Berdasarkan beberapa kes membabitkan polis ada di antaranya mewujudkan pelbagai tanggapan negatif pada pandangan masyarakat mengenai keupayaan pasukan itu menangani situasi tertentu ketika bertugas.
Ia termasuk kes seorang remaja mati ditembak kerana disyaki penjenayah dan sehinggalah kes itu selesai disiasat kelak, seharusnya tidak ada sesiapa yang perlu dipersalahkan sebaliknya dijadikan pengajaran pada masa depan.
Isu seperti itu sebenarnya mudah diatasi dengan perkembangan teknologi masa kini kerana ia dikatakan mampu menjustifikasikan situasi sebenar ketika berlaku sesuatu insiden.
Pada penghujung 90-an, wujud kes di Amerika Syarikat berkaitan tuntutan saman yang difailkan terhadap seluruh institusi polis peronda apabila dikaitkan penangkapan berasaskan warna kulit di negara berkenaan.
Berasaskan beberapa fakta, mahkamah memutuskan terdapat bukti berkaitan profil perkauman berlaku ketika kejadian membabitkan penahanan warga berkulit hitam yang sering menimbulkan kontroversi.
Penemuan mahkamah terbabit memberi persepsi awam yang negatif dan melemahkan kepercayaan kepada polis.
Jika ia terus berlaku dan dibualkan penduduk negara itu, ia mencemarkan institusi kepolisan yang membuka mata pihak atasan bagi mencari langkah proaktif menghentikan salah guna kuasa polis dan mengembalikan kepercayaan masyarakat.
Bermula daripada keadaan tidak tenteram itu, timbul idea untuk mengerahkan jabatan polis memasang kamera video bagi merakam aktiviti penguasa dan pertemuan lain dengan masyarakat.
Atas dasar membina kepercayaan awam, rakaman video kenderaan peronda ditempatkan dalam usaha menyediakan bukti yang jelas dan boleh ditonton masyarakat bagi membendung penyalahgunaan kuasa.
Dalam usaha untuk membantu institusi kepolisan negara itu bagi menghadapi tuduhan isu perkauman dan aduan lain, Jabatan Pejabat Kehakiman Pejabat Perkhidmatan Polisi Berorientasikan Masyarakat (COPS) mencipta Program Insentif Kamera Dalam Kenderaan.
Program itu diwujudkan untuk membantu dari aspek kewangan kepada institusi polis yang digunakan untuk membeli dan memasang sistem kamera dalam kenderaan.
Pada akhir 2003, 47 negeri dan daerah di Columbia menerima peruntukkan RM71.4 juta untuk pembelian kamera dalam kenderaan polis. Setakat ini, 72 peratus kenderaan polis dan peronda jalan raya di Columbia yang digunakan untuk rondaan dilengkapi dengan sistem kamera video dan jumlah ini terus meningkat.
Pada 2002, Persatuan Ketua Polis Antarabangsa (IACP) ditugaskan oleh Pejabat COPS untuk mengkaji keberkesanan sistem terbabit kamera.
Sementara itu, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengambil langkah menambah 300 kamera lagi dalam kereta peronda yang membabitkan kos bernilai kira-kira RM15 juta pada 2007. Keputusan terbabit bakal menyaksikan 1600 kenderaan polis memiliki kemampuan merakam video. Dalam laporan agensi, keputusan memasang kamera video digital terbabit dilakukan selepas pelbagai insiden salah tembak dan kelakuan lain berlaku dalam tempoh beberapa tahun.
Selepas menguji empat sistem yang menghantar tender mereka, Ketua Polisnya, William J Bratton mencadangkan kontrak pemasangan teknologi terbabit kepada IBM Corporation.
Fasa pertama pemasangan di bandaraya itu membolehkan 1,600 kereta peronda dilengkapi sistem menyeluruh yang bukan memerhatikan kelakuan pegawai malah melindungi mereka daripada lemparan tuduhan.
Naib Presiden Suruhanjaya Polis, Alan Skobin, berkata kontrak kira-kira RM15 juta itu adalah langkah maju penting bagi masyarakat dan polis yang perlu dilaksanakan demi kebaikan semua.
"Terdapat masyarakat yang tidak mempercayai kelakuan pegawai kami namun dengan wujudnya sistem ini, ia sekali gus mengelak tanggapan negatif," katanya.
Namun Skobin memberi amaran bahawa kamera tidak boleh merakam insiden secara keseluruhan kerana ia terbatas dari aspek sudut dan ruang di luar kawasan kamera yang tidak memberikan gambaran lengkap.
"Pemasangan kamera disokong kesatuan yang mewakili pegawai berdasarkan peraturan yang membolehkan mereka meninjau bukti video jika dituduh," katanya.
Presiden Liga Perlindungan Polis Los Angeles, Bob Baker, berkata langkah pemasangan sistem kamera secara tidak langsung mengelak tuduhan melulu atau palsu yang dilemparkan masyarakat.
"Kebanyakan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas yang disokong bukti video.
"Semestinya, ia langkah wajar terutama jika anda bertugas di bandar besar yang mempunyai sejuta ragam manusia," katanya.
Bukan sekadar perlindungan kepada pegawai bertugas, kamera dipasang berupaya membantu Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) menyemak peraturan menerusi Internet yang dihubungkan ke balai polis.
Rakaman audio dan video yang dirakam akan diawasi penyelia dan akan memberi panduan jika pegawai di kawasan kejadian mahu memastikan prosedur penahanan dan sebagainya mengikut peraturan ditetapkan.
Malah petugas turut dilengkapi mikrofon tanpa wayar yang merakam suara mereka jika berada di luar lingkungan visual kamera seperti adegan kejar mengejar selepas suspek keluar dari kenderaan.
LAPD memutuskan untuk mencuba kamera dalam kenderaan selepas insiden polis memukul seorang penduduk, Rodney King pada 1991 yang berjaya dirakam jurugambar amatur menerusi kamera videonya.
Peranti pertama dipasang pegawai, John Smith yang mengeluarkan duit poket sendiri untuk menampung kos kamera yang berjaya merakam beberapa insiden jenayah termasuk kes rogol beramai-ramai.
Rakaman terbabit kemudiannya digunakan sebagai bahan bukti untuk mengenalpasti dan mendakwa lima penjenayah yang disabitkan atas tuduhan merogol di mahkamah.
Walaupun sering mengalami masalah kewangan untuk menambah kamera, Datuk Bandar, Antonio Villaraigosa, bersetuju membiayai kosnya dengan peruntukkan RM15 juta yang dimulakan secara berperingkat selama empat tahun.
Sebenarnya, kos pemasangan sistem keseluruhan kamera termasuk penyediaan khidmat storan boleh mencecah RM60 juta namun laporan LAPD menyebut ia boleh menyelamatkan jabatan secara jangka panjang.
Jabatan itu menganggarkan, LAPD mampu menjimatkan RM15 juta setahun untuk kos menyiasat aduan berbanding kos yang dicatatkan di atas kertas.
Kontraknya yang ditawarkan kepada IBM dibuat selepas syarikat itu berjaya dalam demonstrasi pemasangan kamera di empat kereta peronda seterusnya menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Kamera dipasang berdekatan cermin tengah kenderaan dan boleh digerakkan 360 darjah untuk merakam bahagian sisi dan belakang kenderaan.
Pada mulanya, sistem IBM sudah digunakan di dua jabatan polis di Beverly Hills dan Santa Barbara.
Mike Foxen dari Jabatan Polis Beverly Hills, berkata kamera yang dipasang mempunyai beberapa fungsi tidak hanya tertumpu kepada mengesan kelakuan pegawai tapi boleh membantu membuktikan kes jenayah.
"Anda boleh mengambil rakaman pemandu melanggar lampu merah atau merakam perbualan suspek di tempat duduk belakang selepas mereka ditahan," katanya.
Jika dibandingkan di negara Asia pula, Dubai mengambil langkah sama memasang kamera dalam kenderaan polis yang dilakukan baru-baru ini.
Senario di Dubai pula menyaksikan polis mampu bertindak pantas selepas mengesan kemalangan melalui video secara langsung daripada 260 kereta peronda menggunakan sistem yang dipasang.
Kamera dipasang di menggunakan teknologi tanpa wayar yang disambungkan ke bilik operasi membolehkan pegawai melihat insiden berlaku.
Ketua Polis Dubai, Lt Jen Dahi Khalfan Tamim, berkata, ia berupaya memberi mereka maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan bagi menentukan kaedah terbaik menangani situasi tertentu.
"Sistem baru ini mempercepatkan proses membuat keputusan kerana pegawai polis akan dapat menilai situasi di tempat kejadian sebelum mengambil langkah yang perlu," katanya.
Hampir 15 peratus kereta polis akan dilengkapi kamera menjelang akhir tahun ini.
Sistem kamera akan mula beroperasi sebaik enjin kenderaan dihidupkan dan dipantau pegawai bertugas di bilik operasi.
Setiap rakaman akan direkodkan untuk tujuan penyelidikan selepas teknologi ini diperkenalkan buat pertama kali sebagai projek perintis pada Oktober 2008 dan diperluaskan Jun tahun lalu. Sementara itu di Oveido, kerajaan tempatan membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk 30 kamera manakala hampir RM60,000 lagi diperuntukkan untuk pemasangan sistem pelayan.
Ketua Polis Oviedo, Jeffrey Chudnow, pemasangan kamera lebih tertumpu kepada proses dokumentasi dan pengumpulan bukti dalam kes tertentu.
"Terdapat situasi perlu ditempuh pegawai ketika menahan suspek yang mana mereka akan berhadapan dengan individu mengeluarkan kata kesat tanpa boleh dibuktikan.
"Berbanding, menggunakan kamera, kami boleh merakam perincian perbualan antara pegawai dan suspek yang menguatkan kes jika ia dibawa ke mahkamah," katanya.
Selain kereta polis, Oveido merancang untuk memasang kamera pada motosikal jabatan polis serta pegawai yang meronda secara berjalan kaki untuk memastikan kualiti layanan dan keupayaan berkomunikasi.
Chudnow berkata, pihaknya kini menunggu teknologi kamera berkembang dengan pembangunan aplikasi yang membenarkan kamera merakam nombor plat kenderaan secara automatik.
"Nombor plat yang dirakam akan dikesan ke pusat data sebelum maklumat mengenainya akan disalurkan semula ke kereta peronda menentukan sama ada ia kenderaan curi atau sebagainya," katanya.
Sesungguhnya pemasangan kamera dalam kenderaan polis memerlukan kos besar namun jika difikirkan manfaatnya pada masa depan dengan situasi melanda negara ini sejak kebelakangan ini, ia langkah yang perlu diuji keberkesanannya.