Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Friday, October 30, 2009

FSIS 2010 untuk perlindungan lebih pantas



Penyedia perkhidmatan keselamatan online, F Secure menjangkakan pertambahan serangan ke atas perkhidmatan online dengan pelbagai tanda 'malware' direka pada masa akan datang.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan jangkaan agensi penyelidikan, IDC yang menganggarkan pertambahan data sebanyak 60 peratus kepada 1,800 exabait pada 2011.

"Dengan pertambahan pelbagai inovasi dalam dunia online, penjenayah siber akan terus menuding komputer sebagai sasaran utama," kata Naib Presiden F-Secure Asia Pasifik, Jari Heinonen.

Sementara itu, Pengurus Tindak Balas Keselamatan F Secure Security Labs, Wing Fei Chia, berkata corak ancaman siber kini menunjukkan virus tidak tinggal lama dalam komputer.

"Oleh itu, apabila kita memperbaharui perlindungan, ia akan hilang dengan pantas kerana tidak akan tinggal lebih dari 24 jam," katanya.

Menurut Chia, berdasarkan paten terbabit, F Secure menyediakan perlindungan menerusi pembaharuan data secara berterusan menerusi F Secure Internet Security 2010 (FSIS 2010).

"Pengguna akan mendapat data mengenai ancaman baru hampir setiap jam untuk memudahkan pengesanannya," katanya.

Menurutnya, FSIS 2010 turut memiliki tiga lapisan keselamatan iaitu pertahanan, penakrifan URL dan perlindungan DeepGuard 2.0 yang membuang data berbahaya.

"Penggunaan Internet akan dipantau menerusi sistem perkomputeran 'cloud' yang berada di pusat data seluruh dunia sebelum dimasukkan ke dalam pelayan F Secure di Helsinki," kata Chia.

Chia berkata, data yang diproses akan dihantar semula ke pengguna dalam masa 60 saat.

FSIS 2010 mengimbas komputer 60 peratus lebih pantas berbanding produk sebelumnya dengan menyokong sistem operasi terbaru Microsoft, Windows 7.



Sumber : Harian Metro

Thursday, October 22, 2009

Belajar secara maya guna iPhone



Seramai 200 orang pelajar Sekolah Cempaka, Kuala Lumpur akan berpeluang belajar menggunakan iPhone 3GS daripada Maxis Communication Berhad (Maxis).

Majlis yang dilancarkan oleh Naib Presiden Maxis Communications Berhad, Fitri Abdullah dan Naib Presiden Sekolah Cempaka, Dr. Iskandar Rizal Hamzah akan mengedarkan 100 unit iPhone 3GS sebagai sebahagian daripada program Virtual Learning Environment (VLE).

Sekolah Cempaka telah mewujudkan program VLE sebagai landasan yang sesuai bagi Internet menggunakan iPhone dan sebagai tambahan sekolah akan memperkenalkan siri aplikasi iPhone yang akan digunakan dalam kurikulum setiap hari.

Fitri berkata, sejak revolusi iPhone 3GS dilancarkan pada 31 Julai lalu di negara ini, pihaknya mendapat pelbagai reaksi positif memandangkan fenomena iPhone 3GS adalah di peringkat global.

"Kami amat berbangga mengumumkan kerjasama dengan Sekolah Cempaka bagi membolehkan pelajar belajar menggunakan iPhone 3GS daripada Maxis memandangkan ia sesuai bagi bermain, belajar dan bekerja.

"Malah telefon bimbit ini lebih menarik apabila digunakan dalam pembelajaran di luar bilik darjah dengan adanya promosi bagi pelajar, guru serta kakitangan yang berminat untuk mendapatkan iPhone 3GS dari Maxis," katanya.

Sementara itu, Dr. Iskandar Rizal menambah, Sekolah Cempaka telah menggunakan teknologi dalam kelas sejak lama dulu.

"Kami telah memperkenalkan MacBook bagi setiap pelajar sekolah menengah pada tahun 2007 dan kami melihat iPhone akan menjadi salah satu bahan pembelajaran.

"Kini dengan komputer riba, pelajar boleh mendapatkan maklumat secara dalam talian, berkomunikasi, mengakses dan menghantar kerja sekolah serta membikin filem serta projek," katanya.

iPhone akan membuka aplikasi baru dan akan memberikan kemudahan kepada pelajar untuk mudah berhubung antara satu sama lain dan mempunyai akses sedia ada di luar bilik darjah.

Justeru, apabila pelajar menjalankan tugas luar, mereka boleh menggunakan iPhone untuk merekod, merakam gambar, temu bual dan merakam video.

Kolej Wanita Antarabangsa Cempaka (CILC) yang akan mengambil pelajar baru tahun ini akan membekalkan iPhone kepada pelajar sebagai sebahagian daripada persekitaran pembelajaran.

"Kami telah mempunyai semua sumber bagi penggunaan iPhone dan sentiasa membangunkan aplikasi sendiri," katanya.

Kolej yang pertama seumpamanya akan dilengkapi dengan WiFi bagi memudahkan pelajarnya mendapatkan akses Internet.

Maxis mengadakan pameran bergerak di Sekolah Cempaka Damansara Heights bermula 13 September bagi membawa pengalaman iPhone 3GS lebih dekat dengan pelajar dan guru.

Dr. Iskandar Rizal berkata, pihaknya mungkin akan menjalinkan kerjasama dengan sekolah lain mengenai pengguna iPhone.

"Ini mungkin akan mengambil masa yang lama selepas kami membangunkan aplikasi sendiri," katanya.

Sebahagian daripada pameran bergerak adalah untuk memberikan kemudahan kepada ibu bapa dan pelajar menggunakan rangkaian Maxis dengan pelan Value Plus Family.

Hanya dengan komitmen bulanan RM30, pelan Value Plus Family menawarkan 20 jam panggilan suara atau video percuma dan 2,000 SMS percuma bagi talian utama bagi talian tambahan.

Terdapat juga 15 jam panggilan suara atau video percuma dan 1,500 SMS bagi talian tambahan untuk memanggil talian utama dan talian tambahan.

Selain itu bagi Sekolah Cempaka, pelajar, ibu bapa dan kakitangan akan menikmati 38 jam panggilan percuma intra-komuniti dan 500 SMS sebulan sebagai sebahagian promosi Maxis bagi Sekolah Cempaka.


Sumber : Utusan Malaysia

Sunday, October 18, 2009

Canon DNA tentukan keaslian produk



Syarikat peneraju bagi penyelesaian pengimejan digital dan fotografi global, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon) sememangnya telah lama mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti.

Ia adalah sejajar dengan matlamat syarikat berkenaan untuk memberi kepuasan yang maksimum kepada para pelanggan mereka.

Tumpuan perkhidmatannya adalah merangkumi perlindungan jaminan, kawalan kualiti, penjenamaan imej, perlindungan jenama dan melantik pengimport jualan yang sah.

Terbaru, Canon telah memperkenalkan teknologi Pelekat Canon Asli yang didatangkan bersama produk kamera dan kartrij pencetak bagi membantu pengguna menentukan keasliannya.

Menurut Presiden Canon Marketing Malaysia, Liew Sip Chon, label yang dikenali sebagai DNA itu bertujuan untuk memastikan pengguna membeli produk yang betul-betul berkualiti dengan prestasi terbaik.

''Objektif lain pengenalannya adalah supaya pengguna dapat memastikan produk yang mereka beli dibekalkan oleh pengimport yang berlesen,'' jelasnya.

Selain menentukan keaslian, pelekat itu juga berfungsi membolehkan produk yang dibeli layak menerima perlindungan jaminan serta sokongan teknikal penuh daripada pihak Canon.

Bermula Oktober ini, semua kedai konsep, agen berlesen dan pembekal produk Canon akan menerima stok kamera dan kartrij yang dilekatkan dengan pelekat DNA.

Untuk tujuan itu juga, agen-agen akan dibekalkan bersama pen khas bagi tujuan menjalankan ujian keaslian produk.

Pen itu boleh digunakan dengan melorek kawasan logo DNA berwarna biru yang terdapat pada pelekat.

Perubahan serta-merta akan dapat dilihat apabila warna biru itu akan bertukar kepada warna merah jambu.

Kemudian, dengan menggunakan bahagian hujung satu lagi pen ujian tersebut, kawasan yang sama perlu dilorek agar warna pelekat kembali kepada warna biru.

Menerusi teknologi itu, adalah diharapkan pengguna akan membeli produk kamera dan kartrij pencetak yang asli bagi jaminan penggunaan jangka masa panjang dan bernilai untuk wang.


Sumber : Utusan Malaysia

Thursday, October 08, 2009

Windows Mobile 6.5 20 peratus lebih pantas

Microsoft mengumumkan sistem operasi Windows Mobile 6.5 terbaru bagi telefon pintar yang dikatakan 20 peratus lebih pantas berbanding sistem sebelum ini.

Ketua Pemasaran dan Operasi Microsoft Malaysia, Yasir Yousuff, menjangkakan rakan kongsinya melancarkan lebih 30 telefon yang menggunakan keupayaan Windows Mobile 6.5.

"Pengguna perlu menyedari Windows Mobile 6.5 diperbaharui dengan keupayaan melayari Internet lebih pantas sesuai peredaran perkembangan yang menuntut komunikasi pantas," katanya.

Menurutnya, pengguna akan mendapat manfaat terutama ketika mereka menggunakan laman web sosial seperti Facebook, MySpace, YouTube dan sebagainya.

"Kami mahu pengguna berasa kepantasan berhubung dengan orang lain dan mendapatkan maklumat penting secepat mungkin yang mempengaruhi hidup serta kehidupan," kata Yasir.

Pelancaran sistem operasi Windows Mobile 6.5 itu juga disusuli dengan dua perkhidmatan baru termasuk fungsi 'backup' secara 'online' dan pembelian aplikasi.

Menerusi aplikasi percuma My Phone yang disediakan itu, semua maklumat dan data dalam telefon pintar pengguna kini boleh disimpan terus ke pelayan sebagai salinan (backup) termasuk hubungan, teks temujanji, gambar, data dan maklumat kerja sekiranya ia hilang atau musnah.

Bagi melengkapkan penggunaan Windows Phone berdasarkan cita rasa pengguna, Microsoft menerapkan pelbagai keperluan dan aplikasi unik dalam Windows phone Custom Theme Creator yang boleh dilayari di laman web www.windowphone.com/theme

"Setakat ini, lebih 246 aplikasi dengan 15 antaranya ditawarkan secara percuma kepada pengguna Windows Mobile 6.5," jelas Pengurus Program Mudah Alihnya, Yap Chun Wei.

Kepantasan sistem operasi itu juga dipertingkat bagi memperbaiki pengalaman menggunakan Windows Live, khususnya untuk aplikasi What's New Feed dan perkongsian gambar ke rangkaian sosial.

Antara telefon yang beroperasi dengan Windows Mobile 6.5 termasuk Acer beTouch E100, E101, E220, neoTouch, Garmin Asus nuvifone M20 dan HTC Snap TouchPro2, Touch Diamond2 serta Touch2.

Selain itu, LG GM730 dan LG GM550 serta Samsung Omnia II, Omnia Pro B7320 dan PRO B7330 turut mendapat sentuhan sama.


Sumber : Harian Metro