami nampak perubahan ketara yang membantu dalam penjimatan kos syarikat," kata Pengurus Hubungan Perniagaannya, Ageng Wiryawan.

Katanya, antara peningkatan tahap kecekapan yang diperoleh termasuk penjimatan kos operasi kerana Windows 7 menggunakan keperluan sistem rendah yang memanjangkan tempoh pemilikan komputer peribadi (PC).

Dalam pada itu, Pickup menjangkakan penambahan jualan PC sekitar 10 peratus selepas Windows 7 diperkenalkan dan menganggarkan lebih 83 juta PC bersamaan dengan 60 peratus akan menggunakan Windows 7 dalam tempoh terdekat.

Daripada PC kepada Web seterusnya telefon dan dari pelayan kepada semua sistem lain, Microsoft terus memfokus pengalaman penciptaan generasi seterusnya yang mengubah cara kita hidup, bekerja dan bermain.

Windows 7 mempunyai ciri yang memudahkan tugasan harian antaranya:

# Taskbar diperbaharui dengan previu skrin penuh

Taskbar yang terletak di bahagian bawah skrin digunakan untuk melancarkan program dan menukarnya apabila ia dibuka. Ini bermakna anda akan dapat melihat visual ikon dipilih sebelum membukanya.

# Pembaharuan desktop

Ia memberi peluang kepada anda menyusun ikon di permukaan skrin termasuk membukanya, menutup, mengubah saiz dan mengemaskininya.

# Carian Windows

Windows 7 memudahkan carian subjek dalam PC dengan membahagikannya mengikut segmen tertentu seperti dokumen dan muzik dengan satu klik saja.

# Internet Explorer 8

Semestinya ia diperbaharui bagi memudahkan pelayaran `online' pantas seperti alamat bar, carian, `tabs' dan bar `Favorites.'

# Pengurusan perkakasan lebih baik

Kalau dulu, sebarang ikon di My Computer agak `kosong' tanpa grafik namun dengan keupayaan Windows 7 baru, ia mampu mengecam perkakasan yang disambungkan ke PC.

Microsoft juga berusaha mengenal pasti keupayaan prestasinya yang dipertingkat menerusi Windows 7 agar ia tidak berkompromi dengan kehendak pengguna.

Melalui sistem baru di bawah Windows 7, PC akan dibuka, ditutup, bersedia dan memberi respons dengan pantas yang mendapat maklum balas daripada pengguna sebelum ini.

Selain itu, ia jauh berbeza dengan Windows XP apabila Microsoft memajukan jangka hayat bateri dengan menambah sistem penjimatan tenaga untuk kecerahan paparan dan penggunaan tenaga minimum untuk memainkan pemain DVD.

Kali ini, Microsoft juga mahu mengurangkan sistem amaran membabitkan `pop-up' memberi ingatan kepada pengguna walaupun ia tidak serius berbanding pop-up yang sering terpampang.

Bagai bulan jatuh ke riba apabila mendengar ciri hiburan menggunakan Windows 7 yang bersedia untuk menampilkan fungsi ajaibnya terutama membabitkan televisyen menggunakan PC, filem dan video.

Ia membabitkan penukaran besar-besaran antaramuka hiburan yang memberi impak kepada emosi pengguna ketika berhibur.

Bagi tujuan keselamatan pula, Windows 7 menampilkan ciri `Action Centre' yang memberi peringatan kepada pengguna terhadap kemas kini dan akses kepada pemulihan serta penyelesai masalah (troubleshooting) menggunakan kemudahan pemulihan disediakan.

Tidak dilupakan, Windows 7 dijangka akan menitikberatkan fungsi skrin sesentuh yang kian didapati dalam mana-mana perkakasan di dunia ini menjadikannya lebih mesra pengguna.

Kehadiran Windows 7 bertepatan dengan aplikasi sentuhan seperti hasil kajian menyentuh hubungan antara pengguna dan mesin yang dijelaskan secara disiplin ilmu dalam Interaksi manusia-komputer (Human- Computer Interaction-HCI).


Sumber : Harian Metro

Sunday, November 08, 2009

Norton 2010 cegah pencuri siber

Pencuri 'online' hari ini tidak akan menghentikan kegiatan mereka menghilangkan duit dan menciplak identiti anda apatah lagi golongan ini kerap menggunakan perkakasan yang sofistikated untuk tujuan terbabit.

Vendor perisian keselamatan terkemuka, Symantec saja menghalang hampir 245 juta serangan berkod jahat 'malicious' setiap bulan sepanjang 2008 termasuk e-mel, laman web dan pengiklanan palsu.

Menyedari hakikat terbabit, Symantec menghasilkan perlindungan lebih terperinci pada produk terbaru mereka iaitu Norton 2010 yang mempunyai pendekatan unik menghalang kegiatan tidak bermoral dalam online.



Pengurus Pemasaran Produk Serantau Asia Pasifiknya, David Hall, memaklumkan syarikat itu memperkenalkan model keselamatan terkini dengan nama kod Quorum yang mengesan virus berdasarkan pergerakan tertentu.

"Quorum adalah senjata utama dalam perlindungan online kerana ia akan mengesan isyarat secara bersepadu mengenai kegiatan malware," katanya.

Menurut Hall, kegiatan malware pada masa kini menggunakan isyarat unik yang berubah dan ia memerlukan perlindungan secara sistematik dan bersepadu dalam usaha menangkisnya.

Sementara itu Naib Presiden Perniagaan Pengguna Asia Pasifik dan Jepun, David Freer, berkata jenayah siber kini mengatasi penyeludupan dadah sebagai jenayah paling menguntungkan.

"Setiap tiga saat, kita akan menyaksikan identiti dicuri. Kita perlu menyedari jenayah siber tidak sekadar menghancurkan komputer malah hidup masyarakat," katanya ketika pelancaran Norton 2010 yang turut dihadiri Ketua Perniagaan Symantec Asia Selatan, Effendy Ibrahim.

Norton 2010 merangkumi perlindungan AntiVirus 2010 dan Internet Security 2010 yang dijual pada harga RM139 dan RM179 untuk tiga komputer.


Sumber : Harian Metro

Thursday, November 05, 2009

Kamera dengan fungsi GPS



Penghasilan kamera digital hari ini semakin dirancakkan dengan tawaran pelbagai aplikasi canggih bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna. Revolusi yang ditampilkan itu sekali gus menjadikan aktiviti merakam gambar lebih mudah dan seronok terutama ketika musim perayaan ini.

Tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan tersebut, pengeluar produk elektronik digital global, Samsung Electronic (Samsung) telah tampil dengan model kamera digital terbaru, ST1000.

Menarik mengenai model itu, ia mempunyai resolusi 12.2 megapiksel selain dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi moden yang cukup unik.

Salah satu aplikasinya adalah Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang membenarkan setiap rakaman imej direkod secara bersama dengan maklumat latitud dan longitud lokasi foto tersebut diambil.

Ketika imej diambil atau dipaparkan semula, skrin akan memberitahu lokasi masa nyata seperti nama bandar untuk memberi maklumat kepada pengguna.

Tidak cukup dengan itu, kamera berkenaan juga mempunyai sambungan Bluetooth 2.0 bagi kemudahan menghantar foto kepada peranti yang bersesuaian secara wayarles.

Menurut Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronic Sdn. Bhd. (SME), Yoon Ki Heung, pengenalan model itu menunjukkan komitmen pihaknya membawa teknologi dalam usaha mempertingkatkan gaya hidup digital individu.

''Selain dilengkapi teknologi pengurusan imej pintar, model ini juga mempunyai reka bentuk yang cantik dan menarik,'' katanya pada pelancarannya kamera tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi sokongan perkhidmatan Wi-Fi pula, kamera tersebut boleh disambungkan secara wayarles kepada peranti DLNA seperti televisyen berdefinisi tinggi untuk aktiviti seperti memuat naik, berkongsi imej dan sebagainya.

Pengguna juga boleh menghantar foto yang telah mereka ambil secara terus menggunakan emel atau melalui laman web rangkaian sosial.

Keunikan model ini boleh dilihat melalui antara muka (UI) pengguna pintar di mana pengguna hanya perlu meleretkan tangan pada skrin untuk melihat paparan imej.

Selain itu, untuk memusingkan kedudukan gambar, pengguna perlu melukis tanda bulatan (O) pada skrin sementara untuk memadam pula, tanda pangkah (X) perlu di lukis.

Spesifikasi lain yang ditampilkan adalah seperti skrin sentuh LCD beresolusi tinggi 3.5 inci, teknologi penstabilan imej berkembar, rakaman video berdefinisi tinggi, fungsi pengesanan wajah dan sentuhan rakaman pintar.

Dengan segala kelebihan tersebut, Samsung ST1000 kini ditawarkan dalam pilihan warna silver, hitam, biru dan merah pada harga RM1,499.


Sumber : Utusan Malaysia

Tuesday, November 03, 2009

Rumah sifar CO2

Dalam usaha menyelamatkan alam sekitar yang kini berdepan dengan isu pemanasan global, Panasonic Corporation tampil dengan idea mencipta sebuah kediaman direka khas dikenali sebagai Rumah Eco yang antara fungsi utamanya meminimumkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2).

Rumah contoh dua tingkat berkeluasan 136.9 meter persegi yang didirikan di Panasonic Center, Tokyo, Jepun itu menggunakan model tiga generasi penghuni iaitu seorang nenek berusia 70 tahun, bapa berusia 40 tahun, ibu berusia 37 tahun dan anak perempuan berusia enam tahun.

Dengan mengambil angka pelepasan CO2 pada kadar 100 peratus pada 1990, pelaksanaan konsep Rumah Eco dijangka berjaya menurunkan kadar pelepas gas berkenaan kepada 47 peratus pada 2009 seterusnya kepada 35 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pelepasan CO2 dikurangkan melalui teknologi penjimatan tenaga pada peralatan dalam rumah dan menggunakan material bangunan dengan daya penebatan tinggi.

Melalui konsep rumah mesra alam ini, bekalan tenaga akan disumbangkan daripada tiga sumber iaitu sel bahan api, generator kuasa solar dan bateri akumulator.

Sel bahan api akan menjana kuasa elektrik ke dalam rumah hasil tindak balas kimia antara hidrogen yang diekstrak daripada metana dan oksigen yang berupaya menghasilkan satu kilowatt tenaga elektrik sehari.

Pada masa sama, ia dapat memanaskan air yang secara tidak langsung untuk mandi dan digunakan pada sistem pemanas lantai rumah pada musim sejuk.

Penjana kuasa solar yang menghasilkan lima kilowatt tenaga elektrik sehari pula beroperasi menggunakan tenaga suria sepenuhnya dan disebabkan ia tidak menggunakan bahan bakar berasaskan petroleum, ia tidak membebaskan CO2.

Sementara itu, bateri akumulator pula membekalkan tenaga simpanan dan hanya digunakan apabila perlu. Diadaptasikan daripada teknologi bateri ion-litium yang mengumpul tenaga bervoltan tinggi dalam alat bersaiz kompak, ia membekalkan tenaga sokongan jika sel bahan api dan janakuasa solar tidak berfungsi.

Dalam sebuah Rumah Eco, sumber semula jadi seperti udara, cahaya, air dan haba pula akan digunakan secara bijak tanpa menjejaskan keselesaan terhadap gaya hidup.

Keseluruhan rumah termasuk ruang tamu, bilik mandi, dapur dan bilik tidur menggunakan peralatan yang dihasilkan menerusi teknologi tinggi yang menggunakan tenaga pada tahap optimum untuk mengurangkan pelepasan CO2 seterusnya menghasilkan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi akan datang.

Antara peralatan yang dibangunkan Panasonic melalui Rumah Eco berkenaan termasuk Menara Laluan Angin iaitu sistem penyaman udara hibrid menggabungkan sistem pengalihan udara secara semula jadi dan mekanikal.

Sistem itu yang dipasang di ruang tamu akan mengalirkan udara panas pada musim sejuk dan udara sejuk pada musim panas menerusi bahagian bawah lantai rumah yang berupaya menjimatkan tenaga secara efektif.

Dari aspek pencahayaan di dalam rumah pula, Rumah Eco memperkenalkan konsep cahaya optimum untuk ruang optimum dan waktu optimum.

Ini bermakna dengan menempatkan lampu di tempat yang betul, ia hanya menerangi ruang yang perlu saja, bukannya keseluruhan ruang atau bilik.

Dalam hal ini, kekerapan penggunaan lampu dapat dikurangkan dengan bantuan cahaya matahari. Konsep ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga.

Selain itu, penggunaan lampu light-emitting diode (LED) yang menggunakan tenaga rendah juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO2.

Mesin pencuci dan pengering pakaian tilted-drum yang menggunakan sedikit air juga mampu mengurangkan pelepasan CO2, sekali gus mengurangkan bil air.

Alat ini berupaya mengeringkan pakaian dengan pantas menggunakan teknologi pam pemanas.

Selain itu, bahan kalis kotoran turut digunakan dalam kelengkapan bilik mandi seperti pada mangkuk tandas dan tab mandi.

Disebabkan material berkenaan mampu kekal bersih untuk tempoh yang panjang, ia tidak perlu dibersihkan secara kerap dan ini dapat mengurangkan penggunaan air.

Walaupun untuk membina sebuah Rumah Eco menelan belanja berjuta ringgit, namun Panasonic dikira berani membuat pelaburan besar itu sebagai tanggungjawab sosial konglomerat elektronik itu terhadap kelangsungan alam sekitar yang perlu dipulihara.


Sumber : Harian Metro

Sunday, November 01, 2009

Bank Data DNA mudahkan tugas

Dalam siri penyiasatan popular, CSI: Crime Scene Investigation, CSI:Miami dan CSI:NY, penonton kerap melihat sebijak mana seseorang penjenayah, dia pasti tertangkap kerana cuai meninggalkan bukti walau cuma sehelai rambut di tempat kejadian.

Perkara sama pernah dialami Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, yang berjaya membuktikan mangsa kes bunuh pernah berada dalam kereta suspek dengan penemuan setitik darah.

“Pegawai penyiasat berjaya menangkap suspek dan menemui kereta yang dipercayai pernah membawa si mati ketika mangsa masih hidup dua bulan selepas kejadian. Kereta berkenaan sudah dibersihkan dan tugas mencari bukti menunjukkan mangsa pernah berada dalam kenderaan berkenaan memang sukar.

“Bagaimanapun, setitik kesan darah dikesan di bahagian bumbung tempat duduk belakang kereta berkenaan. Selepas diperiksa, ia sepadan dengan darah mangsa. Apa yang berlaku selepas itu ialah suspek pula perlu menerangkan bagaimana darah itu berada dalam keretanya jika dia tidak pernah membawa si mati menaiki kenderaan itu,” katanya.

Zuraimi berkata, keputusan mahkamah ada kalanya tidak menyebelahi kes yang dibicarakan walaupun ada keputusan positif hasil analisis bahan bukti yang dijumpai untuk menyabitkan suspek.

“Bukti positif tetapi faktor lain turut diambil kira, umpamanya keterangan saksi. Pada awal siasatan, saksi memberi keterangan berbeza, tetapi ketika perbicaraan, keterangan saksi berbeza akibat kurang kerjasama atau terlupa.

“Saya boleh beri contoh tiga kes bunuh berprofil tinggi, satu daripadanya membabitkan seorang VIP. Dalam ketiga-tiga kes kami berjaya mengemukakan bukti forensik menunjukkan suspek berada di tempat kejadian, tetapi kalah dalam dua kes berkenaan. Cuma satu kes suspek disabitkan,” katanya.

Beliau turut menyambut baik keputusan Dewan Rakyat meluluskan Bank Data DNA yang disifatkan dapat membantu menyelesaikan banyak kes jenayah.

“Ia memudahkan kerja kerana kita dapat membandingkan contoh DNA yang diambil di tempat kejadian dengan data yang tersimpan. Ketiadaan data DNA menyukarkan kami membuat perbandingan terutama jika suspek tiada rekod jenayah,” katanya.

Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 diluluskan dengan pindaan di Dewan Rakyat pada 23 Jun lalu. Ia dibahas panjang lebar pada peringkat dasar tahun lalu dan mengambil masa dua hari pada peringkat jawatankuasa pada persidangan kali ini, menyaksikan sembilan fasal dalam rang undang-undang itu dipinda.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, berkata antara yang dipinda ialah mengenai jawatan ketua, timbalan ketua dan pegawai yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus Bank Data DNA digantikan pegawai awam yang memiliki kelayakan dan pengalaman dalam sains DNA.

Selain itu, Dewan Rakyat meluluskan cadangan pindaan bagi Fasal 13(7) bagi membolehkan seseorang yang tidak membenarkan sampel bukan intimnya diambil, dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Dua fasal rang undang-undang dipotong, iaitu Fasal 14, mengenai peruntukan jumlah denda dan penjara terhadap seseorang yang enggan memberi sampel bukan intim dan Fasal 24 yang menyatakan maklumat daripada Bank Data DNA hendaklah diterima sebagai bukti muktamad bagi identifikasi DNA dalam prosiding mahkamah.

INFO: Makmal Forensik

# Makmal Forensik memproses bukti seperti penimbulan cap jari, kesan pindaan nombor enjin dalam kes kecurian kenderaan, kes-kes jenayah komputer, pemeriksaan dokumen, pemeriksaan audio video dan kes balistik, manakala sampel DNA masih dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk diuji.

# Mempunyai kekuatan kira-kira 160 anggota yang bersiap sedia 24 jam dan bekerja mengikut syif.

# Bidang kuasa meliputi seluruh negara.


Sumber : Berita Harian