Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Tuesday, November 03, 2009

Rumah sifar CO2

Dalam usaha menyelamatkan alam sekitar yang kini berdepan dengan isu pemanasan global, Panasonic Corporation tampil dengan idea mencipta sebuah kediaman direka khas dikenali sebagai Rumah Eco yang antara fungsi utamanya meminimumkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2).

Rumah contoh dua tingkat berkeluasan 136.9 meter persegi yang didirikan di Panasonic Center, Tokyo, Jepun itu menggunakan model tiga generasi penghuni iaitu seorang nenek berusia 70 tahun, bapa berusia 40 tahun, ibu berusia 37 tahun dan anak perempuan berusia enam tahun.

Dengan mengambil angka pelepasan CO2 pada kadar 100 peratus pada 1990, pelaksanaan konsep Rumah Eco dijangka berjaya menurunkan kadar pelepas gas berkenaan kepada 47 peratus pada 2009 seterusnya kepada 35 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pelepasan CO2 dikurangkan melalui teknologi penjimatan tenaga pada peralatan dalam rumah dan menggunakan material bangunan dengan daya penebatan tinggi.

Melalui konsep rumah mesra alam ini, bekalan tenaga akan disumbangkan daripada tiga sumber iaitu sel bahan api, generator kuasa solar dan bateri akumulator.

Sel bahan api akan menjana kuasa elektrik ke dalam rumah hasil tindak balas kimia antara hidrogen yang diekstrak daripada metana dan oksigen yang berupaya menghasilkan satu kilowatt tenaga elektrik sehari.

Pada masa sama, ia dapat memanaskan air yang secara tidak langsung untuk mandi dan digunakan pada sistem pemanas lantai rumah pada musim sejuk.

Penjana kuasa solar yang menghasilkan lima kilowatt tenaga elektrik sehari pula beroperasi menggunakan tenaga suria sepenuhnya dan disebabkan ia tidak menggunakan bahan bakar berasaskan petroleum, ia tidak membebaskan CO2.

Sementara itu, bateri akumulator pula membekalkan tenaga simpanan dan hanya digunakan apabila perlu. Diadaptasikan daripada teknologi bateri ion-litium yang mengumpul tenaga bervoltan tinggi dalam alat bersaiz kompak, ia membekalkan tenaga sokongan jika sel bahan api dan janakuasa solar tidak berfungsi.

Dalam sebuah Rumah Eco, sumber semula jadi seperti udara, cahaya, air dan haba pula akan digunakan secara bijak tanpa menjejaskan keselesaan terhadap gaya hidup.

Keseluruhan rumah termasuk ruang tamu, bilik mandi, dapur dan bilik tidur menggunakan peralatan yang dihasilkan menerusi teknologi tinggi yang menggunakan tenaga pada tahap optimum untuk mengurangkan pelepasan CO2 seterusnya menghasilkan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi akan datang.

Antara peralatan yang dibangunkan Panasonic melalui Rumah Eco berkenaan termasuk Menara Laluan Angin iaitu sistem penyaman udara hibrid menggabungkan sistem pengalihan udara secara semula jadi dan mekanikal.

Sistem itu yang dipasang di ruang tamu akan mengalirkan udara panas pada musim sejuk dan udara sejuk pada musim panas menerusi bahagian bawah lantai rumah yang berupaya menjimatkan tenaga secara efektif.

Dari aspek pencahayaan di dalam rumah pula, Rumah Eco memperkenalkan konsep cahaya optimum untuk ruang optimum dan waktu optimum.

Ini bermakna dengan menempatkan lampu di tempat yang betul, ia hanya menerangi ruang yang perlu saja, bukannya keseluruhan ruang atau bilik.

Dalam hal ini, kekerapan penggunaan lampu dapat dikurangkan dengan bantuan cahaya matahari. Konsep ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga.

Selain itu, penggunaan lampu light-emitting diode (LED) yang menggunakan tenaga rendah juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO2.

Mesin pencuci dan pengering pakaian tilted-drum yang menggunakan sedikit air juga mampu mengurangkan pelepasan CO2, sekali gus mengurangkan bil air.

Alat ini berupaya mengeringkan pakaian dengan pantas menggunakan teknologi pam pemanas.

Selain itu, bahan kalis kotoran turut digunakan dalam kelengkapan bilik mandi seperti pada mangkuk tandas dan tab mandi.

Disebabkan material berkenaan mampu kekal bersih untuk tempoh yang panjang, ia tidak perlu dibersihkan secara kerap dan ini dapat mengurangkan penggunaan air.

Walaupun untuk membina sebuah Rumah Eco menelan belanja berjuta ringgit, namun Panasonic dikira berani membuat pelaburan besar itu sebagai tanggungjawab sosial konglomerat elektronik itu terhadap kelangsungan alam sekitar yang perlu dipulihara.


Sumber : Harian Metro

No comments: