Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Showing posts with label google. Show all posts
Showing posts with label google. Show all posts

Sunday, July 18, 2010

10 carian popular Google Malaysia untuk bulan Jun 2010

Berikut adalah 10 senarai carian tertinggi pelayar Internet sepanjang Jun 2010 menggunakan enjin pencari Google di alamat www.google.com.my.

1. Fifa World Cup 2010
Demam bola sepak melanda negara ini dan seluruh dunia sebaik sepak mula kejohanan bola sepak Piala Dunia Fifa 2010 dengan perlawanan pertama Afrika Selatan menentang Mexico pada 11 Jun.

2. Luna Maya
Pengacara TV adalah antara tiga selebriti Indonesia yang dikaitkan dengan skandal seks 'Peterporn' hingga menyebabkan keriuhan di Indonesia.

3. iPhone 4G
iPhone generasi terbaru dilancarkan pada 24 Jun lalu didatangkan dengan model 16 dan 32GB.

4. Waka Waka/Shakira
Lagu rasmi Piala Dunia Fifa 2010 dinyanyikan artis terkemuka Shakira.

5. Sukma 2010
Sukan Malaysia terbesar di Malaysia edisi ke-13 berlangsung di Melaka mulai 10 hingga 19 Jun dengan Terengganu menjadi juara keseluruhan.

6. Karate Kid
Jaden Smith dan Jackie Chan bergabung tenaga menghasilkan filem The Karate Kid yang mula ditayangkan pada 10 Jun.

7. Gaza/Israel
Serangan tentera Israel ke atas enam kapal konvoi misi keamanan untuk Gaza. Enam rakyat Malaysia berada di atas kapal Rachel Corrie turut menjadi mangsa.

8. Benci Bilang Cinta
Drama bersiri disiarkan di Astro Ria mengenai seorang lelaki akan mewarisi kekayaan datuknya jika mengahwini gadis pilihan datuknya itu.

9. Millat Facebook
Pembangun aplikasi Pakistan melancarkan laman web seperti Facebook untuk memberi peluang kepada 1.57 bilion penduduk Islam di seluruh dunia dan masyarakat yang baik dengan Islam.

10. Lagenda Budak Setan
Berasaskan novel popular 1980-an nukilan Ahadiat Akashah, filem cinta ini dibintangi oleh Farid Kamil dan Lisa Surihani, menjengah panggung pada 3 Jun.

Thursday, April 15, 2010

Carian tertinggi bulan Mac - Google Malaysia

Senarai 10 carian maklumat tertinggi yang dicatatkan oleh enjin pencari Google (www.google.com.my) sepanjang Mac 2010:
1) Yanie Mentor – meninggal akibat ketumbuhan pada paru-paru.
2) Jack Neo – penggiat filem terkemuka Singapura digosipkan dengan model/pelakon 22 tahun.
3) Earth Hour – maklumat acara global mengenai pemuliharaan alam sekitar.
4) MCA – Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dilantik semula sebagai presiden MCA.
5) All England – Datuk Lee Chong Wei juara edisi ke-100
6) Alice in Wonderland – maklumat filem fantasi terbaru di panggung tempatan.
7) DIGI iPhone – DiGi mula tawarkan iPhone kepada pelanggan.
8) Akademi Fantasia 8 – siri realiti popular di Astro
9) e-filing – pengisian dan pengembalian borang cukai pendapatan 2009.
10) Biasiswa JPA – pelajar mencari maklumat dan memohon biasiswa

Wednesday, February 03, 2010

Kelebihan OS Google

Beberapa tahun lalu, pengguna mempunyai pilihan Internet Explorer atau Mozilla Firefox sebagai perisian pelayar utama yang menghubungkan manusia dengan Internet.

 

Manakala pengeluar Internet Explorer iaitu Microsoft terus dengan sistem operasi (OS) Windows yang menjadi nadi kebanyakan komputer selama ini.


Kini, enjin carian terkemuka, Google merasakan mereka perlu menyediakan alternatif baru dalam industri perkomputeran apabila bakal melancarkan OSnya sendiri iaitu Chrome tidak lama lagi.

Ia selepas kejayaan pelayar mereka yang turut memakai nama sama sejak dilancarkan.

Pengarah Pengurusan Produk Google, Caesar Sengupta, berkata sejak pelayar Google Chrome dilancarkan kira-kira setahun lalu, ia sudah mempunyai lebih 40 juta pengguna yang menggunakannya secara kerap.

"Ia jumlah yang memberangsangkan untuk dunia perpelayarkomputeran serta mereka yang hidup dalam persekitaran Internet," katanya.



Menurut Caesar, Google Chrome direka untuk pengguna yang menggunakan laman web secara kerap untuk mencari maklumat, memeriksa e-mel, membaca berita online, membeli-belah atau berhubungan dengan rakan.

"Bagaimanapun, sistem operasi yang digunakan untuk menggerakkan Google Chrome tidak berjalan lancar seperti dikehendaki," katanya.

Katanya, pengguna Google Chrome merungut mengenai ketidakupayaan sistem operasi mereka melancarkan kerja harian memandangkan pengguna masih mahu menggunakan Chrome sebagai pelayar utama.

"Berdasarkan maklum balas pengguna, kami nekad melancarkan OS baru yang menepati kehendak pengguna," kata Caesar.

Beliau memaklumkan, Google Chrome OS dibina berasaskan konsep sumber terbuka demi menggalakkan kodnya diuji komuniti berkenaan yang mampu menambah baik sistem terbabit dari semasa ke semasa.

"Kita menawarkan kodnya sebagai sumber terbuka yang akan mendedahkan manusia ke arah dimensi baru bagi zaman perkomputeran mudah," katanya.

Caesar memaklumkan pada peringkat awalnya Google Chrome OS akan disasarkan kepada peranti netbook berikutan kandungannya yang ringan.

"Kami dalam peringkat perbincangan dengan pengeluar komputer peribadi (PC) namun ia tidak akan didedahkan dalam masa terdekat. Cuma yang pasti, pengguna akan mendapatkan OS ini di pasaran pada pertengahan tahun ini," katanya.

Selain itu, Caesar berkata, Google bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang berminat dan akan menyerahkan kod sistem kepada komuniti sumber terbuka bagi tujuan pembangunan aplikasi.

"Kami mahu berkongsi visi yang boleh difahami masyarakat," katanya.
Google menekankan aspek laju, mudah dan selamat sebagai ciri utama dalam pembangunan Chrome OS.

"Pengalaman menggunakan Chrome pasti mengagumkan kerana ia ringan dan tidak disaratkan dengan antaramuka yang maksimum.

"Malah, kami mengkaji dari pelbagai sudut untuk memastikan keselamatan yang ketat bagi mengelakkan pengguna terdedah kepada bahaya virus, malware dan memperbaharuinya" katanya.

Beliau turut menjelaskan pasaran Malaysia penting dalam peta Chrome apabila penyelidikan mendapati pengguna Internet di negara ini kini mencecah 16.9 juta pengguna dengan kadar celik Internet sebanyak 65.7 peratus.

"Berdasarkan kajian penyelidik ComScore pada Ogos tahun lalu, rakyat Malaysia menghabiskan sekurang-kurangnya 14 jam setiap bulan untuk melayari Internet manakala generasi mudanya menggunakan 3.3 jam masa mereka untuk perkara sama," katanya.

Katanya, berdasarkan faktor di atas, penggunaan Google Chrome dijangka meluas manakala OS pula akan diterima baik. Google Chrome OS berasaskan sumber terbuka membawa maksud kod program aplikasi atau perisian boleh dikongsi jurutera program atau sesiapa saja asalkan ia mendapat akses kepada data terbabit yang didedahkan secara percuma di dunia siber.

Ia bermakna kod program itu mampu diubah suai mengikut kehendak jurutera terbabit bagi mengembangkan program komputer agar ia menjadi aplikasi lebih baik yang boleh dikongsi individu lain.

Namun, individu yang mahu berkecimpung dalam teknologi sumber terbuka perlu arif dalam bidang perkomputeran terutama berkaitan kod program dan skrip.

Kebanyakan pengamal sumber terbuka pula dikatakan individu celik IT yang berusaha mencipta program bersesuaian dengan keperluan hidup manusia tanpa mengharapkan ganjaran pada masa depan.

Sumber terbuka adalah model yang mesra komuniti dan berinovatif dalam menyediakan perisian berkualiti tinggi berdasarkan standard industri.

Ia akan dilesenkan di bawah Lesen Umum Awam (GPL) yang memberikan penyelesaian fleksibel kepada pengguna untuk menggunakan perisian secara percuma tanpa risau mengenai kata laluan vendor serta akan terus berkembang memandangkan salah satu komponen dalam sumber terbuka itu sendiri memerlukan pembangun perisian bersedia mendedahkan programnya kepada umum.

Sumber terbuka banyak menumpukan aspek teknikal dalam produk yang releven untuk industri.

Mengulas mengenai perkomputeran 'cloud' dalam suasana sumber terbuka, Caesar menjelaskan, ia banyak dibantu model teknologi terbabit untuk membangunkan lebih banyak aplikasi . "Saya turut menjangkakan lebih banyak aplikasi yang akan direka di Chrome menggunakan teknologi sumber terbuka," katanya.

Katanya, kelebihan sumber terbuka membantu menguatkan aplikasi kerana ia adalah gabungan komuniti paling ramai di dunia.



Sumber  : Harian Metro


Saturday, January 30, 2010

Google Chrome amal konsep sumber terbuka

Sebelumkehadiran sistem operasi (OS) Google, Google Chrome didapati dalam bentuk perisian pelayar web yang menandingi Internet Explorer atau Mozilla Firefox.

Ia menggunakan enjin susun atur dan kerangka aplikasi WebKit. Versi beta untuk pelayar ini dikeluarkan menerusi Microsoft Windows pada 2 September 2008 disusuli keluaran umum pada 11 Disember 2008. Pada awalnya, nama Chrome diambil daripada perkataan 'krom' pada bingkai antaramuka pengguna grafik. Pada 1 November 2009, Chrome mencatat rekod pengguna pelayar web keempat terbanyak dengan mencatat 3.6 peratus daripada penggunaan pelayar web seluruh dunia. Antaramuka pengguna Chrome yang ringan ini berbeza dengan pelayar lain yang mana kekuatan Chrome terletak kepada prestasi aplikasi dan kelajuan pemprosesan JavaScript.
Chrome dikatakan oleh sebagai pelayar yang terpantas di kalangan pelayar utama ketika ini. Ciri keselamatan Chrome beroperasi dengan memindah turun kemas kini dua senarai hitam khas untuk phishing dan malware memberi amaran kepada pengguna yang cuba memasuki laman web berbahaya. Melalui ciri terbabit, Google turut mampu memaklumkan kepada pemilik laman web mengenai keselamatan laman mereka menggunakan Google Safe Browsing API. Setiap 'tab' di pelayar web Chrome mengandungi 'Sandbox' yang mengelakkan malware daripada aktif secara automatik atau memperalatkan peristiwa di satu tab untuk menjejaskan pelayaran pengguna di tab lain. Mengikut prinsip keistimewaan terendah, setiap proses mencurigakan akan ditarik balik haknya dengan hanya membenarkan pemprosesan data saja tanpa menulis fail atau membaca bahan sensitif seperti dokumen.

Ia bertindak seakan penjara kepada virus yang dihantar dalam komputer seolah-olah perisian berbahaya yang berjalan di satu tab namun tidak boleh mengesan nombor kad kredit, berhubung dengan tetikus atau membuka atur cara komputer.

Ini memperkuatkan model keselamatan komputer ringkas yang terdiri daripada dua peringkat keselamatan iaitu pengguna dan Sandbox yang mana Sandbox hanya boleh membalas permintaan daripada pengguna. Dalam pada itu, Chrome dilengkapi mod 'Incognito' yang membolehkan penggunanya melayari Internet tanpa merekodkan laman web yang dikunjunginya.

Kelajuan Google Chrome berdasarkan Javascript yang mengurangkan penggunaan data tidak penting.

Selain ruangan tunggal untuk mengisi alamat dan kata kunci carian yang bergelar Omnibar, antaramuka pengguna utamanya terdiri daripada fungsi kembali dan maju, muat semula, penanda buku, pergi (segitiga menghala kanan, di kanan Omnibar) serta batal.

Chrome merangkumi perisian Gears yang menambahkan ciri pembangunan pada masa akan datang untuk menjadi piawaian web seperti pembinaan aplikasi web termasuk sokongan 'offline'.

Apabila tab baru dibuka, Chrome membuka Laman Tab Baru (New Tab Page) yang memaparkan lapan laman web paling kerap dikunjungi dalam bentuk imej kecil di samping penanda laman terkini dan tab yang baru ditutup.

Manakala Omnibox ialah ruang isian URL di bawah tab menyamai Opera yang merangkumi fungsi melengkapkan isian URL atau kata carian secara automatik, cadangan carian, halaman yang paling kerap dilawati, halaman popular (yang tidak pernah dilawati) dan sejarah serta kata laluan.

Ikon 'popup' pula dimuatkan dalam satu tab dan tidak dikeluarkan dari pelayar melainkan pengguna sendiri mengeluarkannya.

Chrome menggunakan enjin susun atur WebKit atas nasihat pasukan Android kerana enjin WebKit ini mudah, cekap, berguna dalam peranti terbenam (embedded) dan mudah dipelajari pembangun yang baru.

Aplikasi web pula boleh dilancar dalam tetingkap sendiri tanpa Omnibox dan bar alat pelayar yang tidak mengganggu pengalaman pelayaran pengguna, sekali gus membolehkan aplikasi web berjalan di samping perisian tempatan.


Sumber : Harian Metro