Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Thursday, November 05, 2009

Kamera dengan fungsi GPS



Penghasilan kamera digital hari ini semakin dirancakkan dengan tawaran pelbagai aplikasi canggih bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna. Revolusi yang ditampilkan itu sekali gus menjadikan aktiviti merakam gambar lebih mudah dan seronok terutama ketika musim perayaan ini.

Tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan tersebut, pengeluar produk elektronik digital global, Samsung Electronic (Samsung) telah tampil dengan model kamera digital terbaru, ST1000.

Menarik mengenai model itu, ia mempunyai resolusi 12.2 megapiksel selain dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi moden yang cukup unik.

Salah satu aplikasinya adalah Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang membenarkan setiap rakaman imej direkod secara bersama dengan maklumat latitud dan longitud lokasi foto tersebut diambil.

Ketika imej diambil atau dipaparkan semula, skrin akan memberitahu lokasi masa nyata seperti nama bandar untuk memberi maklumat kepada pengguna.

Tidak cukup dengan itu, kamera berkenaan juga mempunyai sambungan Bluetooth 2.0 bagi kemudahan menghantar foto kepada peranti yang bersesuaian secara wayarles.

Menurut Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronic Sdn. Bhd. (SME), Yoon Ki Heung, pengenalan model itu menunjukkan komitmen pihaknya membawa teknologi dalam usaha mempertingkatkan gaya hidup digital individu.

''Selain dilengkapi teknologi pengurusan imej pintar, model ini juga mempunyai reka bentuk yang cantik dan menarik,'' katanya pada pelancarannya kamera tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi sokongan perkhidmatan Wi-Fi pula, kamera tersebut boleh disambungkan secara wayarles kepada peranti DLNA seperti televisyen berdefinisi tinggi untuk aktiviti seperti memuat naik, berkongsi imej dan sebagainya.

Pengguna juga boleh menghantar foto yang telah mereka ambil secara terus menggunakan emel atau melalui laman web rangkaian sosial.

Keunikan model ini boleh dilihat melalui antara muka (UI) pengguna pintar di mana pengguna hanya perlu meleretkan tangan pada skrin untuk melihat paparan imej.

Selain itu, untuk memusingkan kedudukan gambar, pengguna perlu melukis tanda bulatan (O) pada skrin sementara untuk memadam pula, tanda pangkah (X) perlu di lukis.

Spesifikasi lain yang ditampilkan adalah seperti skrin sentuh LCD beresolusi tinggi 3.5 inci, teknologi penstabilan imej berkembar, rakaman video berdefinisi tinggi, fungsi pengesanan wajah dan sentuhan rakaman pintar.

Dengan segala kelebihan tersebut, Samsung ST1000 kini ditawarkan dalam pilihan warna silver, hitam, biru dan merah pada harga RM1,499.


Sumber : Utusan Malaysia

No comments: