
Syarikat peneraju bagi penyelesaian pengimejan digital dan fotografi global, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon) sememangnya telah lama mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti.
Ia adalah sejajar dengan matlamat syarikat berkenaan untuk memberi kepuasan yang maksimum kepada para pelanggan mereka.
Tumpuan perkhidmatannya adalah merangkumi perlindungan jaminan, kawalan kualiti, penjenamaan imej, perlindungan jenama dan melantik pengimport jualan yang sah.
Terbaru, Canon telah memperkenalkan teknologi Pelekat Canon Asli yang didatangkan bersama produk kamera dan kartrij pencetak bagi membantu pengguna menentukan keasliannya.
Menurut Presiden Canon Marketing Malaysia, Liew Sip Chon, label yang dikenali sebagai DNA itu bertujuan untuk memastikan pengguna membeli produk yang betul-betul berkualiti dengan prestasi terbaik.
''Objektif lain pengenalannya adalah supaya pengguna dapat memastikan produk yang mereka beli dibekalkan oleh pengimport yang berlesen,'' jelasnya.
Selain menentukan keaslian, pelekat itu juga berfungsi membolehkan produk yang dibeli layak menerima perlindungan jaminan serta sokongan teknikal penuh daripada pihak Canon.
Bermula Oktober ini, semua kedai konsep, agen berlesen dan pembekal produk Canon akan menerima stok kamera dan kartrij yang dilekatkan dengan pelekat DNA.
Untuk tujuan itu juga, agen-agen akan dibekalkan bersama pen khas bagi tujuan menjalankan ujian keaslian produk.
Pen itu boleh digunakan dengan melorek kawasan logo DNA berwarna biru yang terdapat pada pelekat.
Perubahan serta-merta akan dapat dilihat apabila warna biru itu akan bertukar kepada warna merah jambu.
Kemudian, dengan menggunakan bahagian hujung satu lagi pen ujian tersebut, kawasan yang sama perlu dilorek agar warna pelekat kembali kepada warna biru.
Menerusi teknologi itu, adalah diharapkan pengguna akan membeli produk kamera dan kartrij pencetak yang asli bagi jaminan penggunaan jangka masa panjang dan bernilai untuk wang.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment