Nama domain PERCUMA. Daftar SEKARANG!

Thursday, December 24, 2009

Internet mudah alih untuk masyarakat luar bandar

Ericsson mengorak langkah kehadapan dalam membantu masyarakat apabila bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menubuhkan Pusat Inovasi Mudah Alih bagi mempromosikan aplikasi dan kandungan Internet mudah alih kepada penduduk luar bandar.

Syarikat terbabit telah berganding bahu dengan MOSTI menerusi agensinya MIMOS Bhd. untuk mengadakan demonstrasi pelbagai aplikasi berasaskan Internet pada telefon mudah alih pada majlis penerangan kepada pihak media dan masyarakat tempatan di Kota Marudu, Sabah, baru-baru ini.



Aplikasi tersebut, Infosti@Mosti, adalah sebahagian dari program masyarakat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) luar bandar MOSTI yang merangkumi e-kerajaan, e-kesihatan, e-perdagangan dan e-pendidikan.

Sebelum ini, ia telah dipromosikan menggunakan skrin besar atau komputer biasa atau komputer riba.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili, MOSTI amat gembira dapat memberikan penerangan tentang aplikasi dan kandungan Infosti@mosti pada landasan mudah alih kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat luar bandar dan kawasan pendalaman.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kota Marudu berkata, ini merupakan satu langkah besar untuk membuktikan komitmen kerajaan Malaysia bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam aspek ICT dan arus kemajuan Internet.

"Cara pendekatan kerjasama untuk membangunkan Pusat Inovasi Mudah Alih dengan Ericsson adalah salah satu daripada pelbagai program kerjasama bersama syarikat swasta untuk merangsang agenda ICT 1Malaysia," katanya.

Ericsson ialah pemimpin dunia dalam pembekalan teknologi dan perkhidmatan kepada syarikat telekomunikasi.

Menurut Ongkili lagi, bersama Ericsson, MOSTI percaya, pelaksanaan yang pantas dan menguntungkan akan dapat memanfaatkan orang ramai terutamanya masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman.

Ericsson akan menyediakan Platform Penghantaran Perkhidmatan Mudah Alih (MSDP) iaitu elemen terpenting dalam Pusat Inovasi Mudah Alih.

Dengan MSDP, pelbagai aplikasi berasaskan Internet akan dikodkan dan dikemaskini secara automatik untuk disesuaikan dengan pelbagai saiz skrin peralatan mudah alih.

MSDP Ericsson kini merupakan platform penghantaran perkhidmatan terulung di dunia dan menyelenggarakan lebih dari 2,800 jenis peralatan yang berlainan dalam pasaran dengan lebih 70 pusat cawangan seluruh dunia.

Sementara itu, Presiden Ericsson Malaysia, Krishnakumar Guda berkata, pihaknya percaya bahawa masyarakat luar bandar akan melalui pengalaman menggunakan Internet pertama mereka melalui telefon mudah alih berdasarkan kemampuan dan kemudahan penerimaannya.

"Masyarakat luar bandar tidak seharusnya dipinggirkan dan kami yakin terdapat teknologi, kebolehan dan peluang perniagaan untuk memastikan kumpulan masyarakat ini dapat menerima ICT dan budaya inovasi yang diperlukan supaya terus maju.

"Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan kerajaan yang progresif di Malaysia dalam mencapai visi syarikat kami, iaitu untuk memperkasakan rakyat, perniagaan dan masyarakat," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia

No comments: